My Add

Wednesday 4 January 2012

Majlis Peguam terus dibidas, Azmin cabar undang-undang

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
KUALA LUMPUr, rabu, 04 Januari, 2012: Pelbagai pihak hari ini terus membidas sikap Majlis Peguam yang kelihatan 'berat sebelah' dalam berhadapan dengan sesuatu isu khususnya membabitkan unsur-unsur perjuangan pembangkang.

Penasihat undang-undang Majlis Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Pembela Negara, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz (gambar) berkata, apa yang ditunjukkan majlis itu bercanggah dengan moto serta profesionalisme perjuangan mereka.

''Majlis Peguam tak ikut pun moto atau matlamat penubuhan mereka dan bersikap pilih kasih serta telah diperalat pembangkang. Ini jelas membuktikan mereka bukan badan bebas dan berkecuali.

''Sikap inilah yang mencemarkan imej profesionalisme peguam. Sebagai golongan profesional, mereka seharusnya menterjemahkan sikap profesionalisme dengan tidak pilih kasih,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau mengulas kenyataan Majlis Peguam berhubung hak untuk berhimpun dan membantah keputusan mahkamah selagi ia tidak dilarang dari segi undang-undang.

Mohd. Khairul yang juga seorang peguam berkata, sebab utama Majlis Peguam sehaluan dengan perjuangan pembangkang adalah kerana sebahagian pemimpinnya memegang beberapa jawatan dalam parti pembangkang.

''Sebab itu mereka bawa agenda pembangkang. Namun, suara mereka bukanlah mewakili majoriti peguam yang menjadi ahli Majlis Peguam.

''Di mata majoriti peguam, majlis itu hanyalah tempat untuk mendapatkan sijil amalan semata-mata. Justeru, kalangan ahli juga ada yang mempersoalkan keberkesanan Majlis Peguam membela peguam di negara ini,'' tegasnya.

Dalam pada itu, bekas Setiausaha Biro Penerangan Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nordin Ahmad berkata, sikap berat sebelah Majlis Peguam terhadap pembangkang mula ketara sejak era reformasi ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari kerajaan pada 1998.

''Majlis Peguam telah lama menyalahgunakan platform mereka kerana bernada pembangkang. Sejak 1998 lagi saya sudah nampak ketika menyertai perhimpunan reformasi,'' tegasnya.

Azmin cabar undang-undang

Sementara itu, tindakan Azmin Ali untuk meneruskan perhimpunan haram Kempen Bebas Anwar 901 menunjukkan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menderhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong kerana mencabar kedaulatan undang-undang secara terbuka.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, tindakan Azmin itu jelas menghasut dan menghina mahkamah.

"Kenyataan Azmin amat biadab serta angkuh tanpa mempedulikan 'rule of law' dan mencabar undang-undang negara. Perisytiharan seumpama itu boleh ditafsirkan sebagai menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong, mencabar serta menghina hakim serta negara,'' katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Azmin yang bertekad mengumpulkan seramai 100,000 penyokong di pekarangan Mahkamah Tinggi Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 9 Januari ini bagi menyatakan sokongan kepada Anwar.

Jelas Ibrahim, polis wajar bertindak mencegah perhimpunan tersebut sebelum negara huru-hara dan keselamatan rakyat tergugat atas kenyataan Azmin itu.

Justeru, tegas beliau, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang masih berkuatkuasa dan belum dimansuhkan secara rasmi merupakan alat pencegahan yang paling berkesan bagi membendung perhimpunan tersebut.

"Majoriti rakyat mahukan keamanan dan saya yakin mereka akan memberi sokongan sepenuhnya," kata beliau.

Sementara itu, Ibrahim menyeru semua ahli Perkasa mengadakan solat hajat bagi memohon keselamatan daripada angkara individu tidak bertanggungjawab yang ingin mengganggu-gugat kesejahteraan negara.

Katanya, Pengerusi serta Yang Dipertua Perkasa di 99 daerah seluruh negara perlu memainkan peranan mengumpul kesemua ahli untuk bersama-sama mengadakan solat hajat tersebut.

"Solat hajat ini hendaklah dilaksanakan di masjid, surau atau madrasah bermula hari ini sehingga 9 Januari depan.

"Untuk makluman, 12 daripada 99 daerah seluruh negara telah mengadakan aktiviti tersebut. Kita memohon kepada Allah agar Malaysia terpelihara daripada sebarang ancaman dan sifat khianat individu yang tidak bermoral," katanya. - UM


No comments:

Post a Comment