My Add

Tuesday 3 January 2012

MB minta keluarga melawat penghuni Pusat Sinar Harapan

KUALA TERENGGANU, SELASA, 03 Januari, 2012: Ahli keluarga dan waris diminta lebih kerap melawat Pusat Sinar Harapan di sini untuk melihat sendiri perkembangan anak-anak mereka di situ. 

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata beliau membuat rayuan itu kerana ada sesetengah ibu bapa tidak pernah mengunjunginya selepas anak-anak mereka diserahkan di bawah jagaan pusat itu.

"Ini satu episod yang amat menyedihkan, sepatutnya keluarga yang menghantar anak mereka ke sini, sekali sekala datanglah melihat perkembangan anak mereka di sini," katanya selepas mengadakan lawatan ke pusat itu, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Zuhami Omar. 

Menurut Ahmad, kunjungan keluarga atau ibu bapa ke pusat itu sekurang-kurangnya dapat memberi harapan dan kasih sayang kepada anak-anak mereka di pusat berkenaan. 

Dalam hal ini, Ahmad berkata, kerajaan tidak boleh memberikan kasih sayang kepada kanak-kanak seperti keluarga sendiri selain menyediakan kewangan dan tempat tinggal. 

"Janganlah mengharapkan kerajaan semata-mata," katanya. 
Ahmad berkata, setakat ini, beliau berpuas hati dengan apa yang ada di Pusat Sinar Harapan itu termasuk kemudahan asas dan perkhidmatan yang diberikan kakitangan di situ. 

Sementara itu, Zuhami berkata, kini seramai 69 penghuni Pusat Sinar Harapan yang terdiri daripada Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment