My Add

Thursday 5 January 2012

Najib, Hsien Loong yakin Iskandar Malaysia kukuh

PUTRAJAYA, KHAMIS, 05 Januari, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkeyakinan bahawa Iskandar Malaysia terus berkembang dan projek itu akan disiapkan mengikut jadual walaupun berhadapan ketidaktentuan ekonomi global. 

Menjawab soalan sama ada penguncupan ekonomi di Singapura dan ketidaktentuan ekonomi global akan memberi kesan terhadap perkembangan keseluruhan projek usahasama itu, Najib berkata tiada tanda-tanda untuk menunjukkan bahawa perkembangan keseluruhan Iskandar semakin perlahan.

"Malah, pelaburan sebenarnya bergerak mengikut jadual," katanya sambil menambah keadaan ekonomi semasa di Malaysia dan Singapura akan berterusan pada paras kondusif bagi sektor swasta untuk terus melabur di Iskandar Malaysia.

Najib berkata demikian pada sidang media bersama dengan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong, selepas Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura di sini hari ini. 

Sementara itu, Lee berkata Iskandar Malaysia adalah satu projek jangka panjang dan "kami sudah melihat pada tinjauan jangka panjang daripada prestasi suku tahun ke suku tahun." 

"Apa yang lebih penting ialah untuk meneruskan bekerja sama," katanya sambil menambah ekonomi Singapura masih mencatatkan prestasi yang positif. 

Hsien Loong berkata, ekonomi republik itu berkembang 4.8 peratus pada 2011 dan diunjurkan berkembang antara 1.0 dan 3.0 peratus pada tahun ini.

Sebelum itu, Najib menyambut Hsien Loong di Aras Satu Pejabat Perdana Menteri dan kedua-dua pemimpin itu kemudiannya beredar ke Aras Lima bagi acara Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura. 

Kedua-dua Perdana Menteri bersetuju bahawa Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri bagi Iskandar Malaysia perlu meneroka lebih banyak cara bagi meningkatkan kerjasama. 

Sehubungan itu, satu kumpulan kerja baru mengenai kerjasama perindustrian akan dibentuk di bawah Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri bagi menggalakkan aktiviti ekonomi berkembar yang saling memberi manfaat antara Iskandar Malaysia dan Singapura. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment