My Add

Tuesday 3 January 2012

Pas nafi hududnya tidak berlandaskan al-Quran

KUALA LUMPUR, SELASA, 03 Januari, 2012: Pas menafikan dakwaan Wan Ismail Wan Ahmad bahawa hukum Hudud yang diperjuangkan parti itu tidak lagi berlandaskan al-Quran dan hadis.

Sambil menyifatkan kenyataan bekas Setiausaha Dewan Ulama Pas Kelantan itu bernada tidak puas hati dan prejudis, Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan menjemput Wan Ismail untuk berbincang jika terdapat kelemahan yang memerlukan parti menambah baik hukum tersebut.

"Hukum Hudud kita berlandaskan al-Quran dan hadis. Ia adalah hasil muktamar segenap ulama yang mengambil kira pendapat daripada pelbagai mazhab serta khilaf situasi masa kini.

"Bagaimanapun, kita terbuka terhadap sebarang perbincangan dengan semua pihak. Tidak semestinya hukum tersebut tertakluk hanya kepada mazhab Shafie, skop tersebut boleh diperluaskan lagi," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau mengulas dakwaan Wan Ismail bahawa Hudud yang diperjuangkan Pas telah dipinda pada 1993 susulan daripada kerjasama antara Pas, Semangat 46, DAP dan Parti Bersatu Sabah (PBS) pada Pilihan Raya Umum 1990.

Dakwa beliau, melalui pindaan itu hukuman Hudud tidak akan dikenakan kepada masyarakat bukan Islam dan Hudud kepada orang bukan Islam tidak termasuk dalam perkara yang dinaskan al-Quran dan hadis.

Tambah Nasrudin, sememangnya Islam tidak memaksa golongan bukan Islam menerima Hudud kerana ia adalah hak peribadi golongan tersebut.

Namun sekiranya agama mereka tidak memperuntukkan hukum seumpamanya, mereka boleh menggunakan hudud.

"Apa untungnya Pas mahu membelakangi al-Quran dan hadis? Ia adalah tohmahan dan perlu diperbetulkan bagi mengelak sebarang kekeliruan dalam kalangan umat Islam serta masyarakat berbilang kaum di negara ini," kata beliau. 

No comments:

Post a Comment