My Add

Wednesday 25 January 2012

Pelbagai pihak sedia beri ruang pada Hasan Ali

KUALA LUMPUR, RABU, 25 Januari, 2012: Pelbagai pihak menyambut baik saranan agar bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali diberi ruang untuk berceramah mendedahkan situasi sebenar yang berlaku dalam kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor.

Malah mereka juga sedia bekerjasama dengan Hasan untuk menjayakan program jelajahnya ke seluruh negara agar kebenaran dan pekung pakatan pembangkang terutama Pas dan PKR dapat diketahui masyarakat.

Ketua Umum Barisan Bertindak Perpaduan Melayu, Osman Abu Bakar berkata, pihaknya mahu menjadi NGO pertama yang menganjurkan ceramah jelajah Hasan itu sekiranya diberi peluang berbuat demikian.

Menurutnya, usaha Hasan itu harus disokong dan dipertahankan agar kebenaran dapat dijelaskan kepada masyarakat khususnya mengenai perjuangan sebenar Pas yang dilihat semakin menyimpang daripada matlamatnya.

''Saranan ini amat baik sekali dan amat wajar semua parti komponen Barisan Nasional (BN) dapat bekerjasama menjayakan program jelajah Hasan," katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas saranan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan yang mahu parti komponen BN menyediakan ruang dan platform kepada Hasan untuk berceramah di Selangor bagi membolehkannya mendedahkan hakikat sebenar yang berlaku dalam kerajaan PKR Selangor.

Tawaran untuk bekerjasama dalam program jelajah Hasan itu turut disambut oleh Biro Penerangan UMNO Melaka yang disuarakan oleh Ketuanya, Datuk Idris Harun dengan mempelawa Hasan memulakan rancangan ceramah di Melaka sebelum bergerak ke seluruh negara nanti.

''Hasan merupakan salah seorang bekas pemimpin Pas yang menjadi mangsa Pas yang mementingkan perjuangan politik daripada mempertahankan hak-hak Islam.

''UMNO sedia membantu beliau untuk berceramah dan menjelaskan kepada masyarakat tentang pekung yang disimpan oleh Pas dan PKR Selangor," kata beliau.

Katanya, adalah amat wajar semua parti komponen BN menyokong hasrat Hasan itu memandangkan hanya beliau yang layak menceritakan tentang situasi sebenar pakatan pembangkang dan berkongsi pengalamannya sewaktu berada dalam Pas.

Sementara itu, seorang penganalisis politik, Prof. Madya Sivamurugan Pandian berkata, BN wajar mengambil kesempatan menjadikan usaha Hasan berceramah ke seluruh negara sebagai salah satu medium parti itu menyalurkan maklumat tentang hal politik semasa kepada masyarakat.

''Bagi saya, saranan yang dibuat itu amat baik sekali dan wajar diterima oleh semua parti komponen BN memandangkan ia sendiri memberi manfaat kepada BN," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment