My Add

Sunday 8 January 2012

Pembangkang belum pilih PM

Pemilihan calon jawatan nombor satu selepas menang PRU-13: Hadi Awang 

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin
KUALA BERANG, AHAD, 08 Januari, 2012: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, persoalan siapa yang akan menjadi Perdana Menteri akan hanya ditentukan selepas pakatan pembangkang menang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 kerana perbincangan mengenainya belum dibuat.

Abdul Hadi berkata, pemilihan calon mengisi jawatan nombor satu pentadbiran kerajaan itu akan ditentukan bila tiba masanya nanti kerana hingga kini rundingan dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya berhubung strategi untuk menang dalam PRU-13.

“Insya-Allah. Nanti menang dululah. Kita sudah berunding nak menang pilihan raya, nanti menang dululah, ..benda yang tak tentu lagi (pakatan pembangkang menang atau tidak pada PRU 13)...nanti sampai masa dulu (pakatan pembangkang menang),” katanya ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sebuah portal berita bahawa beliau tetap akan menjadi Perdana Menteri biarpun dipenjarakan susulan keputusan kes liwatnya esok. 

Abdul Hadi berkata demikian selepas menyampaikan Pidato Khas - Pelaksanaan Islam di Terengganu: Dari Batu Bersurat Ke Manifesto pada sambutan 100 tahun undang-undang Islam bertulis termasuk hukum hudud di Terengganu di Dataran Kampung Gaung di sini, semalam. 

Perlembagaan pertama sebuah kerajaan Islam yang turut menggariskan hukum hudud dibentuk di Terengganu ketika pemerintahan Sultan Zainal Abidin ketiga pada 1911. 

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali yang ditemui pada majlis sama ketika ditanya mengenai isu itu berkata, perbincangan mengenai siapa yang akan menjadi Perdana Menteri belum dibincangkan setakat ini.

“Benda ini kita (pakatan) belum bincang apa-apa. Lagipun, saya dimaklumkan, Anwar tidak kata begitu (mahu jadi Perdana Menteri biarpun dipenjarakan). Surat khabar saja kata begitu. Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub beritahu saya Anwar tidak kata begitu, tetapi oleh kerana saya tidak ada di situ, saya tak tahulah,” katanya. 

Ditanya mengenai kedudukan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Mustafa berkata isu mengenai tokoh kontroversi PAS itu mungkin dibincangkan pada mesyuarat bulanan PAS hari ini. 

“Sehingga hari ini beliau masih dalam PAS, masih bersama PAS. Kita akan adakan mesyuarat bulanan esok, mungkin perkara ini akan berbangkit dan kita yakin ia akan selesai,” katanya. 

Dalam perkembangan sama, PAS yang dilihat cuba mendekatkan kembali pengikutnya di Terengganu dengan mengetengahkan elemen hudud menerusi sambutan ulang tahun perlembagaan Islam itu, turut mengambil kesempatan melawat tapak bersejarah penemuan Batu Bersurat di daerah ini untuk mengumumkan 10 manifesto menawan Terengganu. 

Sementara itu, selepas satu majlis ceramah perdana malam kelmarin, Abdul Hadi ketika diminta mengulas cadangan Hasan supaya Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilantik menjadi Perdana Menteri kerajaan pakatan pembangkang, berkata beliau tidak kisah kembali menjadi nelayan selepas ini asalkan Perdana Menteri yang dipilih kelak mengamalkan dasar pemerintahan Islam dan berjaya menyelamatkan negara. - Brita Minggu

No comments:

Post a Comment