My Add

Friday 6 January 2012

Penduduk dakwa ditipu

BEKAS penduduk Kampung Baru Air Panas berhimpun bagi membantah tapak bekas kampung mereka dipecahkan kepada lot kecil dan dijual kepada individu luar sedangkan sebelum ini kawasan itu didakwa akan dibangunkan dengan projek guna sama kerajaan di Setapak, baru-baru ini.

Oleh SITI AISHAH YUSOFF
KUALA LUMPUR, JUMAA, 06 Januari,012: Penduduk Kampung Baru Air Panas di Jalan Air Lombong dan Jalan Air Telaga di Setapak mendakwa telah ditipu supaya berpindah dari kawasan itu.

Mereka bersetuju berpindah selepas dimaklumkan bahawa tapak itu akan dibangunkan dengan projek guna sama kerajaan merangkumi kompleks sukan, perumahan kakitangan awam dan juga jalan.

Namun, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bekas Penduduk, Dayalan Muthusam berkata, projek itu sebenarnya tidak wujud, sebaliknya tapak itu dipecahkan kepada lot kecil dan dijual kepada individu.

"Kami setuju berpindah bagi memberi ruang kepada projek guna sama itu tetapi sebenarnya kami ditipu kerana kawasan ini kemudiannya telah dipindah milik kepada individu tertentu.

"Kami mengetahui mengenai maklumat ini setelah permohonan beberapa orang penduduk asal untuk membeli lot tanah di situ ditolak dan lebih 100 lot tanah telah dijual kepada orang luar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengetuai sesi bantahan bekas penduduk kawasan itu di sini baru-baru ini dan menuntut hak sebagai penduduk asal di situ terutama keutamaan untuk membeli tanah berkenaan.

Dayalan berkata, mereka ada menghantar memorandum ke pejabat Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tetapi tiada sebarang maklum balas diterima.

Setiausaha Jawatankuasa Bertindak Bekas Penduduk, Abdul Ghani Ahmad berkata, keutamaan untuk membeli tanah itu sepatutnya diberikan kepada penduduk yang lama tinggal di kawasan itu.

Katanya, apa yang berlaku ialah penduduk asal seolah-olah dibelakangkan oleh pihak yang berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M. Saravanan berkata, pihaknya sedang menunggu laporan daripada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan pejabat Datuk Bandar.

"Selepas itu, barulah sebarang perjumpaan dan perbincangan boleh diatur bersama penduduk," katanya ketika diminta mengulas mengenai masalah tersebut.

Hampir semua penduduk di kampung itu berpindah ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas dan Perumahan Awam Desa Rejang pada 2009.

Hanya tinggal empat buah keluarga yang masih menetap di kawasan itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment