My Add

Wednesday 25 January 2012

Pusat Simulasi Menembak pupuk minat orang muda

KUALA LUMPUR, RABU, 25 Januari, 2012: Pusat Simulasi Menembak Kementerian Belia dan Sukan di Bukit Kiara di sini menjadi pusat menembak pertama menyediakan kemudahan taktikal latihan menembak secara maya yang dibangunkan menggunakan Sistem Simulasi Menembak (VR 3S). 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, berkata kemudahan bertaraf dunia di pusat menembak maya itu, mampu menjadi landasan terbaik kepada generasi muda untuk mendapatkan pendedahan dan kemahiran mengendalikan senjata api secara selamat.

“Pusat ini mampu menjadi pusat latihan belia anti jenayah kerana menyediakan program latihan menyeluruh yang meliputi teori keselamatan dan praktikal bagi latihan menembak.

“Ia turut memberi peluang kepada golongan muda untuk mula belajar atau mendekatkan diri dengan sukan menembak sebelum berpeluang menggunakan senjata dan peluru sebenar,” katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Simulasi Menembak Kementerian Belia dan Sukan di Bukit Kiara di sini, sebentar tadi. 

Hadir sama pada lawatan berkenaan ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. 

Sementara itu, Ahmad Shabery berkata, produk yang diilhamkan dari Korea Selatan itu memberi banyak kelebihan berbanding kaedah latihan menembak di lapangan sasaran secara konvensional. 

Katanya, latihan itu tidak menggunakan peluru sekali gus ia mampu menjimatkan kos latihan dalam jangka masa panjang. 

“Ia juga mampu dikendalikan secara berterusan selama 24 jam sehari kerana tidak membabitkan sebarang gangguan seperti aspek cuaca kerana dilakukan dalam sebuah bilik khas. 

“VR 3S juga menyediakan sistem audio dan video yang membolehkan pengguna mengalami senario seperti berada di lapangan sasaran menembak sebenar,” katanya. 

Ahmad Shabery berkata, penubuhan pusat menembak itu juga bertujuan memperluaskan aktiviti pencegahan jenayah di bawah pengendalian Kementerian Belia dan Sukan. 

Sistem VR 3S menggabungkan teknologi laser, sensor monitor, pemprosesan data, kawalan senjata secara realisitik, penyediaan lapangan latihan secara maya, persembahan audio dan video.

No comments:

Post a Comment