My Add

Tuesday 3 January 2012

RM110 juta untuk projek kemudahan Orang Asli

MARAN, SELASA, 03 Januari, 2012: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM110 juta bagi menyediakan pelbagai projek kemudahan untuk kaum Orang Asli di seluruh negara, kata Setiausaha Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBCC), Datuk Ismail Abdul Muttalib.

Beliau berkata, berdasarkan Belanjawan 2012, sebanyak RM90 juta adalah bagi projek pembinaan infrastruktur dan RM20 juta lagi untuk pemindahan penduduk Sungai Ruil di Cameron Highlands ke kawasan yang baru.

"Peruntukan tersebut membuktikan kerajaan tidak pernah meminggirkan masyarakat Orang Asli malah kaum minoriti ini diberi layanan serta kedudukan sama rata dengan etnik lain di negara ini,” katanya pada majlis sambutan Hari Motivasi Tabika Kemas Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Parlimen Maran, di sini, hari ini.

Beliau yang juga anggota Parlimen Maran berkata, kaum Orang Asli perlu melihat bahawa mereka diberikan layanan lebih istimewa berdasarkan penyediaan pelbagai perkhidmatan, sosial dan pendidikan secara percuma.

"Generasi muda Orang Asli perlu mengambil peluang ini untuk melonjakkan status diri dan keluarga mereka supaya setanding dengan kaum lain di negara ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata kerajaan juga akan menumpukan terhadap isu pemberian geran di kawasan rezab Orang Asli dan tanah adat kaum berkenaan.

"Pemberian hak milik individu itu merupakan satu lagi usaha kerajaan Barisan Nasional dalam membela masa depan warisan orang Asli daripada diceroboh pihak luar,” katanya.

Beliau berkata, pemberian hak milik itu secara langsung mengiktiraf kedudukan Orang Asli sebagai masyarakat pribumi negara ini selari dengan hak tanah Orang Asli seperti yang termaktub dalam Akta 134, Akta Orang Asli (1954). — BERNAMA

No comments:

Post a Comment