My Add

Friday 20 January 2012

Selenggara jalan baru Persekutuan

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR

TAMPIN, JUMAAT, 20 Januari, 2012: Kementerian Kerja Raya memutuskan semua kerja penyelenggaraan jalan Persekutuan yang baru dibina di seluruh negara akan ditawarkan kepada kontraktor berkelayakan secara tender bermula tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor berkata, langkah tersebut bertujuan memberi peluang kepada kontraktor serta syarikat lain untuk menguruskan kerja berkenaan.

Menurutnya, setakat ini, semua kerja menyelenggara jalan Persekutuan yang melibatkan jarak 14,100 kilometer di seluruh Semenanjung hanya dijalankan oleh tiga syarikat konsesi yang dipertanggungjawabkan sejak 2001.

"Mekanisme baru ini diwujudkan bukan kerana tiga syarikat konsesi ini bermasalah, sebaliknya kita mahu memberi peluang kepada kontraktor lain untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan jalan ini.

"Tetapi tender ini hanya ditawarkan membabitkan penyelenggaraan jalan Persekutuan yang baru dibina. Jalan Persekutuan sedia ada masih diuruskan oleh tiga syarikat konsesi ini," katanya.

Shaziman berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Dewan Orang Ramai Kampung Baru Cina Tampin semalam.

Jelasnya, pemberian kerja secara tender itu secara tidak langsung berupaya mewujudkan persaingan sihat di kalangan kontraktor.

"Ini kerana sebelum mereka dipilih kita akan meneliti harga, keupayaan serta kemampuan kontraktor yang memohon.

"Kontraktor yang mampu memberi harga terbaik serta berupaya menjalankan kerja dengan baik dan berkualiti akan diberikan kerja ini. Syarikat konsesi sedia ada pun layak memohon, sekiranya harga mereka berpatutan, mereka juga layak mendapat kerja ini," ujarnya.

Kata Shaziman, dalam tempoh 10 tahun dianggarkan 2,300 kilometer jalan Persekutuan baru bakal dibina dan perlu diselenggara.

"Berdasarkan rekod, untuk tahun lalu sahaja kita membayar hampir RM500 juta kepada tiga syarikat konsesi ini bagi menyelenggara jalan Persekutuan secara berjadual serta berkala," tambahnya. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment