My Add

Tuesday 3 January 2012

SPR gagal beri justifikasi tolak permohonan pengundi tak hadir

KUALA LUMPUR, SELASA, 03 Januari, 2012: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal menyatakan sebarang alasan atau asas untuk menjustifikasikan keputusan tidak mendaftarkan enam rakyat Malaysia yang menetap dan bekerja di luar negara, sebagai pengundi tidak hadir pada pilihan raya umum akan datang, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini. 

Peguam Edmund Bon yang mewakili keenam-enam mereka, berkata SPR menolak permohonan mereka atas alasan mereka tidak layak didaftarkan sebagai pengundi tidak hadir di bawah definisi "pengundi tidak hadir" mengikut Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

"Tetapi SPR tidak memberi justifikasi bagi keputusannya itu dan objektif Peraturan itu yang membenarkan sesetengah warganegara dan sesetengahnya tidak," hujahnya dalam permohonan semakan kehakiman difailkan enam warga Malaysia itu yang menetap dan bekerja di United Kingdom untuk mendesak SPR mendaftarkan mereka sebagai pengundi tidak hadir.

Edmund berkata keputusan untuk tidak mendaftarkan keenam-enam mereka sebagai pengundi tidak hadir adalah jelas tidak adil dan merupakan layanan diskriminasi terhadap semua warganegara. 

"Pemohon menetap di luar negara, dan oleh yang demikian, sepatutnya boleh mengundi sebagai pengundi tidak hadir mengikut Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan iaitu hak asasi untuk mengundi," katanya. 

Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh yang mewakili SPR pula berhujah SPR mendapati keenam-enam pemohon tidak layak didaftarkan sebagai pengundi tidak hadir mengikut Peraturan 2, Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, kerana mereka menetap dan bekerja dengan sektor swasta di luar negara. 

Beliau berkata SPR memutuskan keenam-enam mereka tidak termasuk dalam kategori orang yang berhak menjadi pengundi tidak hadir dan SPR menolak permohonan mereka secara sah mengikut undang-undang. 

Amarjeet berkata keenam-enam mereka boleh pulang ke Malaysia pada hari pengundian kerana mereka menetap dan bekerja di sana atas pilihan sendiri. 

Hakim Datuk Rohana Yusuf menetapkan 6 Januari ini untuk menyampaikan keputusan. 

Enam pemohon itu ialah Teo Hoon Seong seorang doktor, 43; V.Vinesh seorang jurutera elektrik, 32; Paramjeet Singh seorang usahawan, 54; Yolanda Sydney Agustin seorang doktor, 31; Sim Tze Wei seorang penterjemah, 28, dan arkitek perisian Leong See See, 41. 

Mereka memohon satu deklarasi bahawa mereka sebagai warganegara Malaysia yang menetap di luar negara adalah berhak didaftarkan sebagai pengundi tidak hadir yang bermakna mereka layak menjadi pengundi pos. 

Mereka juga memohon perintah certiorari bagi membatalkan keputusan SPR melalui surat bertarikh 9 September, 2011, yang tidak mendaftarkan mereka sebagai pemilih tidak hadir. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment