My Add

Sunday 22 January 2012

Suhakam sambut baik langkah kerajaan runding soal AUKU

KUALA LUMPUR, AHAD, 22 Januari, 2012: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyambut baik langkah Kementerian Pengajian Tinggi untuk mengadakan perundingan dengan wakil pelajar, pemegang kepentingan dan pihaknya berhubung rancangan untuk meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1974.

Pengerusinya, Tan Sri Hasmy Agam berkata, beliau berharap perundingan dan dialog secara terbuka tentang isu itu akan diadakan untuk membolehkan pelajar menikmati lebih banyak hak dan kebebasan.

"Kesedaran tentang hak dalam bidang ekonomi, sivil dan politik dalam kalangan pelajar universiti dan penyertaan mereka dalam rundingan mengenai isu kepentingan negara perlu dilihat secara positif sebagai sesuatu yang boleh menjadi pelengkap dan penambahan terhadap pendidikan rasmi serta latihan yang mereka terima di universiti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hasmy berkata tindakan mengenakan sebarang “sekatan tidak wajar terhadap hak pelajar dan pengalaman ini” akan menafikan mereka untuk menerima pendidikan serta pengalaman yang mereka perlukan sebagai bakal pemimpin negara.

Beliau juga menyatakan “kebimbangan besar” suruhanjaya itu tentang keputusan universiti tertentu baru-baru ini menggantung pengajian pelajar yang menyuarakan pandangan mereka kerana didakwa merosakkan nama baik institusi berkenaan serta menggugat ketenteraman awam.

Katanya, tindakan itu bukan saja menyekat hak asasi pelajar, tetapi juga bercanggah dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan akan meminda Seksyen 15 AUKU untuk memberi ruang kepada pelajar universiti berusia 21 tahun ke atas menunaikan hak mereka. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment