My Add

Wednesday 25 January 2012

Hakim disyor isytihar harta setiap 3 tahun

Oleh Norfatimah Ahmad

Usaha mantap tahap integriti institusi kehakiman

KUALA LUMPUR, RABU, 25 januari, 2012: Hakim dicadangkan mengisytiharkan harta setiap kali dinaikkan pangkat atau sekurang-kurangnya tiga tahun sekali dalam usaha memantapkan tahap integriti institusi kehakiman negara.

Saranan dijangka membabitkan kira-kira 130 hakim Mahkamah Tinggi, Rayuan dan Persekutuan itu dibincangkan anggota unit petugas khas yang ditubuhkan untuk merangka mekanisme bagi pelaksanaan dan pemantauan proses pengisytiharan harta hakim selaras Perintah Am dan Arahan Pentadbiran 1993.

Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang juga ketua unit itu, Shaharudin Khalid, berkata cadangan berkenaan dikemukakan dalam pertemuan anggota unit itu yang turut dihadiri wakil Suruhanjaya Kehakiman, baru-baru ini.

“Kenaikan pangkat dilihat sebagai penanda aras yang sesuai untuk tujuan mengisytiharkan harta hakim kerana ia harus seiring dengan tahap integriti setiap hakim, manakala tempoh tiga tahun yang disarankan dilihat sesuai untuk proses pemantauan pengisytiharan harta di kalangan hakim.

“Bagaimanapun, ia masih pada peringkat cadangan dan bergantung kepada kata putus yang dibuat Ketua Hakim Negara,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Baru-baru ini, SPRM menubuhkan unit petugas khas diketuai Shaharudin untuk membantu agensi kerajaan atau swasta mengkaji dan memberi nasihat ke atas sistem serta prosedur penambahbaikan atau memperkenalkan prosedur baru untuk meningkatkan integriti sektor berkaitan. 

Sebelum ini, Ketua Hakim Negara, Tan Sri Ariffin Zakaria, berkata hakim di negara ini mungkin diwajibkan mengisytiharkan harta bagi meningkatkan ketelusan dan integriti badan kehakiman. 

Sehubungan itu, beliau berkata, Jabatan Kehakiman akan bekerjasama dengan SPRM bagi memulakan langkah berkenaan. 

Shaharudin berkata, ketika ini, unit itu masih pada peringkat awal merangka mekanisme terbaik untuk memastikan proses pelaksanaan dan pemantauan pengisytiharan harta berjalan lancar.

“Penyediaan borang khas untuk pengisytiharan harta antara mekanisme sedang dilaksanakan, selain meminta Ketua Hakim Negara mengeluarkan arahan pentadbiran berdasarkan Perkara Sembilan Kod Etika Hakim,” katanya.

Mengikut Perkara Sembilan kod etika itu, Ketua Hakim Negara boleh meminta hakim mengisytiharkan harta pada bila-bila masa. 

Bagaimanapun, katanya, langkah itu tidak bermaksud SPRM mempunyai akses kepada maklumat pengisytiharan harta di kalangan hakim, sebaliknya ia akan dikemukakan kepada Suruhanjaya Kehakiman. - BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment