My Add

Wednesday 25 January 2012

Teruskan program tarik sokongan kaum Cina

KUALA LUMPUR, RABU, 2 Januari, 2012: Barisan Nasional (BN) perlu meneruskan program transformasi bagi menarik kembali sokongan kaum Cina terhadap parti itu yang merosot pada pilihan raya umum tahun 2008.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, BN perlu sentiasa melakukan transformasi agar menjadi lebih baik berbanding apa yang ditawarkan pakatan pembangkang.

''Masyarakat Cina amat rasional dan matang dalam berpolitik dan buktinya pola pengundian kaum itu sentiasa berubah khususnya yang tinggal di bandar-bandar sejak dahulu lagi.

''Sekiranya usaha transformasi itu terus dilaksanakan, saya percaya sokongan mereka kepada BN mampu kembali teguh seperti dulu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Mohamed Mustafa juga tidak menolak kemungkinan kemerosotan sokongan masyarakat Cina adalah kerana termakan janji manis pembangkang yang kononnya mampu melaksanakan dasar lebih baik daripada kerajaan sedia ada.

''Janji-janji manis itulah menyebabkan ramai daripada mereka ingin mencuba sesuatu yang baru pada pilihan raya lalu dan bukan kerana mereka yakin dengan pakatan pembangkang.

''Persoalannya sekarang, adakah pakatan pembangkang mampu untuk menunaikan janji-janji mereka," katanya.

Sementara itu, Felo Utama Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Mansor Mohd. Noor pula menegaskan, dianggarkan hanya 30 peratus pengundi Cina yang boleh dilabelkan sebagai penyokong tegar pakatan pembangkang.

''Masih ada banyak ruang dan peluang kepada BN khususnya MCA dan Gerakan untuk menambat kembali hati pengundi masyarakat Cina di negara ini kerana 70 peratus daripada mereka adalah pengundi atas pagar.

''Sekiranya BN dapat menyelesaikan beberapa isu berbangkit dalam masyarakat Cina seperti Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan bahasa Cina dan selagi tidak melanggar dasar pembangunan negara bangsa, pasti sokongan mereka akan kembali pulih," katanya. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment