My Add

Thursday 12 January 2012

Usah percaya pembebasan Anwar tekanan luar

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 12 Januari, 2012: Rakyat diminta supaya tidak mempercayai kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pembebasannya daripada tuduhan meliwat adalah disebabkan tekanan luar terhadap kerajaan.

Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar menyifatkan kenyataan Anwar itu adalah satu pembohongan.

"Walaupun dia kata boleh bawa bukti, itu semua pembohongan kerana sistem kehakiman kita tidak sewenang-wenangnya boleh ditekan oleh mana-mana pihak dalam membuat keputusan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Anwar kelmarin bahawa keputusan membebaskan beliau daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan adalah kerana kerajaan ditekan oleh pihak antarabangsa.

Kamaruddin menegaskan, sistem kehakiman merupakan integriti tertinggi bagi sesebuah negara dan beliau yakin masyarakat antarabangsa tidak akan mencampuri hal ehwal perundangan di negara ini.

Sementara itu, pensyarah Kolej Kajian Undang-undang, Kerajaan dan Antarabangsa (COLGIS), Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, walaupun Anwar memperlihatkan hubungan baik dengan negara luar, tidak semestinya mereka akan campur tangan dalam sistem kehakiman negara.

"Saya tidak nampak tekanan yang diterima oleh kerajaan atau badan perundangan negara, setakat ini hanya tekanan daripada pihak-pihak tertentu di dalam negara.

"Namun, tekanan itu tidak akan sekali-kali dapat mempengaruhi sistem kehakiman dalam membuat keputusan apatah lagi untuk menjejaskan kredibiliti sebagai sebuah sistem yang adil dan bebas," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment