My Add

Saturday 21 January 2012

Usah spekulasi kematian bayi: Liow Tiong Lai

BEBERAPA pegawai kesihatan membuat pemeriksaan di pusat asuhan yang dipercayai lokasi kejadian dua bayi lelaki maut di Taman Permata, Ampang, semalam. Kementerian jalankan siasatan terperinci, bimbang kuman punca maut di pusat asuhan

Oleh Hidayah Mohamad, Siti Nur Almizan Aripin, Nor Azizah Mokhtar dan Lum Chee Hong

KUALA LUMPUR, SABTU, 21 Januari, 2012: Satu pasukan khas ditubuhkan bagi menyiasat punca kematian dua bayi lelaki, Muzaffar Mohd Faizal, tiga bulan dan Arif Amsyar Ruhi Budiman, tujuh bulan, di sebuah pusat asuhan di Taman Permata, Ampang, kelmarin dan laporan hasil siasatan itu akan diumumkan kepada orang ramai selepas diterima Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Sehubungan itu, Tiong Lai meminta orang ramai tidak panik dan pihaknya akan memastikan kematian berkenaan bukan disebabkan sebarang wabak.

“Kita akan melihat sama ada kematian ini disebabkan jangkitan bakteria atau sebab lain. Saya juga berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi kerana ia perkara serius,” katanya selepas merasmikan Loji Pendobian Bukit Beruntung, Faber Medi-Serve Sdn Bhd di Bukit Beruntung, Hulu Selangor, semalam.

Sementara itu, pemilik pusat asuhan berkenaan diarah memberhentikan operasinya buat sementara oleh Jabatan Kesihatan Selangor bagi membolehkan pemeriksaan dilakukan di premis berkenaan.

Sepasukan lebih 15 pegawai dan pakar kesihatan awam dan persekitaran; 
kakitangan pelbagai unit, Pejabat Kesihatan Gombak melakukan pemeriksaan ke atas premis berkenaan seawal jam 8 pagi.
Ketua Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Azman Abu Bakar yang dihubungi Berita Harian semalam, berkata siasatan itu bagi mencari punca kematian dua bayi berkenaan sementara menunggu laporan penuh bedah siasat Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Kita mengkaji segala kemungkinan, termasuk jangkitan kuman dan turut memeriksa kesihatan pemilik, petugas pusat asuhan serta ibu bapa bayi berkenaan.

“Petugas kita sudah mengambil beberapa sampel untuk dikaji dan mengumpul segala maklumat melalui pemantauan yang dilakukan kerana kita bimbang kemungkinan wujud kuman yang boleh menjadi punca kematian dua bayi berkenaan,” katanya.

Azman berkata, kes dua kematian dalam tempoh beberapa minit dari satu pusat penjagaan adalah sesuatu yang pelik dan kajian terperinci perlu dilakukan.

“Pemeriksaan turut dilakukan di sebuah pusat asuhan lain terletak berhampiran,” katanya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata polis masih menunggu laporan bedah siasat dua bayi berkenaan sebelum mengambil tindakan susulan.

“Kita akan siasat selepas dapat laporan lengkap,” katanya, semalam.

‘Anak saya lemah, kurang menangis’

 “Selalunya dia kuat menangis terutama kalau mahu menyusu, tapi sejak Isnin lalu perangainya berubah. Dia kurang menangis dan tidak aktif seperti biasa,” kata Mohd Faizal Jaafar, 32, bapa Muzaffar, bayi tiga bulan yang meninggal ketika dalam jagaan sebuah pusat asuhan di Taman Permata, Ampang di sini, kelmarin.




PELUKAN terakhir: Mohd Faizal Jaafar bersama isterinya, Rohana Ahmad memangku jenazah anak mereka Muzaffar, 3 bulan, sebelum dikebumi semalam. Muzaffar dan seorang lagi bayi meninggal ketika dalam jagaan pengasuh di Taman Pertama, Ampang. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Dalam kejadian jam 1 tengah hari kelmarin, Muzaffar dan seorang lagi bayi tujuh bulan, Arif Amsyar Ruhi Budiman, meninggal dunia di pusat asuhan itu.

Mohd Faizal berkata, dia dan isterinya, Rohana Ahmad, 27, perasan anaknya kelihatan seperti lemah dan tidak bermaya tetapi tidak mengesyaki apa-apa.

“Isnin lalu, ibu saya membantu mengambil Muzaffar dari pusat asuhan berkenaan jam 6.30 petang kerana kebetulan isteri terpaksa menghadiri majlis makan malam.

“Selepas pulang dari kerja sekitar jam 7.30 malam, saya cuba mengusik dan menciumnya ketika sedang tidur dan kebiasaannya dia akan menangis. Namun, perangainya berbeza kerana dia tidak menangis atau merengek,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di AU5, Ampang, di sini, semalam.

Mohd Faizal yang bertugas sebagai pengurus projek di sebuah syarikat swasta di Subang Jaya berkata, beliau menghantar Muzaffar ke pusat asuhan berkenaan lebih sebulan lalu selepas isterinya habis pantang dan mula bekerja.

Jenazah Muzaffar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Lembah Keramat, AU5, di sini, pagi semalam, manakala Arif Amsyar di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Ridhuan, Hulu Kelang jam 9 pagi semalam.

Ruhi Budiman, 35, berkata pihak hospital memaklumkan kematian anaknya, yang juga anak bongsu daripada tiga beradik itu bukan disebabkan tersedak susu. - BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment