My Add

Thursday 26 January 2012

WCEF wujud pelaburan baru

NAJIB Tun Razak bersama Michael Yeoh (tiga, kiri); Mohd. Sidek Hassan (kiri); Lee Kim Yew (dua, kiri); Chua Soi Lek (tiga, kanan); Jefry Cheah (empat, kanan) dan Koh Tsu Koon (dua, kanan) menggaul ‘yee sang’ sempena pelancaran Forum Ekonomi China Sedunia di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. – BERNAMA

Oleh HASHNAN ABDULLAH

PUTRAJAYA, KHAMIS, 26 Januari, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak yang melancarkan Majlis Perniagaan Global Forum Ekonomi China Sedunia (WCEF) semalam, yakin inisiatif itu akan memberi peluang kepada Malaysia untuk memainkan peranan penting dalam koridor Pertumbuhan Ekonomi Segi Tiga baru.

Perdana Menteri berkata, ini kerana koridor yang merangkumi China melalui Asia Tenggara dan India hingga ke Asia Barat itu akan mewujudkan peluang perniagaan dan pelaburan yang sangat banyak.

‘‘Satu usaha baru yang akan membina jambatan antara Timur dan Barat, pada masa sama ia untuk menggalakkan kerjasama, memperkukuh integrasi ekonomi dan meningkatkan perdagangan di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penganugerahan khas dan pelancaran Majlis Perniagaan Global Forum Ekonomi China Sedunia di sini.

Pada majlis itu Najib menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat WCEF yang disampaikan penasihat WCEF, Datuk Seri Chua Soi Lek dan Penaung WCEF, Tan Sri Lee Kim Yew.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan; Pengerusi WCEF dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Strategi dan Kepemimpinan Asia (Asli), Datuk Michael Yeoh.

Najib menerima anugerah itu berikutan langkah berani dan sumbangannya ke arah mentransformasi negara terutamanya dalam bidang ekonomi.

Menurut Perdana Menteri, beliau percaya majlis perniagaan global itu bukan hanya dapat mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik malah mengukuhkan hubungan dengan China dan peniaga Cina dari seluruh dunia.

‘‘Majlis itu akan menjadi satu cara paling berkesan untuk mengumpul dan mengeratkan semua pemimpin dan usahawan yang bukan hanya dari China, India, ASEAN dan Asia Barat tetapi orang juga Cina dari seluruh dunia,” katanya.

Najib berkata, dalam iklim ekonomi semasa dan zon Eropah masih dibelenggu krisis kewangan teruk, ia kini bergantung kepada Timur, khususnya China, India dan ASEAN untuk memacu pemulihan dan pertumbuhan ekonomi global.

‘‘Ini adalah masa kita, jadi marilah kita mengambil kesempatan pada perubahan dalam sejarah ekonomi dunia dan memastikan bahawa abad ke-21 diketuai oleh Asia.

‘‘Saya tidak menggalakkan usaha persaingan yang wujud sejak sekian lama tetapi kita perlu saling melengkapi antara satu sama lain tetapi berasaskan keadaan ekonomi yang sedang kita hadapi sekarang ini, Asia perlu menjadi peneraju,” katanya.

Dalam ucapan sama, Najib berkata, kemampuan membina kekuatan dan bakat yang ada pada rakyat sendiri membolehkan Malaysia menawarkan apa sahaja di peringkat antarabangsa, sama ada sekarang atau masa depan.

Malah, beliau menambah, kepelbagaian budaya tidak harus dilihat sebagai halangan sebaliknya kekuatan untuk memupuk kerjasama dalam mencapai kejayaan yang lebih besar.

‘‘Pepatah Cina ada menyebut, jika anda ingin menikmati kemakmuran untuk tempoh setahun, maka berikan mereka makan. Jika anda mahu kemakmuran selama 10 tahun, tanamlah pokok. Dan jika anda mahu kemakmuran selama 100 tahun, bangunkan rakyatnya,” katanya.

Menyentuh penganugerahan itu, Najib menyifatkannya sebagai satu pengiktirafan terhadap sumbangan beliau kepada negara dan masyarakat Cina.

‘‘Tanpa sumbangan anda, Malaysia tidak mungkin berada di tahap sekarang ini, jadi saya ingin mengucapkan terima kasih atas penganugerahan itu,” katanya.

Majlis Perniagaan Global yang dijangka menghubungkan para pemimpin perniagaan dan usahawan dari China, Asia Tenggara, Australia dan Eropah itu turut menyediakan platform lain bagi pertukaran idea perniagaan, perkongsian pengalaman dan pengukuhan hubungan antara negara-negara di rantau ini.

Majlis itu dibuka bukan sahaja untuk ahli perniagaan Cina malah kepada ahli perniagaan semua bangsa dan keturunan dan turut menggalakkan kerakyatan korporat global, tadbir urus korporat, etika perniagaan dan pertumbuhan hijau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment