My Add

Tuesday 31 January 2012

Keputusan MB pegang Exco Agama molek - Presiden PAS

Abdul Hadi Awang
GOMBAK,  SELASA, 31 JanUARI, 2012: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan keputusan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim memegang sendiri potfolio agama Islam di negeri itu sebagai sangat molek.

Menurut Harakahdaily hari ini, Hadi berkata, dengan kelebihan Khalid sebagai Menteri Besar Selangor yang selalu berjumpa dengan Sultan, ianya akan memudahkan lagi urusan agama di negeri itu.

"Kita kena tahu di Selangor agama di bawah bidang kuasa raja melalui majlis agama.

"Kita nampak Tan Sri Khalid ini orang paling rapat dengan Sultan, dia paling kerap jumpa Sultan, jadi moleklah orang paling acap jumpa sultan (pegang exco agama)," katanya dalam pertemuan dengan Harakahdaily.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu yang dibangkitkan pihak tertentu khususnya Umno sebelum ini kononnya PAS dipinggir kerana tidak diberi portfolio agama kepada exco dari parti itu.

Isu tersebut timbul selepas Adun Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi dilantik sebagai Exco Selangor menggantikan Datuk Dr Hasan Mohd Ali.

Bagaimanapun, portfolio hal ehwal Islam yang sebelum ini di bawah Hasan kemudiannya diletakkan dibawah menteri besar sendiri manakala Dr Yunus dilantik memegang portfolio Belia, Sukan dan Adat Melayu.

Peluang itu sekaligus digunakan Umno dengan mendakwa PAS hilang potfolio agama.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang juga ahli parlimen Marang berkata, siapapun yang dilantik sebagai ketua tidak penting, namun yang lebih penting adalah siapa yang akan menjalankan tugas exco itu.

Sebab itu katanya, PAS masih berperanan besar apabila Menteri Besar melantik Adun Bangi Dr. Shafie Abu daripada PAS sebagai Pembantu Exco Agama.

"Cumanya kita lantik siapa bawah Tan Sri Khalid, ini yang penting. Setengah orang kita ni tak nampak (siapa) yang kena buat kerja, nak tengok siapa (ketua).

"Lagipun pilihan raya umum dekat dah," katanya sambil menyifatkan keputusan itu juga sebagai strategi pilihan raya. - Harakahdaily

Wilayah Persekutuan lambang terbaik pembangunan Malaysia

KUALA LUMPUR, SELASA, 31 Januari, 2012: Wilayah Persekutuan sebagai “penampilan" negara, harus menjadi lambang terbaik bagi kepakaran perancangan dan pelaksanaan pembangunan yang ada di Malaysia, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, Wilayah Persekutuan merupakan cerminan wajah Malaysia kepada dunia dan ia membentuk tanggapan pertama pelawat, pelancong dan pelabur yang datang.

"Sesungguhnya Kuala Lumpur sebagai ibu negara dan pusat komersial, Labuan sebagai pusat kewangan antarabangsa dan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan adalah nadi penting kepada negara.

"Kita tidak mahu Wilayah Persekutuan dikenali semata-mata melalui menara pencakar langit dan segala gejala negatif yang dikaitkan dengan urbanisasi, sebaliknya kita mengimpikan Wilayah Persekutuan yang hijau, ceria dan dengan alam sekitar yang sihat.

"Wilayah Persekutuan yang bugar sebagai pusat ilmu, kebudayaan, kesenian, fesyen dan kulinari,” katanya dalam perutusan Hari Wilayah 2012 yang dimuatkan dalam laman blog beliau, www.1Malaysia.com.my, hari ini.

Hari Wilayah Persekutuan disambut setiap 1 Februari.

Najib turut mengajak rakyat menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai tempat terbaik untuk anak-anak dan keluarga mereka.

"Marilah kita jadikan impian kita ini suatu realiti. Bagi menggarap masa depan tersebut, warga Wilayah Persekutuan perlu berganding bahu bersama–sama bergerak ke arah apa yang direncanakan,” katanya. — BERNAMA


PM lancar Briged Sukarelawan PLKN Sabtu ini

KUANTAN, SELASA, 31 Januari, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan melancarkan Briged Sukarelawan bekas pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Bandar Dara Chini, Pekan Sabtu ini.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, lebih 10,000 pengunjung dijangka hadir pada pelancaran itu.

Katanya, program itu juga akan diserikan dengan 3,000 bekas pelatih PLKN yang akan menyertai briged berkenaan.

Majlis yang bermula pukul 8.30 pagi itu antara lain melibatkan pengisian aktiviti seperti senamrobik dan sukan rakyat, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, idea mengenai penubuhan Briged Sukarelawan itu datang sendiri daripada Najib ketika majlis perjumpaan beliau dengan pelatih PLKN di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada tahun lepas. — BERNAMA

42,025 pemilih digugur daripada senarai pengundi

GEORGE TOWN, SELASA, 31 Januari, 2012: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengugurkan sebanyak 42,025 nama yang sebelum ini tersenarai sebagai pemilih berdaftar setelah rekod mereka didapati meragukan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, jumlah itu adalah daripada senarai 42,051 nama pemilih berdaftar yang rekodnya meragukan dan dipamerkan suruhanjaya itu sejak November lepas.

Katanya, setelah senarai itu dipamerkan selama dua bulan dan berakhir hari ini, hanya 50 orang atau waris sahaja tampil membuat pengesahan mengenai status rekod pemilih mereka atau warisnya.

Daripada jumlah itu, 27 orang di Kelantan dan 10 daripadanya adalah pemilih aktif, Terengganu (13) dan 10 pemilih aktif, Pahang (empat) dan tiga adalah pemilih aktif, Kedah (tiga) dan seorang daripadanya adalah pemilih aktif, Negeri Sembilan seorang sahaja dan didapati pemilih tidak aktif serta masing-masing seorang pemilih dan disahkan aktif di Perlis dan Selangor.

"Kita telah memberi tempoh yang lama iaitu selama dua bulan atas permintaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (mengenai Penambaikan Proses Pilihan Raya) walaupun pada asalnya senarai itu akan dipamerkan selama sebulan dan sepatutnya berakhir 31 Disember lepas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Talimat Persediaan Pilihan Raya Umum ke-13 kepada Pegawai Pengurus/Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya di sini.

Abdul Aziz berkata, bagi tempoh suku tahun ketiga tahun lepas, jumlah pemilih berdaftar di seluruh negara kini adalah sebanyak 12,400,437 orang.

Katanya, jumlah rakyat yang berumur 21 tahun ke atas bagi tempoh itu ialah sebanyak 16,131,571 orang dan ini bermakna 3,7341,134 orang atau 23 peratus daripada warga yang layak mengundi masih tidak berdaftar sebagai pemilih.

Berdasarkan pecahan kaum pula, kaum Melayu yang mencapai usia 21 tahun ke atas adalah yang paling ramai tidak mendaftar sebagai pemilih.

Beliau juga meminta pemilih yang berpindah alamat supaya mengambil inisiatif untuk mengemaskinikan rekod dengan melaporkan pertukaran alamat kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan kemudiannya menghubungi SPR bagi mengelak kekeliruan tempat mengundi kelak.

Katanya, jumlah pemilih di negara ini meningkat kira-kira 300,000 orang pada setiap suku tahun dan jika pilihan raya umum ke-13 diadakan pada Jun tahun ini, jumlah pemilih berdaftar yang digunakan adalah bagi tempoh suku tahun pertama tahun ini.

Mengenai terdapat cadangan agar rakyat Malaysia di luar negara dibenarkan mengundi, beliau berkata, setakat ini Wisma Putra telah menyatakan bahawa mereka tidak sanggup untuk menggendalikan proses mengundi di luar negara.

"Ini kerana jumlah rakyat Malaysia di luar negara adalah ramai dan mereka berada di merata tempat, selain itu SPR juga akan berbincang mengenai takrifan siapakah rakyat Malaysia dan satu garis panduan mengenainya haruslah diwujudkan,” katanya.

Mengenai desakan kerajaan Pulau Pinang yang terus mendesak SPR menggendalikan pilihan raya kerajaan tempatan di negeri ini, Abdul Aziz berkata beliau telah menjelaskan secara bertulis kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng bahawa SPR tidak mempunyai kuasa berbuat demikian ekoran pemansuhan undang-undang mengenai pilihan raya itu.

Katanya, bagaimanapun kerajaan negeri ini bebas untuk membuat pilihan raya kerajaan tempatan itu dan mereka boleh menggendalikannya sendiri tanpa penglibatan SPR seperti yang pernah dilakukan oleh sebuah negeri bagi tujuan pemilihan ketua kampung. — BERNAMA


SPAD kuat kuasa lesen pengendali mulai hari ini

KUALA LUMPUR, SELASA, 31 Januari, 2012: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) menguatkuasakan lesen pengendali iaitu sistem perlesenan baru bagi semua kenderaan pengangkutan awam darat mulai hari ini.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, lesen pengendali merupakan lesen yang diperuntukkan mengikut Akta PAD 2010 dan ia diperlukan oleh semua pemilik kenderaan pengangkutan awam untuk menggantikan lesen kenderaan kepada lesen pengendali.

"Konsep lesen pengendali ini adalah sebagai satu mekanisme bagi tujuan mengawal selia pengusaha pengangkutan awam untuk meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam darat,” katanya.

Beliau berkata, kelebihan lesen pengendali ini, pengusaha hanya memerlukan satu lesen utama bagi semua kenderaan.

"Ini adalah yang utama di mana pengusaha tidak perlu 200 lesen jika mempunyai 200 kenderaan dan hanya memerlukan satu lesen pengendali sahaja,” katanya selepas majlis penyerahan lesen pengendali kepada tiga syarikat pengusaha pengangkutan awam. — BERNAMA


Waspada pihak ambil kesempatan saguhati bekas polis darurat

IPOH, SLLASA, 31 Januari, 2012: Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini meminta bekas anggota polis yang berkhidmat pada zaman darurat atau waris mereka supaya berwaspada terhadap kemungkinan berlaku sebarang penipuan oleh pihak yang mengambil kesempatan berhubung pemberian sagu hati khas sebanyak RM3,000.

Timbalan Menteri, Datuk Lee Chee Leong berkata, mereka perlu berhati-hati supaya tidak tertipu dengan individu yang mungkin mengenakan sejumlah bayaran perkhidmatan bagi mendapatkan borang berkenaan.

"Berhati-hati daripada pihak yang menipu dengan mengenakan bayaran tertentu seperti bayaran perkhidmatan. Borang kita diberikan secara percuma, tiada sebarang bayaran dikenakan untuk mereka mendapatkan sagu hati khas itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan pemberian sagu hati khas sebanyak RM3,000 kepada 16 anggota bekas polis yang bertugas pada zaman darurat di Dewan Ikatan Rela, Pasir Pinji di sini.

Beliau meminta sekiranya bekas anggota polis atau waris mereka mengesan ada pihak yang berbuat demikian supaya melaporkan segera ke balai polis berhampiran. — BERNAMA

Kerajaan tiada kaitan dengan angpau putih - Najib

KUALA LUMPUR, SELASA, 31 Januari, 2012: Pemberian angpau berwarna putih pada satu perhimpunan Tahun Baru Cina anjuran Perkasa pada Ahad lepas, yang dianggap menghina kaum Cina kerana ia biasanya diberikan semasa kematian, tidak ada kaitan dengan kerajaan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, pemimpin Perkasa, sebuah badan bukan kerajaan, adalah Datuk Ibrahim Ali yang merupakan Ahli Parlimen Bebas, dan oleh itu, pemberian paket berwarna putih pada majlis itu tidak harus dilihat sebagai sesuatu yang dipersetujui oleh kerajaan.

Menulis dalam Facebook berbahasa Cina beliau, “Ah Jib Gor”, Najib berkata :
“Saya berpendapat bahawa jika kita benar-benar faham budaya dan pantang larang kaum Cina, kontroversi seperti ini boleh dielakkan.

"Kita semua tahu perkataan angpau ertinya envelop merah, yang warnanya mestilah merah dan bukan warna lain. Insiden ini boleh dijadikan satu pengajaran sosial.” Semalam Naib Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong meminta Perkasa memohon maaf kepada masyarakat Cina berhubung kejadian itu manakala Setiausaha Agung Pemuda MCA, Chai Kim Sen menyifatkan tindakan Perkasa itu sebagai tidak menghormati adat budaya kaum Cina.

Timbalan Presiden Perkasa, Datuk Abdul Rahman Bakar telah menjelaskan bahawa angpau berwarna merah memang digunakan pada majlis itu tetapi disebabkan ia telah kehabisan, envelop putih terpaksa digunakan. — BERNAMA

Kenyataan Anwar dalam WSJ akan beri gambaran negatif

KUALA LUMPUR, SELASA, 31 Januari, 2012: Kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Wall Street Journal (WSJ) bahawa beliau akan mempertahankan keselamatan Israel baru-baru ini, akan memberi gambaran negatif di kalangan bukan Islam dan menunjukkan seolah-olah umat Islam tidak bersatu dalam memperjuangkan isu membabitkan Palestin. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata apa yang diperkatakan Ketua Pembangkang itu sangat serius, merbahaya dan akan memberi mesej yang salah kepada umum kerana kenyataannya boleh disalah tafsir kelak.

"Apabila Anwar berkata dia menyokong kedaulatan negara Israel dan sanggup mempertahankan keselamatan negara itu, ia seolah-olah memberi mesej berkaitan strategi iaitu strategi agar Israel menyerang negara lain demi mempertahankan negara sendiri," katanya.

Dalam temubual dengan akhbar WSJ baru-baru ini, Anwar menyatakan sokongan terhadap semua usaha bagi menjaga dan melindungi keselamatan Israel. 

Jamil Khir berkata demikian selepas Persidangan Penyelarasan Baitulmal antara Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri di sini, hari ini. - BERNAMA

CUEPACS tubuh Jawatankuasa Bertindak SBPA


PRESIDEN CUEPACS, Datuk Omar Osman pada sidang media berkaitan isu semasa kakitangan awam selepas Majlis Forum Bersama ahli kesatuan itu Kuala Lumpur, hari ini. Beliau menegaskan akan memperjuangkan hak ahli dan mahu tiga lagi ahli kepimpinan Cuepacs, termasuk Timbalan Presiden, Azih Muda (kanan) dan Setiausaha Agung, Lok Yim Pheng (kiri) diberi tempat dalam mesyuarat penambahbaikan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 8 Januari nanti. - Foto Bernama


KUALA LUMPUR, SELASA, 31 Januari, 2012: CUEPACS menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) bagi menyediakan satu kertas kerja yang komprehensif berhubung penambahbaikan skim itu. 

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata kertas kerja itu akan turut merangkumi lima tuntutan yang dibuat oleh kesatuan sekerja berkenaan sebelum ini.

Omar berkata, jawatankuasa itu akan diketuai Timbalan Presiden I CUEPACS, Azih Muda dan dianggotai kira-kira 15 ahli jawatankuasa.
Beliau berkata demikian pada sidang media di sini, sebentar tadi. 

Omar berkata, jawatankuasa itu akan menyiapkan kertas kerja berkenaan dalam tempoh tiga minggu sebelum menyerahkannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Hasan Ali tubuh Jati untuk teruskan perjuangan

SHAH ALAM,  SELASA, 31 Januari, 2012: Bekas ahli Pas, Datuk Dr Hasan Ali akan menubuhkan badan bukan kerajaan (NGO) dinamakan "Jati" untuk meneruskan agendanya memperjuangkan agama Islam, hak orang Melayu dan raja-raja Melayu.

"Secara peribadi orang tanya saya nak sertai UMNO atau PKR (Parti Keadilan Rakyat)... saya nak katakan, saya tidak akan sertai mana-mana parti politik, saya akan sertai NGO yang namanya Jati,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau yang ditemui selepas berceramah di Seksyen 17 malam tadi, turut mengakui masih sayangkan Pas dan mahu membantu parti itu menghapuskan golongan ”parasit” yang cuba merosakkan perjuangan asal Pas.

Sejak dipecat dari Pas pada 8 Januari lepas, spekulasi tersebar luas bahawa bekas anggota exco kerajaan negeri Selangor itu akan menyertai UMNO.

Mengulas mengenai Jati, bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu berkata, NGO tersebut akan dilancarkan pada 21 Februari ini.

Beliau turut mengajak NGO lain untuk bergabung dengan Jati bagi membentuk ”kuasa ketiga” yang diharapkan dapat mengimbangi kehadiran Barisan Nasional dan pakatan pembangkang pada pilihan raya umum ke-13.

Ditanya sama ada kuasa ketiga itu akan menyokong parti memerintah, Hasan berkata perkara tersebut belum diputuskan.

"Kita adalah kuasa ketiga kalau bertanding pun atas nama kuasa ketiga dan kita tak kisah sama ada kita bertanding bersama atau tidak bersama dengan mana-mana parti politik,” katanya. — BERNAMA


Mahkamah tetapkan 4 April perbicaraan kes NFC

              Shamsulbahrin Ismail
KUALA LUMPUR, SELASA, 31 Januari, 2012: Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, menetapkan dua hari bermula 4 April, untuk perbicaraan kes ahli perniagaan Datuk Shamsulbahrin Ismail, yang dituduh menipu pengarah Perbadanan Fidlot Nasional (NFC), Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail sebanyak RM1.755 juta.

Hakim Rozilah Salleh menetapkan tarikh itu apabila kes tersebut disebut di hadapan beliau.

Ketua Unit pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa memberitahu mahkamah bahawa pendakwaan akan memanggil 15 saksi.

Shamsulbahrin, 46, dituduh menipu Mohamad Salleh dengan sengaja menjanjikan khidmat perundingan dengan niat tidak ikhlas untuk memujuk mangsa (Mohamad Salleh) bagi bersetuju membayar khidmat berkenaan.

Tertuduh yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Resources Sdn Bhd dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Bukit Tunku di sini pada pukul 6 petang, 20 November tahun lepas.

Dia juga dituduh menipu Mohamad Salleh dengan memperdayakan beliau bagi menyerahkan cek bernilai RM1.755 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Solaris, Mont Kiara di sini antara 25 November dan 6 Disember tahun lepas.

Kedua-dua pertuduhan itu dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan dirotan serta boleh juga kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Shamsulbahrin diwakili Zarina Ismail. — BERNAMA


Sabar, kita tunggu PRU13!

SELASA, 31 Januari, 2012
KEPADA Pas, kenyataan Perdana Menteri bahawa kerajaan Barisan Nasional pimpinannya mempunyai Rela dan tentera untuk mempertahankan Putrajaya tidak terlepas ke tangan pihak lain, berbaur ugutan dan menyalahi undang-undang. .

Salahkah bagi Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan demikian atas sifatnya sebagai ketua kerajaan yang mentadbir negara ini?

Apakah kenyataan itu boleh ditafsirkan sebagai menyalahi undang-negara dan sebagai ugutan kepada rakyat?

Menurut laporan Harakahdaily kelmarin, bagi Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, tindakan Najib itu ternyata UMNO masih juga tidak berubah walaupun berjanji untuk melakukan perubahan bagi perjalanan pilihan raya di negara ini agar menjadi bersih, adil dan telus seperti yang dituntut oleh rakyat.

Kata Tuan Ibrahim, tindakan terbaru Najib itu jelas bertentangan dengan undang-undang, mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan mengenai perkara tersebut.

"Pada hal dia perdana menteri. Mana boleh Perdana Menteri mengugut rakyat?" katanya ketika pada Retreat Harakah Persiapan Menghadapi PRU ke-13 di Hutan Lipur Sungai Tua, Selangor.

Tak perasankah Datuk usaha sedang dilakukan oleh kerajaan BN sekarang bagi perubahan perjalanan pilihan raya di negara kita?

Bersabarlah Datuk, kita tunggu PRU13, sama ada pilihan raya ittu nanti bersih, telus dan adil!

Memang sewajarnya Najib sebagai ketua kerajaan memberitahu rakyat keazaman BN tetap dan akan mempertahankan Putrajaya dari terlepas ke tangan pihak lain, hatta ke titisan darah yang terakhir.

SPR gugur 42,025 nama daftar pemilih yang diragui

GEORGETOWN, SELASA, 31 Januari, 2012: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menggugurkan seramai 42,025 orang yang diragukan statusnya daripada senarai daftar pemilih selepas tempoh semakannya tamat hari ini. 

Pengerusinya,Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata demikian pada sidang media selepas majlis taklimat khas bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di sini, sebentar tadi.



SUHAKAM gesa Kelantan atasi segera masalah Orang Asli

KUALA LUMPUR, SeLASA, 31 Januari, 2012: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menggesa kerajaan Kelantan supaya menyelesaikan segera masalah membabitkan masyarakat Orang Asli di negeri itu. 

Pengerusinya, Tan Sri Hasmy Agam, berkata kerajaan negeri Kelantan perlu melindungi hak Orang Asli di negeri mereka, terutama dalam aspek hak tanah nenek moyang dan hak kehidupan kaum itu.

"Sehubungan itu, SUHAKAM menggesa semua kerajaan negeri supaya menghormati keputusan mahkamah yang memberi hak tanah kepada Orang Asli dan mengadakan lebih banyak rundingan terbuka bersama masyarakat itu," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Hasmy mengulas tindakan polis menahan 13 penduduk masyarakat Temiar, yang dipercayai mengetuai perhimpunan haram mewakili 800 penduduk kaum itu di Kampung Parik, Gua Musang Selasa lalu, kerana membantah tanah adat mereka diceroboh dengan aktiviti pembalakan dan pembukaan ladang. 

Susulan kejadian itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dilapor, berkata tidak ada kategori tanah adat di Kelantan kecuali tanah hutan simpan, tanah kerajaan dan tanah milik. 

Beliau turut mendakwa bantahan itu disebabkan Jaringan Orang Asal Semenanjung (JOAS) yang berpangkalan di luar Kelantan dihasut untuk mengajak kumpulan Orang Asli berkenaan berdemonstrasi berkaitan isu tanah adat. 

Bagaimanapun, Hasmy berkata, pihaknya difahamkan bantahan itu berlaku kerana aktiviti pembalakan masih diteruskan walaupun selepas pihak berkuasa negeri memberi jaminan untuk menyelesaikan ketidakpuasan hati masyarakat Temiar pada pertengahan bulan ini. 
Beliau juga menegur tindakan polis dalam menangani demonstrasi itu yang menunjukkan sikap kurang sensitif dan pemahaman tentang nasib rakyat yang terpinggir. 

“SUHAKAM sedang menjalankan inkuiri nasional mengenai hak tanah Orang Asli bagi merangka syor kepada kerajaan pusat dan negeri supaya mengkaji semula perundangan domestik tanah dan dasar yang menerapkan pendekatan hak asasi,” katanya. - BERNAMA

Penulis blog mohon maaf kepada Kalimullah Hassan

KUALA LUMPUR, SELASA, 31 Januari, 2012: Penulis blog, Datuk Ahirudin Attan secara rasminya hari ini memohon maaf kepada bekas Timbalan Pengerusi New Straits Times Press Bhd. (NSTP), Datuk Seri Kalimullah Masheerul Hassan dan tiga bekas pegawai kanannya, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung kenyataan yang didakwa berbaur fitnah terhadap mereka.

Permohonan maaf tersebut dibacakan oleh Ahirudin di kamar Hakim Datuk Asmabi Mohamad dengan kehadiran peguam Datuk Jahaberdeen Mohamed Yunoos mewakili Ahirudin dan peguam Rishwant Singh mewakili kesemua plaintif.

Dengan permohonan maaf tersebut, kes saman kira-kira enam tahun lalu itu, selesai di luar mahkamah.

Dalam writ saman yang difailkan pada 4 Januari 2007, Kalimullah dan tiga lagi menyatakan, Ahirudin yang pernah menjadi Penasihat Editorial Kumpulan Malay Mail, telah menerbitkan artikel berbaur fitnah terhadap mereka antara 8 Jun 2006 dan 2 Disember 2006. - UTUSAN

Zulkifli Nordin cabar Anwar saman WSJ jika salah lapor

KUALA LUMPURSELASA, 31 Januari, 2012: Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin mencabar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaman The Wall Street Journal (WSJ) jika benar penerbitan itu silap melaporkan kenyataannya berhubung isu Israel.

Kata Zulkifli, Anwar tidak sepatutnya hanya berani menyaman media tempatan terutamanya Utusan Malaysia kononnya mendakwa kenyataan beliau sering disalah lapor.

''Kalau berani, kalau ada pendirian, silakan saman The Wall Street Journal. Tengok apa jadi nanti. Dan saya nasihatkan media Malaysia, eloklah hubungi editorial The Wall Street Journal. Beritahu mereka Anwar kata dia telah disalah lapor," katanya menerusi entri terbaru bertajuk Al-Yahud di blognya di http://zul4kulim.blogspot.com semalam.

Entri itu merujuk kepada kontroversi kenyataan Anwar menerusi wawancara dengan WSJ pada 26 Januari lalu yang antara lain menyokong semua usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel.

Kenyataan itu menimbulkan kemarahan banyak pihak termasuk daripada pemimpin Pas sendiri menyebabkan Anwar menerusi blognya dua hari kemudian memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang cuba memutar belit kenyataannya.

Zulkifli dalam entri yang sama turut mendesak pemimpin Pas menyatakan pendirian berhubung kenyataan itu yang disifatkan beliau sangat penting kerana melibatkan soal maruah negara.

Katanya, pemimpin Pas perlu menjelaskan kepada rakyat sama ada mereka berkongsi rasa dan pandangan dengan Anwar apatah lagi Penasihat PKR itu mahu ditabalkan sebagai pemimpin kepada pakatan pembangkang.

''Persoalan yang rakyat Malaysia dan umat Islam ingin tahu adalah, adakah pakatan DAP-PKR-Pas akan mengiktiraf rejim zionis Israel? Adakah pakatan DAP-PKR-Pas akan mengadakan hubungan diplomatik dengan rejim zionis Israel? Adakah pakatan DAP-PKR-Pas akan menghantar tentera Malaysia untuk melindungi keselamatan rejim zionis Israel?

''Ini penting kerana rakyat tidak diberitahu apa pendirian mereka jika menjadi kerajaan. Dalam manifesto tidak ada dan dalam Buku Jingga pun tidak ada. Jangan nanti rakyat diperdaya, merasa tertipu dan ditipu," katanya. - UTUSAN


Kenyataan Anwar selari Inisiatif Keamanan Arab - Nur Manuty

KUALA LUMPUR, SELASA, 3I Januari, 2012: Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Muhammad Nur Manuty menyifatkan kenyataan Ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu Israel adalah selari dengan Inisiatif Keamanan Arab.

Dalam kenyataan yang dilihat cuba membela Anwar itu juga, Muhammad Nur menambah, ia juga didokong oleh gerakan Islam seluruh dunia termasuk Hamas, sebuah gerakan yang mempelopori perjuangan rakyat Palestin.

"Hamas pernah menyatakan kebarangkalian untuk melihat realiti kewujudan dua buah negara yang berasingan, tetapi pemimpin Hamas mahu memastikan Israel benar-benar jujur untuk mengiktiraf negara Palestin menurut Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1967.

"Bagaimanapun, sekiranya kedaulatan negara Palestin ini tidak dijamin, Hamas tidak bersetuju.

"Jadi, tidak menjadi kehairanan apabila Datuk Seri Anwar, dengan mengambil kira politik semasa menyebut mengenai isu ini yang tidak terkeluar daripada pandangan gerakan Islam seluruh dunia termasuk Hamas," katanya seperti yang dipetik menerusi satu artikel yang tersiar di laman webKeadilan Daily di http://www.keadilandaily.com semalam.

Justeru, dakwa Muhammad Nur, kenyataan Anwar mengenai isu sekuriti Israel itu cuba diputarbelitkan oleh media termasuk Utusan Malaysia, seolah-olah menggambarkan Anwar mementingkan keselamatan rejim tersebut. - UTUSAN

Memalukan Malaysia, dunia Islam - Fairus

KUALA LUMPUR, SELASA, 31 Januari, 2012: Kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau menyokong semua tindakan bagi menjaga keselamatan Israel bukan sahaja memalukan Malaysia, malahan dunia Islam secara keseluruhan.

Bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin berkata, sebagai seorang Islam, seseorang individu itu perlu mengutamakan 'keselamatan' rakyat Palestin terlebih dahulu yang saban hari berhadapan dengan tindakan kejam rejim Zionis.

Katanya, walaupun Anwar menyebut keperluan Israel 'menghormati' aspirasi Palestin ketika dalam satu wawancara baru-baru ini, Ketua Pembangkang itu dilihat condong menyebelahi rejim Zionis apabila menjawab tentang prospek hubungan diplomatik Malaysia -Israel jika beliau menjadi Perdana Menteri nanti.

"Sebagai bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), kenyataan Anwar itu amat memalukan, tidak bertanggungjawab, hina dan keji. Semua negara Islam mengutuk tindakan Zionis yang hampir setiap hari melakukan penahanan sewenang-wenang terhadap rakyat Palestin.

"Daripada seorang yang konservatif sewaktu memimpin ABIM, Anwar kini dilihat semakin liberal dalam setiap kenyataan yang dikeluarkan termasuk isu 'gay' semata-mata kerana ingin memenangi hati dunia Barat, seterusnya mengimpikan cita-cita menjadi Perdana Menteri Malaysia," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sebuah wawancara Anwar dengan WSJ Khamis lalu mengenai pendiriannya yang menyokong semua usaha untuk menjaga keselamatan negara Israel.

Dalam wawancara itu, Anwar tidak menyatakan secara jelas sama ada berhasrat membuka hubungan diplomatik dengan Israel, apabila hanya memberitahu usaha berkenaan bergantung sama ada Israel akan menghormati aspirasi rakyat Palestin.

Mohammad Fairus menambah, ekoran kenyataan itu, tidak mustahil Anwar akan menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel jika ditakdirkan menjadi Perdana Menteri pada masa depan.

"Ini semua kuasa Allah, rakyat kini dapat menilai sikap lidah bercabang dan putar-belit Anwar. Sepatutnya setiap umat Islam perlu menyatakan pendirian teguh bahawa Palestin harus menjadi sebuah negara merdeka dan berdaulat tanpa sebarang syarat," tegasnya.

Bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari pula memberitahu, kenyataan terbaru Anwar itu membuktikan Penasihat PKR itu kini berusaha memulihkan imej beliau setelah pendiriannya yang berubah-ubah dalam isu Israel-Palestin diketahui dunia Barat.

"Anwar berdolak-dalih di sini bagi meredakan kemarahan penyokongnya. Seorang 'putar alam' seperti Anwar akan terus berbohong sedangkan segala butiran temuramahnya ada direkodkan.

"Anwar juga tidak dapat menahan dirinya daripada 'menjaga keselamatan Israel' setelah negara itu muncul sebagai destinasi pelancongan 'gay' terbaik bagi tahun 2011," tegasnya. - UTUSAN


Guris perasaan umat Islam seluruh dunia

SHAH ALAM, SELASA, 31 Januari, 2012: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diingatkan agar lebih berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan berhubung kedudukan negara Israel kerana ia boleh menyentuh perasaan umat Islam di seluruh dunia.

Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Dr. Mohd. Roslan Mohd. Noor menegaskan, pihaknya boleh menerima penjelasan yang diberikan oleh Anwar bahawa beliau menyokong agar tiadanya hubungan diplomatik dengan rejim Zionis ekoran kenyataan kontroversinya mengenai 'sokongan terhadap usaha memberikan perlindungan kepada keselamatan Israel'.

Namun, katanya, Anwar perlu membuktikan terlebih dahulu bahawa The Wall Street Journal (WSJ) tidak memetik sepenuhnya kenyataan beliau itu.

''Kita nasihatkan beliau (Anwar) agar tidak mengulangi kenyataan sedemikian kerana ia memberikan impak besar," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Anwar dalam wawancaranya dengan WSJ pada Khamis lalu yang antara lain memetik; ''Saya sokong usaha untuk melindungi keselamatan Israel''.

Mohd. Roslan yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Tamadun dan Sejarah Islam Universiti Malaya berkata, apa yang diperkatakan oleh Anwar itu membabitkan isu antarabangsa dan ia perlu mengambil kira perjuangan rakyat Palestin yang lama tertindas oleh rejim Zionis.

''Semenjak Palestin dijajah pada 1917 hingga hari ini, rakyatnya hidup dalam sengsara, terbuang dan menjadi pelarian. Hak rakyat Palestin mesti terus dibela," katanya. - UTUSAN

Justeru, beliau meminta agar tidak ada mana-mana pihak termasuk para pemimpin politik di negara ini menimbulkan sesuatu yang menyebabkan rakyat Palestin terus dihina.

''Umat Islam perlu membela rakyat Palestin. Kerajaan mesti mengelakkan diri daripada mengadakan hubungan dengan Israel dan agensinya selagi Israel tidak mengiktiraf negara Palestin.

''Kerajaan perlu desak Israel agar berundur dari tanah yang diceroboh dan mendesak mereka berundur ke sempadan," katanya yang juga lulusan Pengajian Islam Jurusalem.


Anwar khianati bangsa Palestin, umat Islam

KUALA LUMPUR, SELASA. 31 Januari, 2012: Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan sokongan terhadap usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel dilihat sebagai satu bentuk pengkhianatan terhadap Palestin dan umat Islam keseluruhannya.

Penasihat Yayasan Keamanan Global Perdana Malaysia (PGPF), Datuk Mukhriz Mahathir berkata, ini kerana rejim Zionis telah melakukan pelbagai kekejaman terhadap penduduk Palestin sejak sekian lama.

Menurut beliau, bukan sahaja penduduk Palestin, sukarelawan dan aktivis kemanusiaan yang cuba menghulurkan bantuan di Palestin juga turut terkena 'tempias' kekejaman Israel apabila konvoi bantuan mereka diserang serta disekat untuk melaksanakan misi berkenaan.

''Jika pengganas termasuk negara pengganas menzalimi mangsanya, patutkah kita bersimpati dengan mereka (pengganas) atau bersimpati dengan mangsa?

''Setiap kali Zionis Israel membunuh rakyat Palestin, mereka menggunakan alasan mempertahankan keselamatan negara.

''Alasan yang sama juga digunakan apabila jentolak Israel merobohkan rumah-rumah rakyat Palestin di Tebing Barat,'' katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau mengulas wawancara Anwar dengan The Wall Street Journal Khamis lalu mengenai pendiriannya yang menyokong semua usaha untuk menjaga keselamatan negara Israel.

Mukhriz berkata, Israel tidak seharusnya 'dibela' setelah ramainya penduduk di Gaza dibunuh, beratus-ratus resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilanggari, aktivis Flotila Kebebasan ditembak mati dan sukarelawan PGPF ditahan kerana membawa bekalan bantuan.

''Kini seorang yang bercita-cita tinggi menjadi Perdana Menteri pula menggunakan alasan yang sama dalam menyokong negara pengganas Israel.

''Anwar mengkhianati Palestin dan umat Islam sedunia. Malah, masyarakat dunia berbilang agama yang menuntut keadilan bagi Palestin juga turut terkejut dengan kenyataan Anwar yang sebelum ini menonjol dirinya sebagai pemimpin Islam,'' tambahnya. - UTUSAN

Layanan sama rata – Hishammuddin

Oleh HAMDAN TAWADI

KLUANG, SELASA, 31 Januari, 2012: “Kewujudan apa sahaja kuasa, sama ada kuasa ketiga, keempat atau kelima, keutamaan saya tetap terhadap keselamatan negara dan kepentingan orang ramai”.

Itu jawapan tegas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika ditanya tentang kewujudan ‘kuasa ketiga’ dalam landskap politik negara.

Menurut beliau, kewujudan kuasa ketiga bukan sahaja berlaku di negara ini, sebaliknya ia adalah suatu fenomena global, namun Kementerian Dalam Negeri melayan semua pihak sama rata dalam menghadapi sebarang ancaman yang boleh mengganggu gugat kepentingan negara.

“Bagaimanapun, jika niatnya baik, jika untuk pembangunan negara atau perpaduan, tiada sebab mengapa kita tidak boleh bekerjasama,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan kunci rumah baru kepada 56 mangsa banjir sekitar Kampung Gajah yang dipindahkan ke Taman Desa Sejahtera menerusi projek dibangunkan Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) di sini, semalam.

Setakat ini, belum ada perincian jelas tentang ‘kuasa ketiga’ tetapi secara mudah ia merujuk kepada pihak yang tidak berada dalam BN mahupun pakatan pembangkang.

Kuasa ketiga yang dibayangkan ialah satu kumpulan mereka yang amat insaf terhadap kegawatan dan kecelaruan yang dihadapi oleh umat Islam di Malaysia sekarang khususnya orang Melayu yang menjadi tonggaknya.

Kumpulan itu juga bimbang terhadap kedudukan raja-raja Melayu sebagai ketua agama Islam yang tercabar dan segala status-quo yang mapan sekian lama, kini semakin menjadi mangsa kepada percaturan, kerakusan serta pergelutan politik.  - UTUSAN

Kenyataan Anwar tidak mewakili pakatan pembangkang

SHAH ALAM,SELASA, 31 Januari, 2012: Pas Selangor menganggap kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan menyokong usaha melindungi keselamatan Israel seperti mana dilaporkan dalam The Wall Street Journal (WSJ) sebagai satu kenyataan yang tidak mewakili pakatan pembangkang.

Sebaliknya, Timbalan Pesuruhjaya III Pas negeri, Khalid Abdul Samad berkata, kenyataan Anwar itu adalah kemungkinan mewakili pendirian peribadi Anwar atau pun parti yang diwakilinya atas kapasiti sebagai Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Pada dasarnya Pas tidak mengiktiraf negara Israel yang ditubuhkan secara haram melalui keganasan, merampas tanah dan hak asasi penduduk Palestin.

''Dalam pakatan, PKR, Pas dan DAP masing-masing mempunyai pendirian berbeza dalam isu-isu tertentu termasuklah dasar luar.

''Kita mempunyai pendirian yang sama dalam soal untuk memerintah negara namun berpendapat bahawa apa yang dinyatakan oleh beliau (Anwar) menerusi laporan WSJ itu adalah petikan terpilih," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Anwar yang disiarkan menerusi WSJ bertarikh 26 Januari lalu yang memetik Ketua Pembangkang itu sebagai berkata; ''saya menyokong semua usaha untuk melindungi negara Israel''.

Kenyataan tersebut dikecam oleh orang ramai termasuk pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang menganggap ia satu kenyataan yang memperlihatkan seola-olah Anwar memberikan sokongan terhadap Israel yang selama menindas rakyat Palestin.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam bagaimanapun menafikan kedudukan Pas akan terjejas berikutan kenyataan Anwar itu yang telah menimbulkan kemarahan rakyat di negara ini khususnya masyarakat Islam.

"Saya yakin Pas tidak terjejas. Kita (Pas, PKR dan DAP) mempunyai pendirian yang sama dalam soal bagaimana untuk memerintah negara.

''Mengenai kenyataan (Anwar) itu, kita akan teliti dan kaji apa maksud sebenarnya. Setakat ini kita tidak terima penjelasan lagi (daripada Anwar) mengenai kenyataan itu.

''Namun, kita percaya Anwar tidak sokong Israel," kata beliau. - UTUSAN

Selangor perlukan anak jati

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA

KUALA LUMPUR, SELASA, 31 Januari, 2012: Tengku Panglima di Raja Selangor, Tengku Sulaiman Salahuddin Abdul Aziz Shah tidak mahu negeri itu dikuasai pihak luar yang tidak tahu asal-usul negeri tersebut.

Sehubungan itu, Tengku Sulaiman menggesa agar orang Melayu jangan sesekali menimbulkan perpecahan di kalangan mereka jika mahu keamanan yang dinikmati berkekalan.

Pada masa yang sama, Tengku Sulaiman juga mengingatkan generasi muda di Selangor supaya mengambil iktibar daripada perit jerih pejuang-pejuang terdahulu membina negeri itu.

“Janganlah negeri Selangor dikuasai bukan anak jati yang tidak tahu bagaimana asal-usul negeri ini,” kata Tengku Sulaiman semasa merasmikan majlis meraikan penggiat seni di Kuala Selangor di sini, Sabtu lalu.

Dalam pada itu, Tengku Sulaiman berharap agar sejarah mengenai Selangor dapat diajar di seluruh sekolah-sekolah di negeri itu bagi memastikan generasi muda menghargai kepentingan raja Melayu.

Mengenai majlis merai penggiat seni, Tengku Sulaiman meminta golongan tersebut agar mengembang potensi yang ada di Kuala Selangor bagi memperkukuhkan lagi perpaduan selaku anak jati Selangor.

“Rakyat Kuala Selangor harus bersatu sebagai anak jati Selangor yang sayangkan negeri kerana daerah ini bermula asal-usul Bukit Melawati (istana),” kata Tengku Sulaiman. - UTUSAN


BN kunci kejayaan kaum Cina

Oleh SOFIAN BAHAROM

KUALA LUMPUR, SELASA, 31 Januari, 2012: Nikmat keamanan dan kestabilan negara di bawah pimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) merupakan kunci utama kejayaan masyarakat Cina meraih kekayaan di negara ini.

Sehubungan itu, Pengerusi Penganut Dewa Teoh Kong Seng, Roger Hia Lim Koaa berkata, mereka harus menghargai segala nikmat kemakmuran yang dikecapi di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Berkat kestabilan dan keamanan yang berjaya dilaksanakan oleh kepimpinan BN, maka masyarakat Cina dan pelbagai kaum lain boleh hidup dalam keadaan makmur dan harmoni, sekali gus menjadi lubuk mencari rezeki serta meraih kekayaan tanpa sebarang halangan.

“Begitu juga dengan kecekapan kerajaan BN menarik pelaburan asing oleh menyebabkan segala peluang ekonomi dan peluang pekerjaan terbuka luas kepada rakyatnya untuk dimanfaatkan sebaik-baiknya. Jadi, yang mendapat habuannya ialah kita semua,” katanya kepada Utusan Malaysia semasa menghadiri Kempen Sayangi dan Mendoakan Kesejahteraan Perdana Menteri, di sini, semalam.

Roger berkata demikian ketika mengulas kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam perutusan Tahun Baru Cina baru-baru ini bahawa masyarakat Cina masih boleh meraih kekayaan walaupun kegagalan kepimpinan BN dan menyeru orang ramai agar tidak menghargai nikmat kemakmuran yang dikecapi di bawah kerajaan BN.

Kempen tersebut turut diisi dengan majlis pemberian sumbangan berupa katil, mesin basuh, lampin dan kerusi roda kepada badan-badan kebajikan sekitar Lembah Klang iaitu Rumah Kebajikan Care, Pertubuhan Kebajikan Wanita Ikhlas Selangor, Pertubuhan Belia Kristian (YMCA) Kuala Lumpur dan Rumah Orang Tua Ampang.

Turut hadir Naib Presiden Kelab Belia Graduan 1Malaysia, Gary Chan Pin Wah; Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Bukit Bintang, James Leow dan Setiausaha BN Parlimen Bukit Bintang, Frankie Gan Joo Zin.

Sementara itu, Gary berkata, pihaknya menolak segala tindakan pihak-pihak tertentu yang cuba menghancurkan keharmonian di negara ini dan menyifatkan perhimpunan haram berunsur politik hanya menimbulkan pelbagai sentimen yang merugikan rakyat.

“Kami menyeru para graduan agar membalas segala jasa baik kerajaan yang memberikan kemudahan pendidikan termasuklah pinjaman melanjutkan pelajaran,” ujarnya. = UTUSAN

Pengundi penentu kemenangan - Musa Hitam

JOHOR BAHRU, SELASA,31 Januari, 2012: Hanya pengundi yang akan menentukan sama ada calon daripada sesebuah parti politik itu merupakan calon yang boleh menang atau sebaliknya.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam berkata, antara kriteria yang perlu ada bagi seseorang calon boleh menang ialah merangkumi kebolehan memenuhi keperluan rakyat dan parti politik yang diwakili mereka.

Menurutnya, semua parti politik perlu melakukan senarai semakan calon bagi memastikan mereka adalah yang terbaik sebelum meletakkan individu berkenaan sebagai calon pilihan raya.

"Apa pun pandangan parti terhadap calon yang bakal dipilih, satu perkara yang pasti adalah mereka tidak akan dapat mencari calon yang sempurna tetapi memadai sekiranya mereka mampu memenuhi kehendak rakyat dan parti," katanya selepas merasmikan Bangunan Galleria Seri Alam, dekat sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Ismail Ibrahim; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMLand, Pee Tong Lim dan Pengurus Besar Seri Alam Properties, Frankie Tan Kiat How.

Musa berkata, rakyat kini kebanyakannya berpelajaran tinggi serta berfikiran kritikal dan mengetahui setiap perkara yang berlaku bukan sahaja di dalam parti politik serta individu di dalamnya, malah keadaan politik semasa, strategi dan ideologi yang dibawa parti berkenaan.

Beliau berkata, pemilihan calon boleh menang juga perlu diperluaskan dan perlu disokong oleh rakyat dan pengundi di kawasan mereka.

"Individu yang dipilih sebagai calon harus memenuhi aspirasi dan mampu berkomunikasi dengan masyarakat di semua peringkat.

"Mereka juga harus memberikan perhatian kepada golongan kelas pertengahan yang terdiri daripada masyarakat berbilang bangsa bagi menjamin kemenangan pada pilihan raya akan datang," katanya. - UTUSAN

Mursyidul Am Pas disaran contohi Hadi Awang

KOTA BHARU, SELASA, 31JanuRI, 2012: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat disaran mencontohi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dilaporkan sedia tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.

Naib Presiden PPP, Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff ketika mengutarakan saranan itu berkata, Menteri Besar Kelantan tersebut sepatutnya mencontohi sikap Abdul Hadi yang mahu memberi ruang kepada golongan pelapis.

Beliau berkata, mengambil kira faktor kesihatan yang sering membelenggu Nik Abdul Aziz, maka adalah wajar untuk beliau memberi ruang kepada orang muda menerajui kerajaan Pas Kelantan pada masa hadapan.

Menurutya, Nik Abdul Aziz boleh melantik anak beliau, Nik Abduh sebagai pengganti beliau mengambil kira kedudukannya sebagai Timbalan Pemuda Pas Pusat.

"Kesediaan Abdul Hadi untuk berundur amat tepat sekali dan tindakan tersebut sewajarnya dicontohi oleh Nik Abdul Aziz yang telah 21 tahun mengetuai kerajaan Pas Kelantan.

"Nik Abdul Aziz juga mungkin perlu mencontohi kepimpinan Rasulullah bukan sahaja dalam soal ibadat tetapi juga aspek pentadbiran. Begitu juga Tun Dr. Mahathir Mohamad yang masih sihat tetapi meletakkan jawatan ketika rakyat dan negara masih memerlukan kepimpinan beliau," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz dalam sebuah akhbar yang menganggap pemimpin politik berbeza dengan penjawat awam kerana mereka boleh memimpin parti sampai mati.

Nik Abdul Aziz juga dilaporkan tidak bersetuju dengan kesediaan Abdul Hadi untuk berundur daripada bertanding pada PRU-13.

Mengulas lanjut, Nik Sapeia berkata, sebagai pemimpin yang bertanggungjawab Nik Abdul Aziz wajar memikirkan saranan beliau itu demi kepentingan agama dan bangsa khususnya rakyat Kelantan.

"Nik Abdul Aziz patut memberi laluan kepada pemimpin muda misalnya, memberi laluan kepada anaknya dan beliau boleh berperanan sebagai penasihat," katanya. - UTUSAN

BN perlukan lebih ramai calon profesional

KUALA LUMPUR, SELASA, 31 Januari, 2012: Barisan Nasional (BN) perlu mempertimbangkan lebih ramai calon daripada golongan profesional untuk memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.

Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Azmi Hassan berkata, untuk tidak mengulangi kesilapan pilihan raya umum yang lalu, BN tidak boleh terlalu bergantung kepada calon yang mempunyai hierarki atau berjawatan tinggi di dalam parti.

Sebaliknya, beliau berkata, BN kini perlu mengimbangi kerusi-kerusi yang ada dengan calon golongan profesional yang bebas daripada kekangan parti.

"Kalau boleh biarlah calon itu seseorang yang berada di luar lingkungan parti, individu yang dipilih berdasarkan kewibawaan, potensi dan latar belakang profesional.

"Ini kerana golongan itu dilihat lebih bebas dalam tindakan mereka dan mampu memperjuangkan setiap isu dan masalah rakyat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa calon BN perlu memenuhi kehendak pengundi setempat dan bukan sekadar parti semata-mata bagi memastikan kemenangan pada PRU-13 nanti.

Azmi juga percaya langkah itu bertepatan dengan gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meletakkan calon boleh menang pada PRU-13 nanti.

"Kalau kita lihat pendekatan meletakkan calon profesional yang tidak terlalu 'berpolitik' seperti yang dilakukan Pas, memang terbukti berjaya.

"Hakikatnya pengundi sekarang sudah pandai membezakan keupayaan dan potensi yang ada pada calon," katanya.

Sementara itu, Professor Politik dan Kerajaan Jabatan Pengajian, Kenegaraan dan Ketamadunan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Jayum Jawan berkata, pemilihan calon perlu mengambil kira faktor sosial dan geografi setempat.

Untuk menjadi calon pilihan, katanya, individu itu perlu menepati kehendak masyarakat di bandar dan luar bandar yang sama sekali berbeza serta berkeupayaan menunaikan tuntutan rakyat. - UTUSAN

PPP yakin dapat lebih satu kerusi

SUNGAI PETANI, SELASA, 31 Januari, 2012:PPP yakin parti itu akan diperuntukkan lebih daripada satu kerusi untuk mewakili Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Presidennya, Datuk M. Kayveas berkata, pihaknya telah membuat permohonan berhubung perkara tersebut kepada Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, butiran berhubung kerusi itu sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen yang bakal ditandingi belum dapat didedahkan kepada umum.

"Saya telah hantar senarai kerusi Parlimen dan DUN yang dipohon kepada Pengerusi BN. Sampai masanya nanti, saya akan umum.

"Setiap permintaan kerusi itu bergantung kepada ciri-ciri boleh menang atau sebaliknya. Namun, kita percaya ia lebih daripada satu kerusi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan perayaan Ponggal 2012 anjuran PPP Kedah di Kuil Sri Maha Mariamman, Kampung Tupah, Bedong, dekat sini malaM semalam.

Kayveas berkata, PPP juga tidak tamak dalam membuat permohonan untuk kerusi yang akan ditandingi dan parti itu hanya meminta kerusi yang diyakini boleh menang di sesuatu kawasan.

"Kita tengok di sesuatu kawasan itu, jika kita yakin boleh menang, kita minta. Kita tidak minta hanya untuk menunjukkan PPP mendapat banyak kerusi," jelasnya. - UTUSAN

'Memang dia dekat dengan Israel'

PUTRAJAYA, SELASA, 31 Januari, 2012: Kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam temu bual dengan Wall Street Journal (WSJ) yang menyokong penuh usaha melindungi keselamatan Israel menunjukkan betapa 'dekatnya' hubungan ketua pembangkang itu dengan negara Yahudi itu.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr.Mahathir berkata, adalah tidak mungkin Anwar menunjukkan sebarang penentangan terhadap Israel memandangkan beliau mempunyai hubungan yang baik dan akrab dengan golongan Yahudi di barat.

''Anwar memang pun mirip kepada Israel kerana bila keluar dari penjara, dia pergi ke Munich, Jerman dan semasa di sana, dia ada perbincangan dengan (Paul) Wolfowitz selama tiga jam.

''Memang dia dekat dengan Israel kerana dia suka orang Barat puji dia agar ternampak sebagai orang yang moden, ikut trend tetapi sebaliknya kita ini dia anggap lapuk," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan bertajuk Pendekatan Malaysia Dalam Soal Kepimpinan Awam anjuran Razak School of Government di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Razak School Of Government Dr. Hamidin Abdul Hamid.

WSJ pada Khamis lalu mendedahkan sokongan ketua pembangkang tersebut kepada Israel apabila dipetik sebagai berkata: "Saya menyokong segala usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel."

Bagaimanapun selepas dikecam pelbagai pihak, Anwar menuduh kenyataannya berhubung isu Israel dan Palestin sengaja diputar-belit oleh media tempatan bagi menggambarkan beliau mengkhianati aspirasi rakyat Palestin.

Dr. Mahathir yang kecewa dengan kenyataan tersebut berkata, ketua pembangkang itu amat pandai berkata-kata khususnya selepas menerima pelbagai kecaman berhubung kenyataannya itu.

''Dia pandai, nampak warak dan saya pun terperangkap kerana saya ingat dia betul-betul warak dan sebab itu saya mengalu-alukan kemasukan dia dalam UMNO kerana saya ingat dia akan bawa nilai-nilai Islam.

''Tetapi saya dapati dia masuk UMNO kerana kalau masuk Pas tidak mungkin jadi Perdana Menteri," katanya.

Sementara itu dalam syarahannya, Dr. Mahathir berkata, sehingga kini tidak ada satu sistem yang membolehkan rakyat memilih pemimpin yang mampu membawa pembangunan fizikal dan rohani secara berterusan.

''Ini kerana ada ketika ia tepat dan ada kalanya tidak. Ini ditambah pula dengan kepandaian seseorang pemimpin yang diketahui tidak cekap, menggunakan pelbagai kaedah untuk mempengaruhi keputusan majoriti rakyatnya," katanya. - UTUSAN

Ahli Parlimen perlu berwibawa, berjiwa rakyat - Abu Zahar

KUALA LUMPUR, SELASA, 31 Januari, 201: Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang berharap Ahli-ahli Parlimen yang bakal dipilih selepas Pilihan Raya Umum ke-13 merupakan golongan yang berwibawa, berjiwa rakyat serta sanggup berkorban demi bangsa dan negara.

Katanya, jika mereka yang dipilih memiliki ciri-ciri berkenaan, maka negara akan sentiasa berada dalam keadaan selamat, aman dan terus berkembang maju.

"Saya bukan maksudkan Ahli-ahli Parlimen sedia ada tidak bagus. Tidak, cuma saya berharap mereka yang bakal dilantik kelak memenuhi ciri-ciri yang saya harapkan itu demi masa depan rakyat serta negara.

"Sekiranya telah dipilih, Ahli Parlimen sewajarnya bermuhasabah diri terlebih dahulu. Fikirkan tanggungjawab serta tugas-tugas yang perlu dilakukan untuk bangsa dan negara.

"Saya tidak mahu ada di antara mereka yang mahukan jawatan tersebut semata-mata kerana populariti atau kepentingan peribadi. Kalau untuk tujuan itu, lebih baik tidak perlu jadi Ahli Parlimen, berhenti sahaja," katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan khas daripada Duta Poland, H.E Adam Jelonek di pejabatnya di Parlimen di sini, semalam.

Abu Zahar pada masa sama turut menyanggah kenyataan sesetengah pihak bahawa politik itu kotor.

"Politik tidak kotor sebaliknya ia perlu ada untuk menjaga kepentingan rakyat, agama dan juga negara. Apa yang menyebabkan ia dituduh kotor adalah kerana individu-individu terlibat dalam politik.

"Jadi, bagi mereka yang terlibat dalam politik, fikir-fikirkanlah. Sebab itu saya tekankan supaya bermuhasabah diri sekiranya telah dipilih menjadi Ahli Parlimen, jangan hanya pandai bercakap sahaja tetapi tidak bertindak dan kotakan janji," jelasnya.

Sementara itu, berhubung kunjungan khas Jelonek, Abu Zahar menyifatkannya sebagai usaha untuk mengukuhkan lagi hubungan antara Poland dan Malaysia yang sedia terjalin.

"Tujuan utama beliau (Jelonek) berkunjung adalah untuk menyatakan hasratnya membawa Yang Dipertua Parlimen Poland melawat negara. Kami telah berbincang dan saya akan berusaha menyampaikan perkara ini kepada Perdana Menteri serta Menteri Luar untuk dipertimbangkan.

"Pada masa yang sama, beliau turut mempelawa saya dan juga ahli Dewan Negara mengadakan lawatan ke Poland sebagai salah satu usaha merapatkan lagi hubungan kedua negara," ujarnya. - UTUSAN


Aziz Bari digugur gelaran profesor

KUALA LUMPUR, SELASA, 31 Januari, 2012: Bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Abdul Aziz Bari tidak boleh lagi menggunakan status profesor kerana ia gugur secara automatik setelah beliau menamatkan perkhidmatan dengan institusi pengajian tinggi itu.

Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UIAM, Abdul Rahim Ahmad berkata, sebarang aktiviti Abdul Aziz selepas ini juga tiada kaitan dengan universiti itu.

Namun katanya, Abdul Aziz masih boleh menggunakan status profesor jika ada universiti lain melantiknya ke jawatan itu.

''Pensyarah yang tamat perkhidmatan dari mana-mana institusi pengajian tinggi awam, tidak boleh menggunakan status profesor kerana ia gugur secara automatik.

''Dengan penjelasan ini, saya harap, semua pihak dapat mengetahui gambaran sebenar tentang Abdul Aziz dan berharap sebarang aktiviti beliau selepas ini tiada kaitan dengan UIAM," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan akhbar bagi mengulas pertanyaan pembaca Utusan Malaysia, SAKINAH melalui ruangan Forum akhbar itu pada Jumaat lalu yang ingin tahu bidang pengkhususan dan siapakah yang memberikan pengiktirafan kepada Abdul Aziz sebagai pakar undang-undang dan perlembagaan. - UTUSAN

Undur diri: Apa maksud Presiden PAS

ABDUL Hadi bersamapeserta Retreat Harakah: Persiapan Menghadapi
 PRU13 di Hutan Lipur Sungai Tua, kelmarin
GOMBAK, ISNIN, 31 Januari, 2012: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan, adalah menjadi tanggungjawab kepada pemimpin senior PAS untuk memberi ruang kepada pelapis baru bertanding di dalam pilihan raya.

Ikuti laporan Harakahdaily selanjutnya: Ketika diminta memperjelaskan laporan media kononnya beliau tidak mahu bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, Abdul Hadi berkata perkara itu adalah biasa kerana akhlak seorang muslim yang baik adalah tidak meminta jawatan.

"Memang dalam perjuangan ini kena bagi kepada pelapis-pelapis, kita dalam PAS memang begitu. Kita tak boleh berlumba nak jadi ketua, kita kena berlumba untuk berkhidmat.

"Tapi terpulang kepada ahli-ahli parti jemaah kita. Kalau tak ada orang, kita wajib ke hadapan, begitu kaedahnya," jelasnya ketika menjawab pertanyaan peserta Retreat Harakah: Persiapan Menghadapi PRU13 di Hutan Lipur Sungai Tua, dekat sini semalam.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang akan berundur dari bertanding pada PRU-13 nanti.

Laporan itu sekaligus mencetuskan polemik sehingga rakan Pakatan Rakyat lain termasuk Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengeluarkan kenyataan agar Abdul Hadi tidak bertindak demikian.

Terbaru, hari ini Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga menyatakan rasa tidak bersetuju dengan keputusan Abdul Hadi itu.

Katanya, Abdul Hadi, seorang manusia yang berbakat untuk memimpin, lebih-lebih lagi dalam perjuangan Islam.

Pemimpin dan media UMNO pula terus mengambil kesempatan seolah-olah memberi gambaran kononnya Presiden Pas itu 'merajuk'.

"Kalau kita lihat di Tunisia, yang menonjolnya Rashid Ghannushi (Parti Nahdah), bila pilihan raya Ghannushi tak jadi calon," jelas presiden PAS itu membuat perbandingan.

Abdul Hadi telah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) selama tujuh penggal bermula tahun 1982 dan ahli parlimen selama empat penggal serta Ketua Pembangkang di parlimen.

Beliau juga pernah menjadi Menteri Besar Terengganu dari 1999 hingga 2004 selepas Pas menang pada pilihan raya umum ke-10 tahun 1999.

"Inilah adab dalam parti kita, sebab itu kita berbeza dengan Umno," jelas Abdul Hadi.

Tip Ustaz Idris Ahmad kepada wartawan Harakah

SELASA; 31 Januari, 2012
Saya setuju benar pandangan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Ustaz Idris Ahmad 
bahawa setiap petugas media memainkan peranan dengan baik bagi kepentingan
megara dan rakyat.

Saya sanjung tinggi saranan bekas Ketua Peeneranan Pas Pusat itu supaya setiap wartawan mempunyai rujukan yang mendalam dan mencukupi untuk menulis sesebuah berita atau rencana.

Wartawan perlu berani, jujur dan bertanggungjawab. Petuga media yang baik menulis berdasarkan fakta yang benar, tidak memihak, tidak putar belit, mudah dibeli dan pantang sekal terjebak dengan sogokan.

Oleh itu sesuai benar Ustaz Idris meminta setiap wartawan Harakah sama ada Harakah cetak dan Harakahdaily selain mempunyai rujukan yang mencukupi dalam tulisan mereka turut memainkan peranan dengan baik bagi kepentingan perjuangan Pas bagi mendaulatkan Islam di tanah air.

Menurut persepsinya, sepanjang Barisan Nasional  memerintah sememangnya terdapat pelbagai kepincangan di negara ini dalam pelbagai aspek dan di segenap peringkat.

Kesemua itu, kata bekas Ketua Peneranan Pas Pusat itu perlu dijelaskan dengan baik oleh para wartawan Harakah cetak dan Harakahdaily berdasarkan fakta yang betul untuk diketahui oleh orang ramai.

Dengan lain, Ustaz Idris mahu isu-isu yang patut diketengahkan itu pula bukan hanya di peringkat negara, tetapi juga negeri, kawasan dan segenap pelosok desa untuk diketahui oleh orang ramai, bagi membolehkan mereka mendapat maklumat yang tepat.

Demikian 'tips' Ustas Idris kepada wartawan Harakah.

Monday 30 January 2012

BNM umum langkah liberalisasi pasaran kewangan

KUALA LUMPUR, ISNIN, 30 Januari, 2012: Bank-bank tempatan berlesen kini dibenarkan berdagang mata wang asing dengan mata wang asing lain, dengan pemastautin, berkuat kuasa mulai esok, demikian menurut satu pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini.

Bank pusat itu juga mengumumkan bahawa mulai esok, bank-bank tempatan berlesen dibenarkan menawarkan derivatif kadar faedah dalam denominasi ringgit kepada bukan bank bukan pemastautin.

Kelonggaran juga diberikan kepada pemastautin untuk menukar obligasi hutang ringgit atau mata wang asing sedia ada mereka kepada obligasi hutang mata wang asing yang lain, katanya dalam satu kenyataan.

Semua langkah ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Bank Negara Malaysia untuk mempertingkat daya saing ekonomi dan membangunkan pasaran kewangan domestik.

Langkah-langkah yang seiring dengan teras am Rangka Tindakan Sektor Kewangan ini akan menyumbang ke arah peningkatan tahap kecairan, keluasan dan penyertaan pelbagai peserta dalam pasaran kewangan domestik. – BERNAMA

Sara 1Malaysia skim bantuan berbentuk pinjaman

KUALALUMPUR, ISNIN, 30 Januari, 2012: Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (Sara 1Malaysia), yang baharu dilancarkan pada 12 Januari lepas, merupakan skim bantuan kerajaan berbentuk pinjaman melalui bank-bank terpilih.

Ini bertujuan membantu meningkatkan pendapatan dan menggalakkan penabungan dan pelaburan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Sara 1Malaysia.
Sara 1Malaysia tidak boleh disertai secara tunai.

Skim ini terbuka kepada warganegara Malaysia berumur dari 18 hingga 58 tahun, yang memperoleh pendapatan kasar bulanan isi rumah antara RM500 dan RM3,000, dan tidak diisytiharkan muflis semasa memohon serta sepanjang tempoh penyertaan dalam skim itu.

Pemohon dan/atau pasangan juga mestilah tidak pernah menerima bantuan daripada skim-skim khas lain kerajaan yang diuruskan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) seperti Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), ASB Sejahtera dan ASW2020-Bandar, selain tidak memiliki pelaburan dalam mana-mana tabung unit amanah ASNB.

Sekiranya ada, jumlah pelaburan terkumpul mesti bersamaan ataupun kurang daripada RM10,000.

Mereka yang berkelayakan berpeluang memohon pinjaman berjumlah RM5,000 untuk melabur dalam Amanah Saham 1Malaysia (AS 1Malaysia). – BERNAMA

UUM ambil keterangan 113 pelajar jual baucar buku

SINTOK, ISNIN, 30 Januari, 22012:Pengurn Universiti Utara Malaysia (UUM) akan mengambil keterangan daripada 113 pelajarnya yang dikatakan terlibat menjual Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) sebelum apa-apa tindakan diambil terhadap mereka, kata Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak.

"Kita menyedari tentang penjualan baucar itu sejak bermulanya penyerahan baucar kepada pelajar. Ada individu telah mengiklankan pertukaran baucar itu untuk mendapatkan wang tunai di sekitar kampus.

"Selepas menyedari perkara tersebut, kita telah arahkan pihak keselamatan UUM membuat siasatan dan telah menahan sepasang suami isteri yang datang dari Selangor dan menyewa di apartmen UUM pada 15 Januari lepas sebelum membuat laporan polis,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan sebuah akhbar hari ini bahawa polis telah menahan sepasang suami isteri kerana disyaki membeli sekurang-kurangnya 113 baucar tunai daripada pelajar UUM di sini.

Pasangan itu yang memiliki kedai buku di ibu negara dikatakan menawarkan wang tunai RM180 kepada pelajar universiti terbabit sebagai pertukaran bagi BB1M bernilai RM200.

Mohamed Mustafa berkata, pihaknya mempunyai nama semua pelajar terbabit dan akan memanggil mereka sebaik sahaja semester kedua bermula. – BERNAMA

Kes ADUN Kota Siputeh: Speaker DUN Kedah dibenar rayu

PUTRAJAYA, ISNIN, 30 Januari, 2012: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini memberi kebenaran kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bagi menerima semula Datuk Abu Hassan Sarif sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif, yang mempengerusikan panel lima hakim, membenarkan permohonan Abdul Isa untuk kebenaran merayu mengenai satu persoalan perundangan.

Empat hakim lain ialah Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin dan Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Datuk Suriyadi Halim Omar serta Datuk Hasan Lah.

Persoalan Mahkamah Persekutuan ialah untuk menentukan dalam rayuan itu sama ada dalam interpretasi sebenar Artikel 51 Perlembagaan Kedah mengenai keperluan ketidakhadiran, untuk memberikan kekosongan kerusi, dua mesyuarat berturut-turut merujuk kepada dua mesyuarat berturut-turut dalam satu sesi atau dua mesyuarat berturut-turut dalam sesi berasingan.

Keputusan rayuan itu akan melibatkan perlembagaan Perlis dan Johor kerana peruntukan Perlembagaan Negeri Kedah mengenai ketidakhadiran bagi seseorang wakil rakyat adalah sama dengan Perlembagaan Perlis dan Johor.

Pada 18 Ogos tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengisytiharkan kerusi DUN Kota Siputeh kosong setelah memutuskan bahawa Abu Hassan tidak hadir untuk dua mesyuarat DUN berturut-turut pada 2009. – BERNAMA

Polis disaran pertingkat penguasaan bahasa Inggeris

GEORGETOWN, ISNIN, 30 JANUARI, 201: Anggota polis perlu meningkatan kemahiran berkomunikasi, terutama dalam bahasa Inggeris, untuk memastikan maklumat dapat disampaikan dengan tepat kepada orang ramai. 

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Wira Ayub Yaakob, berkata hanya 25 peratus daripada 5,000 anggota polis di negeri itu fasih berbahasa Inggeris.

Keadaan ini wujud walaupun kemampuan untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris amat penting memandangkan penduduk Pulau Pinang terdiri daripada pelbagai kaum dan terdapat juga ramai warga asing.

"Kira-kira 60 peratus dapat berbahasa Inggeris pada tahap biasa sahaja manakala selebihnya sekadar tahu bahasa Inggeris asas," kata Ayub kepada pemberita selepas merasmikan Latihan Khas Komunikasi dalam Bahasa Inggeris untuk Polis Pelancong di sini hari ini. 

Beliau berkata, kelemahan anggota polis dalam berkomunikasi boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan orang ramai. 

"Masyarakat mengharapkan kita (polis) menyelesaikan masalah mereka. Oleh itu, kita perlu memiliki kemampuan untuk berbuat demikian dan ini boleh dicapai melalui kemahiran dalam berkomunikasi," katanya. - BERNAMA

Anwar khianati Palestin dan umat Islam sedunia – Mukhriz

KUALA LUMPUR, ISNIN, 30 Januari, 2012: Kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan sokongan terhadap usaha melindungi keselamatan negara Israel dianggap mengkhianati Palestin dan umat Islam sedunia.

Penasihat Yayasan Keamanan Global Perdana, Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata, setiap kali zionis Israel membunuh rakyat Palestin yang beragama Islam atau Kristian, mereka menggunakan alasan mempertahankan keselamatan negara.

"Kini seorang yang bercita-cita tinggi mahu menjadi Perdana Menteri Malaysia pula menggunakan alasan sama dalam menyokong negara pengganas Israel.

"Jika pengganas, termasuk negara pengganas menzalimi mangsanya, patutkah kita bersimpati dengan pengganas ataupun mangsa?” katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) di sini hari ini.

Mukhriz yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, alasan yang sama juga digunakan apabila jentolak Israel merobohkan rumah-rumah rakyat Palestin di Tebing Barat dan apabila rakyat Gaza dibunuh.

Katanya, alasan itu turut digunakan dengan melanggar beratus-ratus resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan juga semasa aktivis Freedom Flotilla dibunuh. – BERNAMA


Kenyataan Anwar mengenai Israel mengejutkan: Duta Palestin

KUALA LUMPUR, ISNIN, 30 Januari, 2012: Duta Palestin ke Malaysia Abdelaziz Abughoush menyifatkan sebagai "pelik dan ganjil" kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam temubual dengan Wall Street Journal bahawa beliau menyokong penuh usaha melindungi keselamatan Israel. 

"Kami terkejut dan terperanjat dengan kenyataan pelik itu bahawa beliau menyokong keselamatan Israel," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abughoush berkata, oleh kerana Palestin menjadi isu utama bagi semua umat Islam, dan Malaysia pula menjadi pendokong utama sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin, maka adalah pelik dan ganjil apabila seorang pemimpin beragama Islam dari negara ini membuat kenyataan demikian.

"Kami tak tahu siapa sebenarnya yang memerlukan perlindungan keselamatan kerana hakikatnya Israel memiliki lebih 200 jenis senjata nuklear serta angkatan tentera yang dilengkapi senjata canggih. 

"Kami tidak pasti adakah jaminan keselamatan perlu diberi kepada penakluk atau rakyat Palestin yang ditakluki, yang ditindas saban hari serta berdepan dengan tindakan yang bercanggah dengan undang-undang dan perbuatan tidak berperikemanusiaan oleh kumpulan penakluk, yang mencabuli undang-undang kemanusiaan dan antarabangsa serta tidak menghiraukan usaha masyarakat antarabangsa untuk mewujudkan keamanan dan kestabilan di Timur Tengah," katanya. - BERNAMA

'Kuasa Ketiga' boleh jadi penentu keputusan PRU: Adnan

KUANTAN, ISNIN, 30 Januari, 2012: 'Kuasa ketiga' boleh menjadi penentu kepada keputusan pilihan raya umum (PRU) akan datang namun ia tidak akan menjejaskan keyakinan dan sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN). 

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob mengakui apa yang dinyatakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai ancaman `kuasa ketiga' itu adalah benar dan ia perlu diberi perhatian.

"Tapi apa yang penting ialah pengundi, kerana mereka yang akan menentukan pilihan apabila tiba masanya (PRU) nanti," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan pakaian dan beg sekolah kepada 1,565 pelajar sekolah rendah dan menengah sekitar Kuantan sumbangan Yayasan Pahang di sini hari ini.

Adnan berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Muhyiddin bahawa BN sedia berdepan dengan siapa sahaja termasuk 'kuasa ketiga' yang didakwa akan menjadi ancaman dan penentu pada PRU ke-13 nanti. 

Muhyiddin mengakui sukar meramalkan 'kuasa ketiga' tetapi bersedia menghadapinya dan akan ditentang seperti pembangkang lain. 

Adnan berkata kewujudkan 'kuasa ketiga' tidak dapat dielakkan kerana masyarakat semakin terdedah kepada pelbagai maklumat. 

Katanya sekiranya 'kuasa ketiga' itu merujuk kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), beliau percaya tidak semua NGO adalah anti kerajaan kerana sesetengahnya turut menyokong agenda kerajaan. - BERNAMA

Malaysia mahu 2 rakyat di Guantanamo ke Tribunal Tentera

KLUANG, ISNIN, 30 Januari, 2012Kementerian Dalam Negeri (KDN) mahu kedua-dua rakyat Malaysia yang sedang ditahan tanpa bicara di pusat tahanan tentera Amerika Syarikat di Teluk Guantanamo dihadapkan di Tribunal Tentera secepat mungkin.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, penahanan berterusan kedua-dua rakyat Malaysia tanpa bicara itu menunjukkan negara Barat terbabit “cakap tak serupa bikin” di dalam hal hak asasi manusia.

"Kita berharap mereka akan dihadapkan (ke Tribunal Tentera) secepat mungkin kerana kita sering dituduh tidak bebas, sistem kehakiman kita tidak bebas, tetapi saya ingin ingatkan bahawa kita mempunyai dua rakyat yang ditahan tanpa bicara sejak beberapa tahun,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan rumah mampu milik kepada 56 mangsa banjir oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Kampung Gajah di sini.

Menurut Hishammuddin, apa yang dilakukan oleh negara Barat terbabit di dalam menahan rakyat Malaysia tanpa bicara itu, tidak sama dengan apa yang dilaungkan mereka tentang hak asasi.

"Kita sering dituduh sebagai tidak adil,” katanya.

Baru-baru ini akhbar tempatan melaporkan tentang kemungkinan dua rakyat Malaysia yang kini berada di Guantanamo Bay, Mohd Farik Amin dan Mohd Nazir Lep, akan dihadapkan ke Tribunal Tentera tidak lama lagi selepas ditahan di pusat tahanan itu sejak 2006. – BERNAMA


Polis wujudkan jawatankuasa khas siasat judi bola sepak

KUALA LUMPUR, ISNIN,30 Januari, 2012:Polis Diraja Malaysia telah mewujudkan sebuah jawatankuasa khas untuk memantau dan menyiasat aktiviti perjudian melibatkan sukan bola sepak negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, jawatankuasa itu berperanan menyiasat sebarang dakwaan kewujudan unsur perjudian atau aktiviti bookie haram dalam perlawanan bola sepak.

"Ia disertai Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7), Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Kami tidak boleh mendedahkan lebih lanjut perkara ini kerana kita sedang memantau,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan telah memanggil beberapa pemain bola sepak Liga Perdana negeri Perlis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan tawaran rasuah membabitkan pasukan itu yang kalah 2-7 di tangan MP Muar, 9 Januari lalu. – BERNAMA

Elak dipenuhi sikap "profesional keangkuhan intelektual"

LONDON, ISNIN, 30 Januari, 2012: Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz mengingatkan kira-kira 500 penuntut Malaysia dari universiti utama di Britain, supaya tidak dipenuhi dengan "profesional keangkuhan intelektual." 

"Apa yang penting ialah untuk mempelajari dari bawah dan jangan biarkan keangkuhan menjadikan mereka lupa bagaimana untuk merendah diri ketika dalam alam pekerjaan," kata beliau dalam ucapannya yang bertajuk "Perkembangan Kerjaya dan Peluang" di persidangan Projek Amanat Negara 2012 Majlis Penuntut Malaysia United Kingdom & Eire (UKEC) di Marble Arch, semalam.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom dan Eire, Datuk Zakaria Sulong, berkata penuntut hendaklah membina kapasiti intelektual bagi keupayaan berfikir secara kritikal dan mencapai yang terbaik dalam pengajian mereka.

"Bagi mereka yang ingin tinggal di UK dan tidak terikat dengan mana-mana kontrak, anda bebas berbuat demikian tetapi ingat untuk menimba pengetahuan dan pendedahan sebanyak mungkin, kerana satu hari nanti anda akan pulang dan berkongsi pengalaman dengan mereka yang tidak ada peluang seperti ini," kata beliau. 

Persidangan tahunan sehari itu juga mengadakan perbincangan mengenai pelbagai isu seperti hak asasi manusia, agama dalam perspektif umum, politik dan dasar awam. 

Antara panel pada majlis itu ialah Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin; Anggota Parlimen Kuala Selangor yang juga anggota Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad; Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli; aktivis Datin Paduka Marina Mahathir dan pengasas Sisters in Islam, Zainah Anwar. - BERNAMA

Permohonan peguam Anwar dikena tindakan hina mahkamah

KUALALUMPUR, ISNIN, 30 Januari, 2012: Ketua Pendakwa Syarie, Shamsuddin Hussain, Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Jamil Khir Baharom hari ini mengemukakan permohonan tunjuk sebab di Mahkamah Rayuan Syariah agar peguam-peguam syarie yang mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes permohonan mengetepikan notis rayuan berhubung qazaf kenapa mereka tidak boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah selepas masing-masing bertindak keluar dari dewan mahkamah yang masih bersidang.

Peguam-peguam ketua pembangkang itu bertindak demikian selepas Mahkamah Rayuan mengarahkan pihak-pihak berhujah mengenai permohonan mengetepikan notis rayuan tanpa memberi kebenaran selepas memutuskan ia tidak relevan. - UTUSAN

Qazaf: Peguam Anwar bantah hakim, keluar mahkamah

KUALA LUMPUR, ISNIN, 30 Januari, 2012: Peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak keluar dari Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur, kerana tidak berpuas hati dengan keputusan hakim memberi kebenaran kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan dua yang lain mendengar permohonan mengetepikan kes qazaf.


Keadilandaily melaporkan, peguam, Kamar Ainiah Kamaruzzaman berkata, pihaknya enggan bersekongkol dengan keputusan hakim Datuk Zohdi Toha yang disifatkan tidak relevan.

Kamar Ainiah tidak dapat menerima keputusan itu kerana berpendapat hakim perlu mendengar permohonan kebenaran terlebih dahulu dan memutuskan sebelum mendengar hujah daripada peguam menteri untuk mengetepi rayuan tersebut.

Laporan selanjutnya menyebut beliau bersama-sama tiga lagi peguam, bertindak keluar dari mahkamah selepas tiga hakim mahkamah rayuan memutuskan perkara itu.

“Kami tidak boleh sertai (prosiding), ia terang-terang satu penyalahgunaan kuasa oleh pihak pemohon.

“Jadi kami terpaksa untuk keluar. Kami akan mengambil tindakan susulan iaitu menyemak keputusan kehakiman,” kata Kamar Ainiah kepada pemberita di luar mahkamah.

Anwar Ibrahim pada 23 April tahun lalu memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur ekoran mahkamah membenarkan bantahan awal Jamil untuk membatal permohonan Anwar supaya Mohd Saiful Bukhari Azlan didakwa mengikut qazaf.

Anwar pada Ogos tahun lalu juga mengemukakan permohonan di Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur bagi melucutkan peguam yang mewakili Jabatan Hal Ehwal Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam samannya terhadap jabatan itu.
Selain Kamar Ainiah, Anwar diwakili oleh Dorina Abdullah, Dr Mohd Rafie Shafie dan Mohamad Burok.

Manakala pemohon diwakili oleh tiga peguam iaitu Roslizam Rahim, Abdul Halim Bahari dan Mohd Ridzuan Ramli.

Turut hadir Presiden PKR,, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Pengarah Strategi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dan puluhan penyokongnya. - Keadilandaily