My Add

Sunday 10 February 2013

10,000 berhimpun di Tasik Pedu rali Selamatkan Bumi Kedah

 *HAMPIR 10,000 orang penduduk, sebahagian besarnya anak-anak muda hadir pada perhimpunan Selamatkan Bumi Kedah di Charok Batang Padi, Tasik Pedu bagi melihat sendiri kemusnahan alam sekitar yang berlaku akibat aktiviti pembalakan oleh kerajaan Pas Kedah di Pedu, Padang Terap hari ini. - UTUSAN/KAMAL BASIR

KUALA NERANG, 09 FebRUARI, 2013: Kira-kira 10,000 orang termasuk pelajar, belia dan anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhimpun di Charuk Batang Padi, Tasik Pedu bagi melihat sendiri keadaan kawasan gondol akibat pembalakan berleluasa.

Kerajaan negeri Kedah bagaimanapun memberi alasan pembalakan itu bertujuan membina ladang rakyat. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pedu, Datuk Mahdzir Khalid berkata, masyarakat dapat melihat sendiri apa yang berlaku di kawasan hutan hujan itu, yang dahulunya kawasan hijau sebelum digondol, adalah demi kepentingan kerajaan negeri.

"Sepanjang pentadbiran lapan Menteri Besar Barisan Nasional (BN) di Kedah, belum pernah berlaku penggondolan di kawasan itu.

"Ini adalah kawasan sensitif kerana ia berhampiran dengan Tasik Pedu.

Kawasan hutan ini adalah hutan hujan bernilai tinggi, mana-mana MB pun tak pernah ambil balak di kawasan ini kerana ia adalah kawasan tadahan hujan," katanya kepada pemberita pada majlis "Rali Selamatkan Bumi Kedah" hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jalinan Gelombang Merah merangkap Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata, alasan kerajaan negeri Kedah untuk membina ladang rakyat di kawasan itu tidak boleh diterima.

"Tahun lepas kita lihat Putera William dan isterinya pergi ke Lembah Danum, Sabah bagi melihat keindahan flora dan fauna di situ. Itu membuktikan bahawa kawasan hutan dapat menarik pelancong asing dan mereka sanggup bayar berapa sahaja untuk masuk hutan dan menghayati alam sekitar," katanya.

Mukhriz berkata, ladang rakyat cuma alasan kerajaan negeri, kononnya mahu menarik pelancong dan mereka sanggup menebang pokok tualang, kapas dan lain-lain yang bernilai tinggi bagi menjana pendapatan negeri.

Sementara itu, wakil pelajar Nur Azwa Syazwani Awang Besar, 18, berkata, masyarakat seharusnya menjaga alam sekitar dengan penuh kasih sayang kerana ia khazanah negara.

"Apabila pembalakan berlaku secara berleluasa, apa akan jadi pada flora dan fauna. Bukan hanya hidupan hutan sahaja yang terjejas tetapi masyarakat juga terkena tempias," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment