My Add

Sunday 10 February 2013

16 usahawan terima Anugerah Usahawan TEKUN Cemerlang

*PENERIMA Anugerah Usahawan Tekun Cemerlang iaitu Mahathir Sabtu (tengah) bersama Zuraidah Mohamed Ismail (kiri) dan Salinah Awang Ali berbual antara mereka selepas Konvensyen Usahawan TEKUN dan Ekspo Keusahawanan TEKUN Nasional 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR, SABTU, 09 Februari, 2013: Sebanyak 16 usahawan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional seluruh negara menerima Anugerah Usahawan TEKUN Cemerlang.

Anugerah disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Konvensyen Usahawan TEKUN dan Ekspo Keusahawanan TEKUN Nasional 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Penyampaian anugerah tersebut sebagai pengiktirafan dan penghargaan kepada usahawan TEKUN yang berjaya di peringkat domestik dan global.

Seorang penerima anugerah itu, Salinah Awang Ali berkata, pemberian tersebut sebagai penguat azamnya untuk terus mengembangkan lagi perniagaannya, sekali gus memberikan semangat kepada usahawan lain untuk turut berjaya.

Dia yang mengusahakan pusat latihan kecantikan menerusi syarikat Roszall Sdn. Bhd. di Sabah berkata, melalui pinjaman TEKUN, dia mampu meningkatkan keuntungan dengan pembukaan beberapa cawangan di sekitar Sabah dan Selangor.

"Saya membuka pusat latihan ini pada 2007 dan membuat pinjaman TEKUN pada tahun lepas, ternyata memberikan makna kepada perniagaan saya," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian konvensyen itu.

Selain Salinah, pengusaha kek dan biskut dari Felda Bukit Ramun, Kota Tinggi, Johor, Mahathir Sabtu berkata, dia terlalu terhutang budi kepada TEKUN kerana dengan pinjaman yang diberikan, dia berpeluang mengembangkan perniagaannya ke Singapura.

"Saya mengusahakan syarikat ini bersama kakak pada tahun 2008 dan kini mampu menjana keuntungan sebanyak RM1.8 juta berbanding RM30,000 setahun," katanya.

Pengurus pemasaran ZZ Auralife Sdn. Bhd., Zuraidah Mohamed Ismail yang menerima anugerah bagi pihak kakaknya, Zalina berkata, syarikat yang mengusahakan produk kosmetik dan kecantikan mampu 'bergerak' sendiri setelah memperoleh pinjaman TEKUN.

"Sebelum ini kami hanya menumpang dengan syarikat lain untuk urusan operasi produk, namun setelah memohon pinjaman TEKUN sebanyak RM20,000, kami boleh menjana keuntungan sehingga jutaan ringgit," katanya.

Seorang usahawan berbangsa India yang turut menerima anugerah itu, V. Anusuya berkata, mengendalikan perniagaan perkhidmatan pengurusan acara memerlukan modal yang besar.

Bagaimanapun katanya, melalui pinjaman TEKUN, dia mampu membeli peralatan bagi menjalankan perniagaan itu tanpa perlu mendapatkannya daripada syarikat lain.

"Saya merupakan peminjam yang membayar balik secara konsisten, maka TEKUN meluluskan pinjaman saya buat kali kedua iaitu RM15,000.

"Dengan modal tersebut, saya mampu meningkatkan keuntungan sehingga 15 peratus," katanya.

Selain anugerah itu, turut disampaikan ialah Anugerah Rakan Strategik Terbaik (Mostwell Sdn. Bhd. dan D'Navechee Beauty (M) Sdn. Bhd.) serta Anugerah Kelab Komuniti Usahawan TEKUN (KKUT) Terbaik (KKUT kawasan Gelang Patah, Johor; Temerloh, Pahang dan Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur). - UTUSAN

No comments:

Post a Comment