My Add

Monday 25 February 2013

25,290 pesakit jalani rawatan di CNC1M

Oleh ASMA HANIM MAHMOODKOTA BHARU, ISNIN, 25 Februari, 2013: Seramai 25,290 pesakit telah dan sedang menjalani rawatan pemulihan ketagihan dadah di 11 buah Klinik 'Cure And Care' 1Malaysia (CNC1M) di seluruh negara sejak fasiliti itu mula beroperasi pada 2010.

Menurut Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Puan Sri Zuraidah Mohamed, daripada jumlah itu, bilangan remaja Kelantan yang berusia antara 13 hingga 18 tahun yang mendapatkan rawatan di Klinik CNC1M Kota Bharu adalah antara yang tertinggi.

Katanya, buat masa sekarang, terdapat 230 remaja negeri ini yang masih bersekolah sedang mendapatkan rawatan pemulihan di Klinik CNC1M Kota Bharu secara sukarela dan majoriti adalah disebabkan ketagihan pil kuda.

"Sebanyak 80 peratus remaja yang menjadi klien kita di negeri ini adalah disebabkan ketagihan pil kuda, remaja ini ramai yang umurnya antara 13 hingga 14 tahun dan mereka datang secara sukarela untuk menjalani proses pemulihan.

"Rawatan yang menekankan aspek psikosis atau mental ini adalah mengikut tahap ketagihan yang mana kita bahagikan kepada tiga tahap. Selepas mengikuti ujian yang kita jalankan, pesakit yang paling teruk akan tinggal dalam klinik manakala yang masih terkawal pula dirawat sebagai pesakit luar.

"Klien akan diberi rawatan termasuk kaunseling antara satu hingga tiga bulan dan ia boleh dilanjutkan mengikut keadaan masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Landskap Laman Terapi Irama Alam AADK 2012 di Klinik CNC1M Kota Bharu di sini hari ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment