My Add

Monday 25 February 2013

Kaedah bot kerjasama PPP terbaik bangunkan HSR Malaysia-Singapura

JOHOR BAHRU, ISNIN, 25 Februari, 2013: Kaedah Bina-Kendali-Pindah (BOT) melalui inisiatif Kerjasama Sektor Awam dan Kerajaan (PPP) merupakan model terbaik yang boleh digunakan dalam membangunkan sistem pengangkutan Kereta Api Laju (HSR) Malaysia-Singapura.

Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, model BOT jelas berjaya digunakan dalam pembangunan HSR di Taiwan, yang menghubungkan Taipeh dan Kaohsiung di selatan negara berkenaan sejak 2007.

"Melalui BOT, perbelanjaan kerajaan dalam membina HSR tidak akan terbeban, sebaliknya sektor swasta yang akan menguruskan HSR, sekali gus menjadikan sistem pengangkutan itu lebih kompetitif.

"Atas sebab itu, saya berpendapat bahawa kerajaan perlu melihat kepada model pembangunan HSR Taiwan memandangkan jaraknya yang lebih kurang sama dengan Malaysia-Singapura, selain ia sudah terbukti berjaya," kata Nur Jazlan yang juga Pengerusi UDA Holdings Berhad hari ini.

Nur Jazlan dan tiga Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) berkunjung ke Taiwan baru-baru ini atas jemputan kerajaan negara berkenaan untuk mendengar taklimat terperinci berhubung HSR Taiwan yang mula beroperasi sejak 2007.

"Faktor tambang, tanah dan keupayaan syarikat HSR untuk beroperasi sendiri tanpa perlu bergantung kepada kerajaan, merupakan faktor utama dalam pelaksanaan HSR.

"Di Taiwan, HSR dimiliki syarikat persendirian, Taiwan Speed Rail Corporation (THSRC), dan dikawal selia oleh Biro High Speed Rail milik kerajaan Taiwan," katanya ketika diminta mengulas cadangan pembinaan HSR Malaysia-Singapura yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Johor Baharu minggu lepas.

Nur Jazlan berkata, dalam lawatan bersama Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Sadique; Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanthan; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Liang Teck Ming; dan Ahli Parlimen Batang Sadong, Nancy Shukri; mereka dimaklumkan bahawa pada empat tahun pertama HSR Taiwan beroperasi, ia mencatatkan kerugian.

Katanya, HSR Taiwan dibina dengan kos lebih RM50 bilion dan hanya mula mencatatkan keuntungan tahun lepas.

"Kita perlu sedar bahawa tambang HSR tidak akan dapat menampung kos operasi kereta api laju ini, memandangkan harganya perlu kompetitif berikutan pengguna mempunyai pilihan untuk menggunakan kapal terbang, kereta api atau kereta.

"Jadi, apa yang perlu dilakukan ialah Mengoptimumkan tanah di kawasan stesen HSR Malaysia-Singapura bagi membolehkan ia menjana pendapatan kepada syarikat yang menjalankan operasi HSR ini," katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan juga perlu memastikan HSR mempunyai kadar ketepatan masa yang tinggi bagi menarik pengguna menggunakan sistem pengangkutan berkenaan.

Nur Jazlan berkata, kerajaan tidak boleh berterusan menanggung subsidi dalam menyediakan perkhidmatan awam di negara ini, kerana ia akan menyebabkan kos tinggi sekali gus mengakibatkan perbelanjaan kerajaan turut meningkat.

"Satu model pembangunan strategik HSR antara kerajaan dan swasta perlu dilakukan dan antara yang boleh diambil kira ialah menerusi kaedah BOT, dengan kerajaan membina dan mengendalikan HSR untuk satu tempoh masa sebelum menyerahkan kepada syarikat swasta bagi meneruskan perkhidmatan itu," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment