IPOH, SABTU, 16 Februari, 2013: Pembayaran empat inisiatif bantuan kerajaan bagi mengurangkan beban rakyat akan diselesaikan sepenuhnya sebelum akhir Mac ini, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Katanya, keempat-empat bantuan itu, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Sumbangan Veteran ATM Tidak Berpencen 1Malaysia (SVTB1M), Bantuan Awal Persekolahan dan Baucer Buku 1Malaysia (BB1M) mula diagihkan secara berperingkat sejak Januari lalu dan ia diharap dapat mengurangkan beban rakyat.
"Keempat-empat bantuan kerajaan ini sudah mula dinikmati penerima yang terdiri daripada masyarakat pelbagai lapisan. Kita jangka keempat-empat bantuan itu akan selesaikan diserahkan pada akhir Mac ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian SVTB1M bagi Parlimen Tambun di sini, hari ini.
Katanya, SVTB1M diserahkan kepada 26,089 penerima setakat semalam selepas kerajaan meluluskan sumbangan itu kepada 73,653 veteran tentera tidak berpencen.
Ahmad Husni yang juga anggota Parlimen Tambun berkata, sehingga Rabu lalu, sebanyak 1.4 juta penerima isi rumah dan 72, 858 penerima bujang menunaikan baucer BR1M masing-masing dengan peruntukan RM724 juta.
"Bagi yang mahu mengetahui status permohonan BR1M, mereka boleh menghubungi Lembaga Hasil Dalam Negeri dan tarikh tutup permohonan pada 15 Mac ini. Kita mahu rakyat tahu hal ini dan buat permohonan sebelum tarikh itu," katanya.
Mengenai Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM100, beliau berkata sebanyak 5.24 juta pelajar sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan sudah menerima peruntukan membabitkan RM524 juta.
Bagi sekolah swasta, agama negeri dan agama rakyat, pembayarannya sedang diproses dan juga akan diselesaikan sebelum 31 Mac ini, katanya.
Sementara bantuan BB1M bernilai RM250 yang disasar diagihkan kepada 1.3 juta penuntut institut pengajian tinggi awam dan swasta di seluruh negara juga sedang dilaksanakan dan akan selesai menjelang Mac, katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment