KUALA NERANG, SABTU, 16 Februari, 2013: Tiga sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah dalam satu kebakaran di Pekan Naka dekat sini, awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 7.20 pagi tadi memusnahkan tiga rumah dan dua rumah kedai iaitu sebuah kedai makan serta sebuah pejabat Pos mini yang tidak beroperasi sejak dua bulan lalu.
Seorang mangsa, Nurul Hasanah Musa, 21, berkata kejadian dipercayai berpunca daripada kebocoran tong gas di kedai makan milik keluarganya sebelum merebak ke rumah berdekatan yang terletak dalam jarak dekat antara satu sama lain.
Katanya, ketika itu dia berada di dapur bersama ibunya Shatinah Ghazali, 48, menyediakan makanan pagi untuk dijual di kedai makan keluarganya yang terletak bersebelahan rumah mereka.
"Masa tu ayah saya, Musa Abu Bakar, 54, sedang bersiap-siap nak buka kedai makan. Masa tu ayah nak pasang api dapur dan tiba-tiba marak dengan cepat menyambar dinding kedai dan rumah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.
Nurul Hasanah berkata, seorang jiran cuba memadamkan api menggunakan alat pemadam api tetapi gagal kerana api mula merebak ke bangunan berhampiran dengan cepat.
"Habis semua harta benda dan pakaian, tidak dapat diselamatkan... Mak saya sempat selamatkan beberapa dokumen penting dan peralatan untuk mengerjakan umrah yang dijadual Rabu ini," katanya.
Katanya, bapanya melecur di tangan dan kaki kanan akibat terkena api, dikejarkan ke Hospital Kuala Nerang dan keadaannya dilaporkan stabil.
Seorang lagi mangsa, Mohd Zamri Shuib, 29, berkata dia terdengar orang ramai riuh-rendah sebelum keluar rumah melihat kejadian tersebut dan berjaya menyelamatkan beberapa dokumen penting dan pakaian.
"Kejadian memang cepat, dalam beberapa minit api dah mula merebak. Saya sempat selamatkan sedikit sahaja barang-barang dan yang lain habis dijilat api," katanya yang bekerja sebagai penoreh getah.
Sementara itu Ketua Zon Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Kota Setar, Deang a/l Endem Lim, berkata pihaknya menerima panggilan jam 7.27 pagi dan sampai di tempat kejadian pada 7.52 pagi.
Pihaknya mengambil masa 16 minit untuk mengawal kebakaran daripada terus merebak ke rumah berhampiran dengan menggunakan tiga jentera dan 14 anggota.
Katanya, jumlah kerugian dan punca kebakaran masih disiasat. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment