My Add

Friday 1 February 2013

Bekas Penolong Pegawai Tadbir palsukan dokumen dipenjara 22 hari

KUCHING, JUMAAT, 01 Februari, 2013: Seorang bekas penolong pegawai tadbir dihukum penjara 22 hari dan denda berjumlah RM88,000 oleh Mahkamah Khas Rasuah di sini hari ini terhadap 22 pertuduhan memalsukan baucar pembayaran, empat tahun lalu.

Tertuduh, Sawiya Salim, 30, seorang penjawat pejabat Filem Negara Malaysia di sini, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Sawiya didakwa memalsukan 22 baucar pembayaran berjumlah RM85,350 bertarikh 17 Nov 2008 hingga 1 Julai 2009 untuk perkhidmatan bekalan yang tidak wujud dan memasukkan akaun penerima bayaran ke akaun peribadinya.

Ahmad Azhari menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM4,000 atau tiga bulan penjara jika gagal bayar denda bagi setiap pertuduhan di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, Ahmad Azhari membenarkan tempoh hukuman penjara bagi setiap pertuduhan berjalan serentak berkuatkuasa hari ini.

Tertuduh didakwa telah mengeluarkan baucar-baucar palsu dengan meletakkan nilai pembayaran antara RM450 hingga RM9,000.

Semasa memohon hukuman ringan, peguam bela Fabian Sigar, yang mewakili Sawiya, berkata anak guamnya itu telah insaf dan menyesali perbuatannya dan kini telahpun berhenti kerja ekoran kes berkenaan. 

Beliau memohon supaya hukuman penjara tidak dikenakan ke atas tertuduh bagi membolehkannya memulakan kehidupan baru.

Sementara itu, Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Othman Anyan, memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal ke atas tertuduh sebagai pengajaran. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment