My Add

Sunday 24 February 2013

BN Selangor bakal adakan simulasi pilihan raya

Oleh HELMI MOHD. FOAD
SHAH ALAM, AHAD, 24 Februari, 2013: Semua kepimpinan Barisan Nasional (BN) Selangor menyambut baik keputusan melantik Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Pengarah Pilihan Raya negeri manakala Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed sebagai timbalan pengarah.

Setiausaha BN Selangor, Datuk Mohammed Idris Abu Bakar berkata, keputusan sebulat suara oleh jawatankuasa tertinggi BN negeri dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN Selangor di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur malam tadi menjadi pengorak langkah kepada usaha BN menawan kembali Selangor daripada tangan parti pembangkang.

Beliau berkata, mesyuarat tersebut dihadiri oleh semua Pengerusi BN Bahagian di negeri ini.

"BN Selangor optimis bahawa peluang amat cerah untuk kembali memerintah Selangor selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.

"Kesiapsiagaan parti juga berada dalam keadaan optimum dan bersedia untuk digerakkan semasa tempoh kempen. Malah, gerak kerja sudah pun dimulakan sehingga di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohammed Idris berkata, satu simulasi khas pilihan raya juga akan diadakan dalam masa terdekat bagi membiasakan seluruh jentera termasuk memastikan segala persiapan berada dalam keadaan sempurna.

"Simulasi ini akan melibatkan semua peringkat parti dan cabang termasuk gerak kerja kempen yang bersepadu di peringkat PDM.

"Jentera di peringkat PDM akan menjadi teras utama parti supaya segala bahan kempen dan maklumat dapat terus disampaikan kepada akar umbi," katanya.

Tambah beliau, persiapan di peringkat PDM juga akan diaudit bagi memastikan keselarasan tindakan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment