My Add

Sunday 10 February 2013

BN sentiasa dahulukan rakyat - PM

KUALA LUMPUR, AHAD, 10 Februari, 2013: Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran MCA yang diadakan di Bandar Tun Razak hari ini merupakan antara bukti Barisan Nasional (BN) sentiasa mendahulukan rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, melalui konsep rumah terbuka rakyat akar umbi dapat merayakan hari kebesaran bersama-sama BN secara langsung.

"Melalui konsep rumah terbuka kita dapat bersama-sama meraikannya dengan rakyat di peringkat akar umbi seperti mana sambutan Tahun Baharu Cina anjuran MCA.

"Kali ini Bandar Tun Razak menjadi tuan rumah. Sebenarnya penganjuran rumah terbuka ini membawa pengertian bahawa BN merupakan sebuah parti yang sentiasa mendahulukan rakyat," katanya kepada pemberita ketika berkunjung ke Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran MCA di Bandar Tun Razak di sini hari ini.

Yang turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek; timbalannya, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri G. Palanivel

Kira-kira 10,000 orang hadir pada majlis tersebut.

Lebih istimewa dalam kunjungan ke majlis tersebut, Najib dan Muhyiddin turut memakai pakaian tradisi kaum Cina.

Sementara itu ketika ditanya mengenai signifikan Tahun Ular mengikut kalendar orang Cina, Perdana Menteri berkata, mengikut kepercayaan kaum itu Tahun Ular merupakan tahun keuntungan.

"Walau apa pun saya berharap tahun ini akan membawa rahmat kepada negara dan rakyat Malaysia," ujarnya.

Menjawab satu soalan beliau secara berseloroh berkata, tiada pengumuman besar cuma yang ada makan besar. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment