BN sentiasa rancang pembangunan jangka panjang: Taib Mahmud
KUCHING, SABTU, 16 Februari, 2013: Selangor, yang ditadbir kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR), akan hilang kedudukan sebagai negeri paling maju di Malaysia kerana pemimpinnya lebih berminat untuk terus berkuasa daripada menyelesaikan masalah rakyat, kata Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud di sini, hari ini.
"Mereka (kerajaan Selangor) hanya mahu bergaduh... tidak bersetuju dengan tawaran kerajaan pusat untuk membantu membiayai skim bagi menambah bekalan air terawat. Mereka hendak kawal semua perkara, sedangkan rakyat Selangor amat memerlukan air bersih," katanya pada majlis pemimpin bersama rakyat di Skim Penempatan Semula Empangan Bengoh kira-kira 40km dari sini.
Taib berkata, Barisan Nasional (BN) tidak mahu mana-mana negeri yang ditadbirnya mengalami keadaan seperti di Selangor dan oleh itu sentiasa merancang pembangunan untuk memastikan ia memberi manfaat kepada rakyat dalam jangka masa panjang, seperti yang dilakukan di Sarawak.
Katanya, Skim Penempatan Semula Bengoh adalah antara pendekatan yang diambil kerajaan negeri untuk memastikan rakyat terus menikmati kemajuan, di samping memenuhi keperluan mendapatkan bekalan air bersih yang terus meningkat di Kuching, Bau dan Samarahan.
"Apabila kami mengambil keputusan membina Empangan Bengoh, kami memikirkan tentang rakyat terlebih dahulu. Setelah mereka diberi penempatan semula, kami akan pastikan mereka menikmati kehidupan yang lebih baik dan menikmati lebih banyak manfaat daripada projek pembangunan itu," katanya.
Mengenai permohonan pampasan tambahan bagi tanah pertanian yang terjejas akibat pelaksanaan projek itu, Taib meminta mereka yang terbabit supaya memberi masa kepada beliau sekurang-kurangnya setahun untuk mencari penyelesaian terbaik bagi perkara itu.
"Walaupun saya Ketua Menteri Sarawak, saya juga terikat dengan peraturan kerajaan (untuk membuat keputusan serta-merta)," katanya bagi merujuk kepada permohonan tersebut yang dikemukakan Ahli Parlimen Mambong, Datuk Dr James Dawos Mamit, yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, pada majlis itu. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment