My Add

Saturday, 9 February 2013

Calon Parlimen Putrajaya: Tengku Adnan hormati kepercayaan PM

 *TENGKU Adnan Tengku Mansor bersalaman dengan orang ramai ketika hadir menyampaikan baucer BR1M 2.0 di Dewan Cempaka Sari, Putrajaya hari ini. Lebih 3,500 penerima hadir menerima baucer masing masing. - BERNAMA

PUTRAJAYA, SABTU, 09 Februari, 2013: Setiausaha Agung Barisan Nasional(BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menghormati kepercayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengekalkan beliau mempertahankan kerusi Parlimen Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Beliau bagaimanapun menegaskan, keputusan pemilihan dan penetapan calon merupakan kuasa mutlak Najib selaku Pengerusi BN.

"Baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib memperkenalkan saya sebagai calon Parlimen Putrajaya. Ia terserah kepada Perdana Menteri. Ini semua kerja Allah Subhanahuwataala," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) RM500 kepada setiap isirumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah kepada 3,500 penduduk Putrajaya, di sini hari ini.

Ketika berucap, beliau meminta penduduk Putrajaya agar terus memberi sokongan padu kepada BN bagi memastikan kebajikan dan kepentingan rakyat di situ terus terjamin.

Najib yang juga Presiden UMNO membuat pengumuman itu di hadapan kira-kira 2,500 penduduk Putrajaya ketika menghadiri Majlis Perayaan Jubli Emas Sekolah Sultan Alam Shah, di sini Khamis lepas.

Tengku Adnan sendiri kelihatan terkejut dengan pengumuman tersebut kerana ia sesuatu yang jarang dilakukan oleh presiden parti sebelum Dewan Rakyat dibubarkan.

Pengumuman itu juga telah menutup spekulasi dan kegiatan melobi beberapa individu untuk menjadi calon di pusat pentadbiran negara.

Tengku Adnan merupakan wakil rakyat pertama Putrajaya sejak 2004 dan berjaya mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya umum ke-12 dengan mengalahkan calon Pas, Mohamad Noor Mohamad. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment