My Add

Saturday 9 February 2013

USM, universiti Gaza kerjasama bidang akademik, penyelidikan

GEORGE TOWN, SABTU, 09 Februari, 2013: Universiti Sains Malaysia (USM) akan menjalin kerjasama dengan Islamic University Gaza (IUG) dalam bidang akademik dan penyelidikan.

Naib Canselor USM, Datuk Omar Osman berkata, kerjasama itu bagi meningkatkan kepakaran tenaga pengajar dan peluang penyelidikan untuk kedua-dua universiti.

"Menerusi kerjasama itu, kita merancang untuk menjalinkan perjanjian persefahaman dalam bidang penyelidikan, antara yang telah dikenal pasti ialah bidang keselamatan air, tenaga boleh diperbaharui dan pendidikan lanjutan atau pengajian jarak jauh.

"Selain itu, kita juga akan membuat pertukaran pensyarah mengikut keperluan masing-masing dan USM turut menawarkan program pasca ijazah peringkat doktor falsafah (PhD) bagi pensyarah IUG membuat pengajian jarak jauh," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir pada sidang akhbar itu Presiden IUG, Dr. Kamalain K.Shaa'ath dan Omar turut menyerahkan dana RM100,000 hasil kutipan pelajar dan staf USM serta orang ramai kepada IUG bagi pendidikan kanak-kanak dan pelajar di Gaza.

"Secara keseluruhannya kita berjaya mengumpul RM750,000 untuk Tabung Gaza di USM dan hari ini USM serahkan sebanyak RM100,000 manakala selebihnya akan diserahkan kepada pihak Gaza dari semasa ke semasa," katanya.

Katanya, USM juga memperuntukkan sejumlah daripada hasil kutipan itu kepada pelajar Palestin yang sedang menuntut di USM dengan membantu kos bayaran yuran pengajian di sini dan sebagainya.

Sementara itu, Kamalain berkata, beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada USM terutama kerajaan Malaysia yang sentiasa membantu penduduk Gaza dengan menyalurkan pelbagai bantuan dari semasa ke semasa.

Katanya, kerjasama dengan USM juga akan memberi impak positif dalam bidang akademik dan penyelidikan kepada UIG dan Gaza. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment