Dakwaan beri tanah rekaan pembangkang - Pairin
TAMBUNAN, KHAMIS, 31 Januari, 2013: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan menafikan dakwaan pembangkang yang menuduhnya telah memberikan tanah seluas 1.2 hektar bagi dijadikan penempatan untuk warga asing di Daerah Tambunan.
Beliau menegaskan bahawa dakwaan itu langsung tidak masuk akal dan merupakan satu pembohongan yang sengaja direka oleh pembangkang bagi mengelirukan pemikiran rakyat.
"Rakyat bijak menilai, rakyat mengenali siapa saya. Selagi saya berusaha, selagi diperlukan, selagi diminta untuk memimpin saya akan bertugas bersungguh-sungguh,'' katanya semasa merasmikan Program Dialog dan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Mukim Nambayan di sini semalam.
Sehubungan itu, Pairin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tambunan meminta masyarakat Kadazandusun dan Murut (KDM) di negeri ini supaya bersatu dan jangan terpengaruh dengan fitnah pembangkang yang bertujuan untuk memecahkan perpaduan yang selama ini dibina kukuh.
Tegas beliau, rakyat termasuk etnik KDM tidak seharusnya meragui perjuangan Barisan Nasional (BN) yang terbukti membela nasib rakyat dan mampu memimpin negara ke arah landasan yang tepat.
"Malah Datuk Seri Najib Tun Razak lebih bersikap terbuka, menerima idea dan teguran yang membawa kebaikan kepada rakyat Sabah. Antara contohnya ialah penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai pendatang asing yang diperjuangkan sejak sekian lama oleh KDM," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment