My Add

Friday, 1 February 2013

Dr Mahathir yakin BN kekal kuasa

 KUALA LUMPUR, KHAMIS, 31 Januari, 2013: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata beliau amat yakin kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus berkuasa selepas Pilihan Raya Umum Ke-13.

Kata beliau, pilihan raya itu, yang akan diadakan tahun ini, merupakan pertarungan politik paling penting yang perlu dihadapi BN.

Dr Mahathir juga berharap BN akan memperoleh majoriti dua pertiga di Parlimen bagi membolehkan kerajaan melaksanakan dasarnya tanpa halangan.

"Pakatan Rakyat hanya sebuah gabungan untuk menghadapi pilihan raya akan datang. Sekiranya mereka dipilih untuk memerintah, saya yakin setiap parti kemudiannya akan berperang untuk melaksanakan ideologi masing-masing.

"Itu sudah tentu tidak baik bagi Malaysia dan akan mengganggu semua usaha untuk membangunkan ekonomi yang dilaksanakan kerajaan sekarang," katanya pada persidangan Tinjauan Strategik Malaysia Ke-15 di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata, percakaran dalam kumpulan pembangkang menjadi sebab utama para pengundi kembali mempunyai keyakinan terhadap gabungan parti pemerintah.

Katanya, kerajaan BN, di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, memahami isu sosial dan ekonomi, sesuatu yang sangat penting bagi sebuah negara membangun.

Beliau berkata, kerajaan telah merangka pelan pembangunan secara besar-besaran bagi masa depan Malaysia dan sejajar dengan itu, adalah menjadi tanggungjawab rakyat Malaysia untuk memberi peluang kepada kerajaan membuktikan
keberkesanan pelan itu.

"Perubahan itu sendiri akan membawa kemusnahan dan mencetuskan keadaan tidak menentu. Keadaan kacau-bilau memang tidak baik untuk mana-mana negara pun.

"Sebuah kerajan baharu juga akan mengambil banyak masa untuk menyesuaikan diri dengan peranan baharunya, daripada pembangkang kepada kerajaan. Masa yang dibazirkan ini akan menggugat pertumbuhan Malaysia," katanya.

Ditanya tentang masa yang sesuai untuk membubarkan Parlimen, Dr Mahathir berkata: "Saya berpendapat ia patut dibuat selepas sambutan Tahun Baharu Cina." - BERNAMA

No comments:

Post a Comment