My Add

Thursday 21 February 2013

Elak penyalahgunaan ilmu - Dr. Mahathir

PUTRAJAYA, RABU, 20 Februari, 2013: Universiti di Malaysia disaran memberikan fokus kepada pembinaan watak graduan yang bermoral supaya mereka tidak menyalahgunakan ilmu yang dipelajari untuk tujuan yang tidak baik.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, graduan yang berpengetahuan tetapi tidak bermoral akan menyalahgunakan ilmu yang dipelajari untuk tujuan membunuh dan memusnah.

Beliau memberi contoh, perkembangan ilmu sains akan mendorong penciptaan senjata pemusnah yang semakin kecil dan orang yang tidak bermoral akan menggunakannya untuk membunuh sesiapa sahaja yang tidak disukai.

''Jika orang berpengetahuan itu melontar bom atom di sesuatu tempat, ramai manusia pasti akan mati disebabkan letupan dan bahan radioaktif yang dibawa angin.

''Kita perlu mewujudkan sistem untuk memastikan ilmu itu digunakan untuk tujuan yang baik, supaya boleh membawa kebaikan kepada manusia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk Pengajian Tinggi Dalam Milenium Seterusnya sempena Mesyuarat Plenari Rangkaian Universiti Akademi ASEAN-Eropah anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini malam ini.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, pengajian sains merupakan bidang yang mengalami perubahan setiap masa dan universiti perlu mengemaskini program pengajian yang ditawarkan supaya selari dengan perkembangan terkini.

''Dalam sains, penemuan baharu berlaku setiap hari. Pendidik mesti menerima hakikat bahawa tidak ada penghujung dalam penyelidikan sains," katanya.

Beliau berkata, walaupun sains merupakan bidang yang penting, namun bidang kemanusiaan seperti sejarah masih relevan dalam kehidupan manusia.

''Melalui sejarah, kita boleh belajar daripada kesilapan dahulu dan tidak akan mengulangi kelemahan yang sama," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment