My Add

Saturday 9 February 2013

Harga pasir tinggi antara punca harga rumah di Selangor melambung

SHAH ALAM, SABTU, 09 Februari, 2013: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata antara faktor yang menyebabkan harga rumah di Selangor melambung tinggi ialah kenaikan harga pasir di negeri itu.

Beliau mendakwa sebelum pakatan pembangkang mengambilalih tampuk pemerintahan Selangor harga pasir satu lori 30 tan ialah RM300 tetapi sejak perniagaan pasir dimonopoli oleh anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Semesta Sdn Bhd harganya meningkat kepada RM800 satu lori 30 tan.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata demikian semasa Debat Jom Tolak Pakatan Rakyat yang turut disertai Penaung Waris Malaya Senator Mohd Ezam Mohd Noor di Alam Megah di sini anjuran Sekretariat Jom Tolak Pakatan malam tadi.

"Bila pasir mahal harga rumah menjadi mahal," katanya.

Selain itu oleh kerana bekalan air di Selangor hanya mencukupi untuk kegunaan semasa, Noh berkata pembinaan rumah-rumah baharu tidak dapat dilaksanakan bagi menampung peningkatan permintaan dan ini boleh menyebabkan harga rumah melambung.

Oleh kerana itu, katanya Kerajaan Persekutuan telah melaksanakan projek mitigasi bekalan air di Selangor dengan peruntukan RM606 juta dan pada tahun lepas sebuah loji air baharu di Sungai Labu siap dibina dan diserahkan kepada kerajaan negeri untuk diuruskan.

Bukan itu sahaja minggu lepas Kerajaan Pusat juga telah meluluskan bantuan RM120 juta kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd untuk mengatasi masalah air di Selangor, katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kenaikan harga rumah di Selangor adalah kerana permintaan hartanah yang tinggi daripada kalangan pelabur biarpun harga tanah semakin meningkat. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment