My Add

Wednesday 20 February 2013

Harimau kumbang Felda Perasu mengganas lagi

GUA MUSANG, RABU, 20 Februari, 2013: Seekor harimau kumbang yang mencederakan seorang buruh ladang dua minggu lepas mengganas lagi apabila dipercayai membaham tiga ekor biri-biri milik seorang peneroka di Tanah Rancangan Felda Perasu, di sini.

Berikutan itu, peneroka di tanah rancangan itu bimbang untuk memasuki kawasan ladang sawit kerana percaya haiwan itu masih bersembunyi di kawasan berkenaan.

Penternak biri-biri, Mohd. Shafie Mohd. Yunus, 66, berkata, tiga ekor kambingnya mati dibaham harimau itu sejak minggu lepas.

Beliau berkata, kini haiwan ternaknya kini hanya tinggal 25 ekor dan beliau bimbang akan mengalami kerugian besar sekiranya haiwan itu tidak segera ditangkap.

"Biri-biri pertama dibaham pada malam 16 Feb apabila saya menemui sebatang kaki anak biri-biri yang ditinggalkan harimau berkenaan yang menceroboh kandang di kawasan ladang sawit.

"Sehari selepas itu, seekor ibu kambing biri-biri pula menjadi mangsa dan bangkai biri-biri itu ditinggalkan dalam kandang," katanya.

Mohd. Shafie berkata, terbaharu pula berlaku dua malam lepas antara 11 malam hingga 4 pagi apabila seekor lagi biri-biri hilang dipercayai dibaham harimau bintang itu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi 10 Feb lepas, seorang buruh ladang rakyat Indonesia, Alip Abil, 33, cedera diterkam harimau kumbang itu ketika sedang menjalankan kerja meracun rumput dalam kawasan ladang sawit itu bersama tujuh rakan yang lain.

Mangsa bergelut hampir 10 minit dengan harimau berkenaan sebelum diselamatkan rakan-rakannya selepas menjerit dan menerima 50 jahitan di Hospital Gua Musang (HGM). - BERNAMA

No comments:

Post a Comment