My Add

Friday 1 February 2013

Hasan Ali anggap tindakan terhadap Nasharuddin terlalu kejam

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 31 Januari, 2013: Pemecatan Nasharudin Mat Isa daripada Majlis Syura Ulama Pas disifatkan sebagai terlalu kejam kerana ia dilakukan tanpa sebarang pertuduhan ataupun memberi peluang kepada bekas Timbalan Presiden Pas itu membela diri.

Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali berkata, tindakan pucuk pimpinan Pas itu amat mengecewakan kerana ia dibuat tanpa sebarang notis dan ia diumumkan selepas Nasharudin pulang dari Gaza, Palestin.

"Saya juga dipecat dari Pas tanpa sebarang pertuduhan, sekarang sudah setahun lapan bulan dan saya masih tidak tahu apa salah saya dan saya yakin Ustaz Nasha pun tidak tahu apa salahnya.

"Baru-baru ini Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah meminta waktu sejam penuh dalam siaran televisyen untuk membela diri berikutan isu Amanat Haji Hadi.

"Dia minta satu jam tetapi Hasan Ali dan Ustaz Nasha tidak diberi walau seminit untuk membela diri, terus dipecat," katanya ketika berucap pada program Fakta Sahih: Jom Tolak Pakatan di Bandar Baru Bangi, di sini malam tadi.

Yang turut hadir Presiden Pertubuhan Nambikai, Kalai Vanar; bekas Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Abdul Ghani Haroon serta Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Selangor, Ungku Salleh Ungku Jamal.

Menurut Hasan, sekiranya penyertaan Nasharudin dalam lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Gaza dijadikan alasan pemecatan, perkara itu tidak wajar kerana lawatan tersebut berbentuk kemanusiaan dan persaudaraan sesama Islam.

"Dalam usia Ustaz Nasha semuda 30-an, bekas Presiden Pas, Datuk Fadzil Noor sudah nampak potensinya dan mahukannya menjadi Setiausaha Agung Pas.

"Ilmu Ustaz Nasha juga tinggi, saya boleh kata dalam seluruh Pas, tiada siapa boleh bercakap bahasa Inggeris dan bahasa Arab sefasih Ustaz Nasha," katanya yang merupakan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor.

Beliau percaya nasib yang menimpa Nasharudin itu kerana ketegasannya mempertahankan akidah umat Islam dalam isu kebebasan beragama yang dicetuskan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar serta isu kalimah Allah yang dipolitikkan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment