My Add

Saturday 16 February 2013

Hentikan fitnah Zoo Kemaman untuk raih sokongan politik

KEMAMAN, SABTU, 16 Februari, 2013: Pakatan pembangkang perlu menghentikan fitnah berkaitan Pusat Rekreasi dan Zoo Kemaman kerana kesemua dakwaan mereka hanya mengarut dan tidak berasas sama sekali, kata Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said di sini hari ini.

Beliau berkata, pelbagai fitnah dilemparkan pembangkang, kononnya berjuta-juta wang rakyat dibazirkan untuk kos memelihara haiwan di zoo tersebut termasuk kos makanan seekor harimau yang didakwa menelan belanja RM450 sehari.

"Ini semua tuduhan semata-mata. Saya dimaklumkan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), kos makanan untuk lima ekor harimau hanyalah antara RM150 hingga RM180 sahaja sehari.

"Ini jelas sekali tuduhan yang berniat jahat yang bertujuan menimbulkan kebencian rakyat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu dengan menggunakan isu kononnya kerajaan lebih utamakan haiwan di zoo berbanding rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada 841 penerima di kampus Kolej Universiti Tati di sini hari ini.

Pakatan pembangkang telah menggunakan pelbagai medium untuk menyebarkan pembohongan berkaitan Zoo Kemaman di laman sosial, akhbar parti dan risalah kepada orang ramai bagi menimbulkan kebencian rakyat terhadap usaha pembinaan zoo itu dengan alasan ia membazir.

Ahmad berkata, projek pembinaan zoo itu sebenarnya memberi impak positif kepada ekonomi penduduk setempat dan sektor pelancongan Terengganu khususnya.

"Sehingga kini jumlah kutipan zoo ialah RM2 juta dengan jumlah pengunjung 400,000 dan jumlah ini semakin meningkat dari semasa ke semasa.

"Banyak buah-buahan yang kita beli daripada penduduk tempatan seperti betik dan pisang untuk makanan haiwan di zoo selain memberi manfaat kepada pengusaha kedai makan dan restoran apabila dikunjungi pelancong luar," katanya.

Zoo dengan keluasan 120 hektar itu kini dilengkapi pelbagai kemudahan prasarana yang sudah dinaik taraf seperti tram, kolam mandi dan gelongsor air untuk pengunjung dengan mengikut spesifikasi yang ditetapkan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment