Zahid Hamidi ingatkan ahli UMNO sayangi parti
BESUT, SABTU, 16 Febeuari, 2013: Ahli akar umbi UMNO diingat supaya menyayangi parti dan tidak mengulangi sejarah lama dengan bertindak menutup Pusat Daerah Mengundi setelah mengetahui pemimpin pilihan mereka tidak disenarai sebagai calon pada pilihan raya umum.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan itu menyebabkan parti kehilangan banyak undi sehingga beberapa kerusi jatuh ke tangan pembangkang ekoran protes terhadap calon lain yang dipilih.
"Perbuatan seperti itu janganlah diulangi lagi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) kerana pasti ia akan merugikan parti dan membuka laluan kepada parti pembangkang untuk menguasai negara kelak," katanya ketika berucap pada pelancaran Jentera Pilihan Raya PRU-13 Barisan Nasional bagi Parlimen Besut di Dewan Gong Kemuntong hari ini.
Beliau berkata, pada PRU-12, sejumlah 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM) ditutup oleh anggota Umno yang tidak puas hati dengan calon yang diputuskan pucuk pimpinan, menyebabkan kawasan terbabit kecundang dan dimenangi pembangkang.
Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh; yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih; Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Nawi Mohamad (ADUN Hulu Besut); Naib Ketua UMNO Bahagian, Muhamad Pehimi Yusof (ADUN Kota Putera; dan Bendahari Bahagian, Datuk Seri Dr. Abdullah Md Zin, yang juga Ahli Parlimen Besut.
Pada majlis itu, kira-kira 2,000 jentera parti empat peringkat diketuai Ketua Pegerakan Pemuda Mahadi Musa hadir dan melafaz ikrar taat setia dan menerima apa sahaja keputusan pucuk pimpinan, terutama berkaitan calon yang bakal bertanding dalam PRU-13.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid, berkata UMNO tidak akan berkompromi dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh agama lain, dan umat Islam perlu bersatu meskipun berbeza fahaman politik berhubung perkara itu.
Beliau berkata, pemimpin bukan Islam dalam parti politik tidak wajar mencampuri urusan agama Islam sebaliknya perlu menyerahkan perkara itu kepada orang Islam untuk menyelesaikannya.
Katanya, dalam konteks ini, ulamak perlu memainkan peranan dengan memberi penjelasan serta nasihat, dan bukannya bertindak mengikut telunjuk pemimpin tertentu atau berpihak kepada parti yang dicenderungi sahaja. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment