My Add

Sunday 10 February 2013

Hubungan baik media Malaysia-Indonesia perlu diperkukuh 

MANADO (Indonesia), AHAD, 10 Februari, 2013: Hubungan baik media Indonesia dan Malaysia perlu terus diperkukuh bagi memastikan laporan oleh institusi penyebar fikiran rakyat itu bergerak seiring dengan hubungan baik yang terbentuk antara dua kerajaan.

Gabenor Sulawesi Utara SH Sarundajang berkata, tanpa persefahaman, berita
yang dilaporkan berkemungkinan mampu memberi masalah kepada kedua-dua negara kerana media sebagai medium perantara mampu mencorak hala tuju pemikiran rakyat.

"Untuk memastikan hubungan Jakarta-Kuala Lumpur terus terjaga semua pihak
perlu memiliki persefahaman dengan mengamalkan sifat terbuka, namun yang lebih
mustahak hubungan sedia ada akan menjadi lebih baik sekiranya persefahaman itu
datang daripada sesama pengamal media.

"Indonesia amat berharap dapat mempelajari sesuatu dari Malaysia melalui
hubungan dua kumpulan komunikasi yang dijitukan kerana laporan dan kritikan yang dibuat institusi ini boleh mempengaruhi kesepaduan rakyat," katanya ketika
ditemui Bernama di sini hari ini.

Sarundajang berkata, usaha mencari kesatuan antara media menjadi lebih mudah
dengan penglibatan dan pengiktirafan kerajaan Malaysia menerusi kedatangan
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim ke Manado, sekali gus memberi motivasi kepada pengamal media erti perpaduan serumpun yang cuba diterapkan dua kerajaan.

Sambil menghargai kedatangan Rais ke Kota Manado dan menyampaikan ucaptama
pada majlis makan malam sempena sambutan Hari Pers Nasional (HPN) dan ulang
tahun Persatuan Wartawan Indonesia (PWI) ke-67, Khamis lepas, beliau berkata
lebih 1,000 pengamal media yang menghadiri sambutan itu perlu berbesar hati dan
menterjemahkannya dengan menulis berita yang menjurus kepada kerukunan hubungan sesama masyarakat dan negara.

Kedatangan Rais ke Manado mendapat liputan akhbar tempatan yang disifatkan
sebagai semarak tambahan kepada sambutan tahunan HPN, dan memungkinkan kepada terbukanya pelbagai hubungan lain selain kerjasama budaya dan media.

Bagi Sarundajang signifikan kedatangan Rais bukan hanya terbatas kepada
urusan memperkukuh hubungan antara pengamal media tetapi kehadiran itu juga
mencetuskan pelbagai kemungkinan lain ke arah mengangkat persaudaraan serumpun ke tahap lebih tinggi.

Katanya, kehadiran Rais juga memberi peluang kepadanya menyatakan hasrat
kerajaan Manado untuk berunding dengan Malaysia bagi membuka semula laluan
penerbangan secara terus Kuala Lumpur-Manado yang pernah dilaksanakan syarikat
penerbangan AirAsia sebelum ini.

Cadangan itu dibalas Rais dengan mempelawa rombongan Manado ke Kuala Lumpur bagi berbincang secara lebih lanjut bersama pihak yang berkenaan, katanya.

Berhubung peranan yang boleh dimainkan Manado dalam menjayakan Yayasan
Ikatan Rakyat Malaysia Indonesia (YIRMI) yang baru ditubuhkan, Sarundajang
berkata Sulawesi Utara sedia berperanan dengan menyediakan tempat bagi sebarang pertemuan dan perbincangan ke arah mewujudkan hubungan lebih baik antara masyarakat kedua-dua negara.

Beliau berkata, sebarang kegiatan ke arah kesepaduan rakyat kedua-dua negara
perlu dipandang positif dan disokong kerana ia mampu memberi sinergi baharu ke
arah pembangunan bangsa Melayu yang lestari.

Bakal dilancarkan bulan depan, Yirmi yang diasaskan oleh Rais ditubuhkan
bertujuan meningkat dan mengekalkan hubungan silaturahim dan kerjasama antara
rakyat Malaysia dan Indonesia melalui pelbagai bidang termasuk seni budaya
warisan, penerangan, kemasyarakatan, ekonomi, pelajaran dan bahasa. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment