My Add

Tuesday 26 February 2013

Insentif RM2.4 bilion kepada petani

 *NAJIB Tun Razak diiringi Noh Omar (kiri) disambut oleh para hadirin yang terdiri daripada golongan petani, peladang, penternak dan nelayan yang menanti ketibaannya untuk majlis perasmian Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di Jalan Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur, semalam.Gambar: MOHD NAIM AZIZ

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD dan HAMDAN TAWADI 

KUALA LUMPUR 25 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyatakan komitmennya bahawa kerajaan akan meneruskan pemberian insentif-insentif kepada golongan peladang, penternak dan nelayan di negara ini dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM2.4 bilion setahun.

Perdana Menteri berkata, antara insentif tersebut ialah subsidi harga padi, subsidi baja padi, insentif pengeluaran padi, subsidi harga beras, insentif tangkapan ikan serta elaun sara hidup nelayan.

Menurutnya, selama ini kerajaan tidak pernah mengabaikan sektor pertanian dan mengakui tentang kepentingan sektor berkenaan terhadap pertumbuhan ekonomi negara.

''Atas sebab itu di dalam Bajet 2013 saya telah meluluskan bukan sedikit peruntukan tetapi sebanyak RM5.8 bilion khusus untuk sektor pertanian.

''Dalam peruntukan RM5.8 bilion ini, terdapat insentif-insentif untuk peladang, penternak dan nelayan yang kita akan teruskan. Semua insentif ini berjumlah RM2.4 bilion,'' katanya ketika merasmikan Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan dua timbalannya, Datuk Seri Mohd. Johari Baharum dan Datuk Chua Tee Yong serta Pengerusi LPP, Datuk Zainal Dahalan.

Hadir sama lebih 4,000 ahli LPP dari seluruh negara.

Menara LPP yang menelan belanja RM45 juta itu dibina atas tanah dua hektar, mempunyai ketinggian 51.7 meter menempatkan blok pejabat 11 tingkat serta tempat meletak kereta tiga tingkat.

Dalam ucapan tersebut, Najib turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM28 juta bagi membantu golongan pekebun kecil serta membiayai kursus lanjutan untuk kumpulan Kor Tani.

Beliau berkata, penyaluran peruntukan tersebut akan dibuat secara sekali gus.

Dalam pada itu, Perdana Menteri mahu sektor pertanian tidak lagi dikaitkan dengan kemiskinan sebaliknya bidang tersebut perlu dilihat sebagai salah satu penjana pertumbuhan ekonomi negara.

Bagi mencapai hasrat tersebut beliau berkata, setiap pihak yang terlibat dalam sektor itu terutama para petani harus mempunyai idea unggul dan bernas termasuk menggunakan teknologi moden supaya hasil pertanian mampu ditingkatkan.

Sebagai contoh ujar beliau, kediaman rasminya sendiri iaitu Seri Perdana telah berjaya mengeluarkan hasil buah rock melon dengan keuntungan bersih RM500,000 setahun di atas tanah seluas 2.4 hektar dan menggunakan kaedah 'autopot'.

''Dengan setengah juta itu, melalui isteri saya (Datin Seri Rosmah Mansor) kita derma kepada badan-badan kebajikan setiap tahun. Ini merupakan satu contoh kawasan 2.4 hektar mengggunakan sistem autopot boleh meraih keuntungan RM500,000,'' katanya.

Beliau berkata, kejayaan itu bukan kisah khayalan tetapi sudah terbukti dengan tanah seluas itu, Seri Perdana boleh mendapat keuntungan RM500,000 setahun.

''Saya tidak fikir ini satu cerita khayalan tetapi sudah terbukti. Kalau di Seri Perdana boleh dapat keuntungan RM500,000 setahun, mengapa tidak boleh di tempat-tempat lain,'' ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment