My Add

Tuesday 26 February 2013

Muhyiddin cabar Hadi keluar fatwa haramkan BR1M


 *MUHYIDDIN Yassin bersalaman dengan penerima BR1M Individu Bujang semasa menghadiri Majlis Penyampaian BR1M 2.0 Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh dekat Muar, Johor, semalam.

PAGOH, ISNIN, 25 Februari, 2013: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mencabar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengeluarkan 'fatwa' pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah haram.

Timbalan Perdana Menteri turut mencabar pemimpin Pas tersebut supaya membuat satu lagi 'fatwa' bahawa menerima BR1M juga adalah haram dan menyuruh penerima termasuk dalam kalangan ahli Pas memulangkannya semula.

"Apa yang saya tahu, saya ada sedikit ilmu agama, ia (BR1M) tidak menyalahi hukum atau bertentangan dengan akidah, syariat, bercanggah dengan agama atau sebagainya," katanya.

Beliau mengulas kenyataan terbaharu Abdul Hadi yang menyamakan pemberian BR1M seperti zaman Firaun yang menggalakkan rakyatnya bergantung kepada kerajaan dan membuatkan rakyat hidup seperti pengemis.

Abdul Hadi dilaporkan berkata demikian dalam Konvensyen Keempat Pakatan Pembangkang di Shah Alam, Selangor.

Muhyiddin ditemui selepas majlis Penyerahan BR1M untuk orang muda bagi Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh di sini.

Timbalan Perdana Menteri turut hairan dengan tindakan Abdul Hadi dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang kerap mengeluarkan kenyataan atau 'fatwa' yang amat memesongkan sedangkan mereka mendakwa memperjuangkan agama Islam.

Beliau berkata, pemberian BR1M bukan satu amalan bertentangan dengan ajaran Islam dan ramai tokoh agama tidak terpengaruh dengan kenyataan itu kerana berfikiran rasional bersandarkan hukum dan syariat.

Menurutnya, bantuan tersebut adalah untuk membantu golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana serta pemberian seperti itu dipraktikkan di beberapa negara maju bagi meringankan beban terutama kos hidup.

Katanya, kenyataan Menteri Besar Kelantan yang menyamakan penerima BR1M sebagai haiwan dibuat kerana beliau merasa kedudukan pembangkang tercabar dengan bantuan itu.

"Itulah sebabnya mereka mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang tok guru. Itu bertentangan dengan ajaran agama Islam. Saya hairan kenapa kenyataan itu dibuat," katanya.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, walaupun tokoh agama Pas itu menyatakan kata-kata tersebut sebagai satu kiasan, tetapi adalah tidak wajar disamakan dengan haiwan, sekali gus akan menimbulkan rasa tidak puas hati dan prasangka tidak baik.

Beliau berkata, pemimpin Pas itu melihat perkara tersebut dari sudut politik kepartian berbanding kebajikan yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk membela nasib rakyat. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment