My Add

Friday, 1 February 2013

Isu gaji minimum: MCA nafi bersuara untuk orang kaya

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 01 Januari, 2013: MCA menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bahawa parti itu bersuara bagi orang kaya ketika membangkitkan isu pelaksanaan gaji minimum.

Presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, berkata cadangan MCA agar levi dan pengangkutan serta elaun perumahan ditanggung pekerja asing bertujuan memastikan pendapatan golongan itu tidak melebihi gaji pekerja tempatan.

"Kami menyokong pelaksanaan gaji minimum. Cadangan kami tidak meliputi pekerja tempatan.

"Tujuan kami membuat cadangan itu bagi memastikan pendapatan pekerja asing tidak melebihi pekerja tempatan kerana dengan pelaksanaan gaji minimum RM900 dan elaun yang tidak dinikmati pekerja tempatan, gaji pekerja asing sebenarnya lebih tinggi," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Dr Chua berkata keadaan itu bukan sahaja tidak adil bagi pekerja tempatan tetapi juga majikan yang terpaksa menanggung kos tambahan.

Katanya peningkatan kos tambahan juga boleh mengakibatkan ramai majikan terutama dari industri kecil dan sederhana terpaksa gulung tikar.

"Akibatnya pekerja akan kehilangan kerja dan merekalah yang terpaksa menderita akhirnya," katanya. 

Setiausaha Agung MTUC, Abdul Rahim Mansor dalam satu kenyataan media bertarikh 24 Jan mengkritik MCA kerana dikatakan menuntut polisi gaji minimum ditarik balik dan membidas parti itu sebagai jurucakap untuk orang kaya.

Mengulas lanjut, Dr Chua berkata MCA menyambut baik keputusan kerajaan agar pekerja asing menanggung levi mereka namun langkah itu tidak memadai.

"Kami mendesak agar elaun untuk pekerja asing dimasukkan dalam gaji minimum mereka," katanya.

Beliau juga menegaskan MCA menyokong pekerja tempatan menerima gaji minimum RM900 sebulan selain pelbagai elaun dan menggesa orang ramai agar tidak terkeliru dengan pendirian parti berhubung isu gaji minimum. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment