My Add

Friday 1 February 2013

NKRA KDN berjaya catat pengurangan jenayah indeks 7.6 peratus

KOTA KINABALU, JUMAAT, 01 Februari, 2013: Kementerian Dalam Negeri (KDN), yang dipertanggungjawab menjayakan misi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Mengurangkan Jenayah yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berjaya mengurangkan kadar jenayah lebih baik daripada sasaran yang ditetapkan sepanjang tahun lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop, berkata dalam tempoh itu, pengurangan jenayah indeks ialah 7.6 peratus berbanding sasaran iaitu 5 peratus.

"Jelas sekali, NKRA Mengurangkan Jenayah, yang telah digariskan oleh Perdana Menteri ini, telah menunjukkan impak yang berkesan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis perasmian Rumah Perantaraan negeri Sabah di Kepayan dekat sini.

Beliau berkata satu daripada 50 inisiatif NKRA Mengurangkan Jenayah ialah program penempatan semula banduan selepas dibebaskan dari penjara melalui penubuhan Rumah Perantaraan yang dicetuskan dalam Makmal Mengurangkan Jenayah.

Abu Seman berkata sejak 2010, sebanyak 14 Rumah Perantaraan dibina di seluruh negara, yang menyaksikan setiap negeri mempunyai kemudahan itu.

Beliau berkata Rumah Perantaraan, antara lain, bermatlamat membantu bekas banduan mendapat pekerjaan dan perkhidmatan kaunseling, menanam keyakinan bahawa mereka adalah sebahagian daripada masyarakat dan rakyat yang tenaga mereka masih diperlukan negara.

"Rumah perantaraan ini juga membantu bekas banduan menangani masalah stigma sosial apabila keluarga dan masyarakat tidak mahu menerima mereka kembali," katanya. 

Abu Seman berkata Jabatan Penjara berperanan penting dalam membina landasan pemulihan sama ada di dalam atau luar tembok penjara melalui pelbagai latihan dan kegiatan perekonomian, sekali gus memudahkan pelaksanaan program mengintegrasikan semula atau penyesuaian diri banduan dengan anggota masyarakat, keluarga dan majikan.

Beliau berkata pada tahun lalu saja, lebih RM17 juta pulangan yang diperoleh melalui pelbagai aktiviti ekonomi, termasuk penternakan ikan dan produk kraf yang disertai banduan.

"Apa yang penting ialah ODP dan bekas banduan perlu dikembalikan ke pangkuan keluarga dan masyarakat," katanya.

Abu Seman juga berkata kementeriannya melalui Jabatan Penjara akan memperluas pelaksanaan Program Pemulihan Pemasyarakatan di lima lagi kem tentera, termasuk Kota Belud, yang dijangka bermula pertengahan tahun ini.

Program itu, antara lain, bertujuan mengelak banduan mengulangi kesalahan selepas dibebaskan dari penjara, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment