Jentera di fasa akhir hadapi fitnah - Shahrizat Jalil
KOTA KINABALU, AHAD, 24 Februari, 2013: Semua jentera wanita UMNO diminta bersedia sepenuhnya bagi menangkis fitnah dan tohmahan yang akan melanda negara berdasarkan trend pembangkang yang terusmelipatgandakan fitnah dan tohmahan kerana tidak mempunyai sebarang isu.
Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, jentera Wanita UMNO kini berada di fasa terakhir dan perlu bergerak lebih aktif dalam memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.
"Jentera Wanita akan menangkisnya mengikut fakta-fakta di mana kita akan tangkis satu demi satu tohmahan dan fitnah yang akan melanda seluruh negara kerana itulah sahaja yang ada pada pembangkang iaitu fitnah dan tohmahan.
"Mesej Wanita kepada pengundi satu sahaja iaitu mengundi dalam pilihan raya ialah bisnes yang serius di mana kita mesti ingatkan pengundi supaya mengundi bukan mengikut emosi ataupun mengikut fitnah pembangkang tetapi demi masa depan negara," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran program Gelombang Biru BN Sabah di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Likas di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman; Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said; Ketua Wanita UMNO negeri, Datuk Armani Mahiruddin dan Ketua Puteri UMNO negeri, Musliati Muslimin.
Menurut Shahrizat, jentera Wanita UMNO telah membentuk pasukan khas bagi menangkis segala tohmahan pembangkang dengan mengambil pendekatan bertemu dengan para pengundi di seluruh pelusuk negeri.
Ujarnya, kunjungan dari rumah ke rumah yang dilakukan oleh Wanita UMNO secara berterusan dilihat telah memberi kesan yang signifikan dalam meningkatkan sokongan kepada BN.
Dalam pada itu, beliau berkata, berdasarkan bancian sikap yang dilakukan Wanita UMNO di seluruh negara mendapati sokongan kepada BN amat menggalakkan.
"Malah di Sabah ini penerimaan rakyat dan pengundi terutamanya wanita kepada kepimpinan Datuk Seri Musa Aman begitu baik sekali, kerana wanita mahu kestabilan dan masa hadapan berterusan," ujarnya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment