My Add

Saturday, 9 February 2013

Letak jawatan: Jafrie perlu jelaskan perkara sebenar

IPOH, SABTU, 09 Februari, 2013: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Jafrie Nordin perlu menceritakan perkara sebenar berhubung peletakan jawatannya sebagai pegawai khas kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Ronnie Liu.

Beliau berkata, penjelasan itu boleh dibuat di pelbagai saluran termasuk badan bukan kerajaan (NGO) tetapi tidak digalakkan menggunakan pentas UMNO.

"...nanti mereka akan tuduh UMNO beli kononnya... saya harap banyak lagi pendedahan akan dibuat supaya masyarakat dapat bezakan siapa baik dan siapa yang lebih baik," kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan kepada pemberita di sini hari ini.

Akhbar semalam melaporkan, Jafrie, 41, meletak jawatan kerana hilang kepercayaan ke atas wakil rakyat DAP itu dan didakwa mempunyai pandangan keterlaluan terhadap beberapa pemimpin Melayu dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, soal tidak menghormati Pas atau PKR bukan kali pertama dilakukan oleh wakil rakyat dari DAP.

"Sepertimana Karpal Singh (Pengerusi DAP) pun, dia tidak hormat Pas dan lain-lain. Itu sikap sebenarnya yang digambarkan kepada kita, apa yang mereka lakukan adalah untuk sementara bagi menutup segala kelemahan seolah-olah menunjukkan mereka sentiasa berada dalam keadaan baik," katanya.

Katanya, masyarakat boleh lihat satu demi satu orang mereka keluar dari parti dan menceritakan krisis dalaman yang mereka hadapi.

"Bukan hanya Pas dan PKR malah DAP umpamanya di Perak, kita tahu bagaimana faktor dalaman "perang" mereka yang teruk sesama sendiri malah sekarang mereka sedang melobi siapa nak jadi calon dan sebagainya," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment