My Add

Sunday 10 February 2013

Majlis Permuafakatan Mahasiswa Pekan ikrar sokongan padu kepada PM

PEKAN, AHAD, 10 Februari, 2013: Majlis Permuafakatan Mahasiswa Pekan (MP2) hari ini mengikrarkan sokongan padu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya terus menerajui pentadbiran negara.

Pengerusinya, Mohd. Fakhruddin Mohd Ariff berkata, mahasiswa sepatutnya bersyukur kepada kerajaan yang selama ini telah menyediakan pelbagai kemudahan pendidikan.

Sehubungan itu, katanya, MP2 menolak sekeras-kerasnya cadangan kumpulan Gerakan Mahasiswa PRU13 yang mahu bertanding mencabar Najib di Parlimen Pekan dalam pilihan raya umum akan datang.

"Kita menganggap itu hanyalah publisiti murahan yang dicari mereka bagi mendatangkan masalah kepada Perdana Menteri," katanya kepada pemberita di majlis ramah mesra MP2 yang dirasmikan Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Mohd. Poad Jelani di sini, hari ini.

Pada 7 Februari lepas, Gerakan Mahasiswa PRU13 yang diketuai Syis Abdul Kadir mengumumkan akan menurunkan calon bertanding di Parlimen Pekan dalam pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, ketua penyelaras MP2, Norzi Hashim Nadzi menyeru semua mahasiswa di seluruh negara terutamanya di Pekan supaya bergabung dalam menyokong Najib sekali gus mempertahankan Pekan daripada Gerakan Mahasiswa PRU13 yang dilihat bermotifkan politik tidak sihat.

"Saya lihat bahawa gerakan itu propembangkang yang mahu mencemar dan mencabar kredibiliti Perdana Menteri di mana cadangan mereka mahu bertanding di Pekan jelas menunjukkan mereka mahu menjatuhkan Perdana Menteri supaya boleh mengganggu-gugat negara," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment