My Add

Sunday, 10 February 2013

Mudah dapat pembiayaan

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD dan MAISARAH SHEIKH RAHIM
 
 *NAJIB Tun Razak beramah mesra dengan para usahawan selepas merasmikan Konvensyen Usahawan TEKUN dan Ekspo Keusahawanan TEKUN Nasional 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam. - MINGGUAN/DJOHAN SHAHRIN SHAH

KUALA LUMPUR, SABTU, 09 Februari, 2013: Bank Dunia melalui laporannya dalam World Bank's Doing Business Report 2011-2012 telah memperakui Malaysia merupakan negara nombor satu yang paling mudah untuk peniaga mendapatkan pembiayaan perniagaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, laporan yang dikeluarkan oleh Bank Dunia itu adalah berdasarkan kepada perbandingan antara 183 negara mengenai akses kepada kredit.

Ujar beliau, apa yang lebih membanggakan kedudukan tersebut bukan setakat satu tahun malah untuk lima tahun berturut-turut seperti yang dinyatakan dalam Laporan Tahunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) 2011-2012.

"Kedudukan yang dicapai ini menunjukkan kerajaan sebenarnya berjaya menyediakan prasarana dan kemudahan pembiayaan terbaik dan berkelas dunia.

"Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) adalah salah satu contoh bagaimana kewujudannya sejak 1998 berjaya memberi manfaat kepada 250,000 usahawan negara ini terutama usahawan PKS," katanya.

Beliau berucap merasmikan Konvensyen Usahawan TEKUN dan Ekspo Keusahawanan TEKUN Nasional 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri G. Palanivel dan Pengarah Urusan TEKUN Nasional, Datuk Rahim Hassan.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah Usahawan TEKUN Cemerlang kepada 16 usahawan TEKUN di seluruh negara.

Najib dalam ucapannya juga menyentuh mengenai kejayaan TEKUN bukan sahaja memberi faedah kepada 250,000 usahawan malah ahli keluarga serta pekerja turut mendapat faedah hasil aktiviti ekonomi para usahawan TEKUN terbabit.

"Ini merupakan satu kejayaan besar yang lahir daripada perjuangan UMNO dan Barisan Nasional (BN). Jangan orang hendak salahkan UMNO dan BN atas segala-galanya.

"Sebenarnya inilah bukti kejayaan, jasa dan pertolongan yang kita berikan kepada 250,000 usahawan PKS seluruh negara. Jika perkara ini dihitung betapa besarnya jasa UMNO dan BN kepada rakyat," katanya.

Secara sinis beliau berkata, pihak lain hanya boleh bercakap namun apa jasa mereka dan ke mana janji mereka, berbanding UMNO dan BN, setiap janji untuk bantu rakyat telah ditepati.

"Semua rakyat kita bantu termasuk penyokong-penyokong parti pembangkang walaupun jumlahnya kecil. Kita mengamalkan keadilan dan inklusif," katanya.

Selain banyak membantu usahawan PKS, Najib berkata, kewujudan TEKUN juga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara secara langsung.

"Pada masa ini sumbangan PKS kepada pertumbuhan ekonomi negara adalah sebanyak 32.5 peratus dan kita sasarkan sumbangannya boleh mencecah 41 peratus pada 2020," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment