My Add

Sunday 10 February 2013

Pemimpin MCA harap tahun ular bawa tuah kepada ekonomi

KUALA LUMPUR, AHAD, 10 Febeuari, 2013: Para pemimpin MCA hari ini berharap kedatangan 'tahun ular' pada tahun ini akan membawa tuah kepada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat terutama apabila bahang pilihan raya umum ke-13 kian terasa.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, tradisi menyambut perayaan Tahun Baharu Cina bersama-sama rakyat jelata akan mewujudkan suasana harmoni serta persefahaman antara kaum.

Beliau berkata, perayaan ini juga mempunyai nilai besar, yang harus diperkukuhkan sebagai tradisi dan pegangan seluruh rakyat Malaysia.

"Saya berdoa semoga rakyat hidup dalam keadaan aman damai penuh dengan kemakmuran dan kesejahteraan, serta asas untuk mencapai kejayaan itu ialah keharmonian dan persefahaman antara kaum dan agama," katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka MCA sempena sambutan Tahun Baharu Cina di padang Flat Sri Johor, Cheras di sini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menyertai lebih 10,000 rakyat pelbagai lapisan masyarakat memeriahkan majlis itu.

Turut hadir bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamed Ali, serta Duta Khas (Infrastruktur) Malaysia ke India dan Asia Selatan, Datuk Seri S. Samy Vellu. Hadir sama Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel; Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon; dan Naib Presiden Kanan Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk Maglin Dennis D'Cruz serta pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.

Soi Lek, yang enggan memberi sebarang komen mengenai pilihan raya umum ke-13, mengucapkan terima kasih kepada masyarakat setempat kerana sanggup meluangkan masa untuk bersama-sama Najib, Muhyiddin serta barisan pemimpin MCA menjayakan sambutan Tahun Baharu Cina.

"Jangan cerita pasal PRU pada hari pertama sambutan Tahun Baharu Cina. Orang akan benci terhadap saya sekiranya saya bercakap pasal politik. MCA anjurkan rumah terbuka agar dapat menjalin hubungan lebih mesra serta menghargai kepelbagaian identiti dan budaya di negara kita," katanya.

Sementara itu, Menteri Kesihatan merangkap Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai pula berharap rakyat Malaysia akan terus menyokong BN dan semua parti komponennya.

Katanya, ini kerana hanya kerajaan BN yang mampu meneruskan kesinambungan pembangunan dan membela nasib rakyat keseluruhannya.

"Pakatan Rakyat seolah-olah tidur satu bantal, tetapi mimpi lain-lain.

Memang jelas ikatan pembangkang itu tidak mempunyai agenda untuk pembangunan negara kita. Mereka lebih mementingkan parti masing-masing," katanya.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata, Malaysia adalah sebuah negara yang aman damai, dengan semua masyarakat dapat menyertai pelbagai perayaan berbilang bangsa.

"Di sini semua berkumpul dengan semangat 1Malaysia yang kita dapat lihat dengan lagu-lagu yang dimainkan serta makanan yang disajikan kepada tetamu.

Inilah semangat yang menguatkan rakyat Malaysia," katanya.

Beliau turut melahirkan rasa bangga dengan kepimpinan Najib yang berjaya menyatupadukan rakyat melalui konsep 1Malaysia.

Sementara itu, Dr. Mahathir pula berkata, beliau sangat optimis BN akan meraih sokongan baik daripada rakyat pada PRU-13 memandangkan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina anjuran MCA itu mendapat sambutan luar biasa dan meriah.

Ditanya mengenai pengundi atas pagar, Dr Mahathir secara seloroh berkata:

“Siapa yang duduk atas pagar, akan jatuh". - BERNAMA

No comments:

Post a Comment