My Add

Saturday 9 February 2013

Penahanan 3 individu kaitkan keganasan sebagai serius: KDN

JOHOR BAHRU, SABTU, 09 Februari, 2013: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyifatkan tiga individu yang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 sebagai kes serius yang turut memberi impak peringkat global.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata penglibatan mereka di dalam aktiviti itu akan didedahkan apabila perbicaraan kes dijalankan di mahkamah dan kesalahan serius seperti itu memerlukan akta berkenaan bagi membolehkan tindakan dikenakan terhadap mana-mana individu yang terlibat.

"Akta yang menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) itu merupakan satu transformasi dalam undang-undang di negara ini yang sekali gus dapat mengelakkan orang ramai daripada mengambil kesempatan melanggar undang-undang tanpa mengetahui keadaan sebenar.

"Sehubungan itu, mana-mana pihak juga diingatkan supaya tidak memperlekeh atau mempolitikkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) itu dengan sewenang-wenangnya," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran logo Skuad Muda KDN, di sini hari ini.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Sembrong berkata demikian sebagai mengulas penahanan tiga individu baru-baru ini dengan dua daripada mereka, Yazid Sufaat, 49, dan Halimah Hussien, 52, didakwa di mahkamah semalam atas pertuduhan menggalakkan keganasan bagi mengugut orang awam di Syria, tahun lalu.

Kedua-dua mereka menjadi individu pertama yang didakwa mengikut Kanun Keseksaan atas kesalahan membabitkan diri dalam aktiviti keganasan selepas ISA dimansuhkan pada 31 Julai 2012 selepas Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) bagi menggantikan ISA dikuatkuasakan.

Hishammuddin berkata ISA lebih 'dihantui' dengan pelbagai tuduhan persepsi benar atau tidak berhubung kait banyak perkara termasuk tempoh tahanan tanpa bicara, layanan terhadap tahanan serta akses kepada keluarga dan peguam tahanan manakala Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) pula lebih bersifat terperinci seperti perlu dibawa ke mahkamah secepat mungkin untuk dituduh.

Beliau dalam pada itu turut menegaskan Malaysia tidak sesekali boleh dijadikan negara transit bagi melakukan aktiviti keganasan dan kementerian katanya, tidak teragak-agak untuk menghantar pulang mana-mana rakyat negara luar sekiranya mereka terlibat dengan sebarang aktiviti berkenaan.

Terdahulu, Hishammuddin yang diiringi Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff turut melakukan rondaan di kawasan perumahan di Kampung Melayu Majidee dan Taman Suria, di sini bersama 17 Unit Rondaan Bermotosikal (URB).

Beliau kemudian menyampaikan enam geran bernilai RM10,000 setiap satu kepada enam persatuan penduduk di sekitar bandar raya ini sebagai usaha menggalakkan aktiviti rondaan keselamatan di kawasan kejiranan mereka. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment