My Add

Monday 25 February 2013

Penduduk marah, khuatir kesan buruk pembalakan

KUBANG PASU, AHAD, 24 Februari, 2013: Aktiviti pembalakan yang diluluskan Kerajaan Pas Kedah di kawasan Hutan Simpan Kekal Bukit Perangin di sini, mencetuskan kemarahan dan bantahan penduduk yang khuatir dengan kesan buruk bakal dihadapi mereka.

Ribuan penduduk sekitar termasuk dari Kampung Wang Perah, Kampung Bukit dan Kubang Betong bimbang kegiatan pembalakan tersebut menjejaskan ekosistem alam semula jadi, sumber air, dusun dan sawah padi mereka.

Keadaan itu berikutan hutan simpan kekal tersebut mempunyai tiga anak sungai iaitu Sungai Kechik, Sungai Badak dan Sungai Wang Perah yang mengalir ke Sungai Temin iaitu sumber Loji Air Mukin Temim dan Loji Air Jeragan.

Sungai-sungai berkenaan juga menjadi sumber air kepada tanaman di dusun penduduk selain kepada pesawah di luar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dari lima mukim iaitu Kubang Pasu, Temin, Hosba, Binjai dan Malau.

Berikutan itu mereka mendesak Kerajaan Pas Kedah menghentikan segera aktiviti pembalakan berkenaan demi kepentingan penduduk terutamanya dalam jangka masa panjang.

Seorang penduduk dari Kampung Wang Perah, Abu Bakar Salleh, 43, berkata, dia sedih apabila melihat kehijauan dan keindahan hutan berkenaan semakin hilang akibat pembalakan berleluasa.

Katanya, penebangan balak yang rapat sehingga ke permukaan tanah itu semestinya akan menjejaskan ekosistem alam semula jadi dan sungai-sungai yang merupakan sumber penting kepada kehidupan penduduk sekitar.

"Meskipun aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Kekal Bukit Perangin belum mendatangkan kesan ketara tetapi kesan buruk mungkin dapat dilihat dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi jika tidak dihentikan," katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyertai tinjauan yang dijalankan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Mohd. Johari Baharom bersama kira-kira 20 penduduk di kawasan pembalakan berkenaan hari ini.

Seorang lagi penduduk, Che Tom Musa, 62, berkata, dia amat terkejut kerana sepanjang 45 tahun tinggal di Kampung Wang Perah, inilah pertama kali dia melihat keadaan Hutan Simpan Kekal Bukit Perangin semakin gondol akibat kegiatan pembalakan.

"Kita kesal kerana kerajaan negeri meluluskan aktiviti pembalakan di kawasan ini yang berperanan dalam kehidupan masyarakat sekitar. Saya berharap ia dihentikan segera kerana akan menjejaskan penduduk," katanya.

Seorang lagi penduduk, Sarinah Saidin, 42, pula menyifatkan Kerajaan Pas Kedah tidak prihatin dengan alam semula jadi dan keperluan penduduk yang bergantung kepada sungai-sungai daripada kawasan hutan yang digondolkan itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment